Editorial
Now Reading
ULASAN TEATER: Jujurnya Mak Yong ‘Gading Bertimang’
Next
Prev
313 0

ULASAN TEATER: Jujurnya Mak Yong ‘Gading Bertimang’

by Pribade Abdullah BongkokJune 23, 2015

SEMINGGU selepas menonton persembahan main puteri dan tarian asyik di Black Box Publika MAPKL, yang dibawakan oleh Pusaka, saya menonton pula pementasan mak yong di Auditorium Mini MaTiC, Jalan Ampang, pada penghujung Mei lalu.

Membawa kisah bertajuk Gading Bertimang, pementasan ini diusahakan oleh Persatuan Penggiat Seni Budaya Kelantan (PESIBAN) yang diterajui oleh Asrulfaizal Kamarulzaman, anak muda graduan Univerisiti Malaya dan pernah menjadi hero untuk filem Budak Kelantan (filem Melayu yang disebut-sebut sepanjang zaman, arahan Wan Azli) dengan membawa watak Jaha.

Pementasan ini merupakan salah satu pengisian program Panggung Seni Tradisional 2015 anjuran Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), dengan mendapat sokongan Geran Seni dan Budaya PETRONAS. Pada mulanya, pementasan ini sepatutnya berlangsung di Auditorium Kompleks JKKN, Jalan Tun HS Lee seperti yang termaktub dalam jadual tahunan program Panggung Seni Tradisional 2015; tetapi pada saat akhir ditukarkan ke Auditorium Mini MaTiC.

Secara peribadi, pemilihan panggung Auditorium Mini MaTiC lebih tepat untuk program Panggung Seni Tradisional ini. Bukan sekadar lanskap yang menarik, lokasi yang berdekatan dengan KLCC malah tempat letak keretanya juga selesa dan terjamin; akan tetapi lokasi ini telah menggamit nostalgia kepada sesetengah pencinta seni budaya.

MaTiC, Jalan Ampang Kuala Lumpur

Pada awal 1990-an sehinggalah tahun 2000, MaTiC menjadi pusat kegiatan teater, persembahan-persembahan kebudayaan, pusat kegiatan program Tunas Budaya, tayangan filem-filem rare (terutama tayangan filem-filem Jepun, anjuran Japan Foundation Kuala Lumpur), tempat berkumpulnya seniman-seniman hebat, dan tempat (konon!) lahirnya pelapis seniman-seniman hebat, yakni Akademi Seni Kebangsaan (ASK – semoga Tuhan merahmati rohmu, amin) yang terletak di lot sebelahnya.

Akibat daripada kepentingan politik, yakni port-folio Kementerian Kebudayaan & Kesenian, dan Kementerian Pelancongan acapkali bercerai dan rujuk; kemunculan Saloma Bistro dan penjenamaan semula MaTiC (dengan imej baharu); serta perpindahan kampus ASK akibat banjir besar melanda pada tahun 2000, sekaligus MaTiC dengan perlahan-lahan seperti menutup pintunya kepada kegiatan seni dan budaya.

Ah, itu cerita lain. Saya nak bercerita mengenai pementasan mak yong yang sangat istimewa ini.

*          *          *

Rasa yang autentik

SEJAK mak yong menjadi pelajaran wajib di Akademi Seni Kebangsaan (mungkin sejak Universiti Sains Malaysia lagi melalui Pusat Pengajian Seni dan Universiti Malaya melalui Pusat Kebudayaan), persembahan ini tidak lagi berada dalam lingkungan ‘gu’ dan ‘saing’ ‘Klate’ sahaja.

Misi kerajaan ini akhirnya menempah kejayaan apabila mak yong diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan kebudayaan dunia.

Apabila persembahan ini mula dipopularkan dengan penglibatan selebriti-selebriti, sedikit sebanyak telah merubah keasliannya, seperti yang saya pernah cuit dalam ulasan sebelum ini bertajuk JKKN, PETRONAS – lestari seni budaya autentik. Pementasan pastinya lebih bertumpu pada sambutan (hasil kutipan tiket) dan unsur-unsur spektakular.

Tetapi lain pula halnya dengan pementasan mak yong yang dibawa oleh PESIBAN ini. Jika dilihatkan pada majmuk barisan pelakon ia seperti formula lazim untuk persembahan mak yong di kala ini – dengan penampilan ikon mak yong negara, Rosnan Rahman dan pelakon / pelawak Issey Titan serta wakil dari wadah akademia, Dr. Marlenny Deenerwan; bergabung tenaga pula dengan Mek Imah, lagenda mak yong yang masih aktif – pementasan Gading Bertimang telah mencetuskan suatu rasa yang tersendiri.

Aksi Rosnan Rahman dalam pementasan mak yong ‘Gading Bertimang’.

Menurut Asrulfaizal, bagi menghormati Mek Imah yang bermain dengan anak muda yang bukan pemain mak yong sepenuh masa, Asrulfaizal tidak menggunakan skrip sebaliknya memberi treatment atau jalan cerita. Berkenaan dialog, pandai-pandailah pelakon improvise, kecuali lagu-lagu dan ucap tetap tidak boleh diubah sama sekali. Sabit itu, Asrulfaizal membawa versi penuh lagu Mengadap Rebab (prelude) dan Sedayung Pak Yong (intro), dengan iringan rebab gesekan Che Mat Jusoh.

Nah, hasil dari imrovisasi dialog ini telah mengeluarkan sebuah persembahan yang jujur! Biarpun ada dialog yang bertindih dan pelat (untuk pelakon bukan ‘ore Klate’) namun rasa kejujuran itu telah sampai ke sanubari penonton sehingga penonton tidak mahu berganjak walaupun durasi persembahan ini selama 2 jam 16 minit dan kadang-kadang tidak faham sepatah haram apa yang dicakapkan!

Saya terus teringat kata-kata Ahmad Yatim ketika berbual 13 tahun lalu: “Kau mesti enjoy dan jujur dengan apa yang kau buat.” Dan inilah persembahannya yang langsung tidak menggunakan apa-apa kaedah, pendekatan dan teori lakonan yang kononnya kelihatan ilmiah, sepertimana persembahan bangsawan yang rancak pada sekitar tahun 1920-an hingga 1950-an. Inilah autentik seni budaya Melayu dalam konteks persembahan – RASA.

Skrip hanya bahan dokumentasi, bukan kitab pegangan. Tetapi, dalam konteks teater moden, skrip adalah kitab pegangan. Lebih hebat jika seseorang pelakon atau sutradara itu menterjemah skrip dengan penuh kejujuran.

“Saya orang Sabah. Tetapi saya dah biasa terlibat dalam persembahan mak yong, sejak belajar di ASK. Bergaul dengan orang Kelantan, buatkan saya sedikit sebanyak boleh faham dan bertutur dalam dialeknya. Tetapi, ini yang pertama kali saya buat mak yong tanpa skrip. Pada mulanya memang cuak, kerana waktu latihannya yang sangat singkat. Apabila diberi nasihat oleh Asrul dan Mek Imah yakni keluarkan rasa menurut kehendak cerita dan watak, ternyata dinamik persembahan menjadi sangat berbeza dan menarik,” kata Dr. Marlenny Deenerwan, pensyarah Jabatan Drama Universiti Malaya.

Bila lagi saya akan dapat menonton kejujuran rasa di atas pentas?

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
Comments

    Leave a Response