Reviews
Now Reading
Ulasan Dialog Teater Alternatif – Skala Kecil, Idea Besar (Bahagian Dua)
290 0

Ulasan Dialog Teater Alternatif – Skala Kecil, Idea Besar (Bahagian Dua)

by Anak DagangNovember 22, 2015

Kemudian tiba giliran Namron pula untuk menyatakan pendapatnya mengenai definisi teater alternatif. Beliau sewaktu meneruskan pelajaran di Akademi Seni Kebangsaan, melihatnya sebagai tapak eksperimen untuk menjelajah bentuk seni teater. Dan jelas ternyata, yang terserlah dengan kepuasan melakukan pelbagai bentuk seni itu adalah apabila ianya tidak dikawal dan dikongkong oleh lapisan-lapisan birokrasi. Kemudian, mengenai ruang yang terbatas untuk teater alternatif, beliau menyentuh aspek ‘bermain dengan ruang’ dan penekanan mesra dengan para penonton.

Beliau sebagai salah seorang yang memilih ruang alternatif untuk menyampaikan mesej, dengan tegas menyatakan itulah perbezaan dengan teater arus perdana. Hilangnya keintiman dan hadirnya hiburan yang benar-benar superfisial. Langsung begitulah keadaan teater yang jarang dihadiri orang, melalui pendekatan yang benar-benar minimal, ruang yang terbatas, berani pula membawa idea-idea yang besar. Berani pula membawa harapan agar para penonton mampu memikirkan sesuatu keadaan atau idea secara mendalam. Bercanggah dengan pementasan yang menghabiskan wang berjuta-juta tetapi tidak langsung dibualkan mengenai idea sebagai suatu gerak daya yang benar-benar signifikan.

Kemudian dialog beralih pula kepada Fasyali, sebagai salah seorang penggiat teater anak muda yang mungkin sahaja membawa sudut pandang yang baru. Beliau juga turut menyatakan bahawa teater sebagai seni persembahan merupakan hasil kerja kolektif.

Beliau juga menyatakan bahawa berkembangnya teater alternatif ini adalah kerana kurangnya penulis skrip dan skrip-skrip bermutu di dalam Bahasa Melayu. Malah beliau juga meneruskan lagi dengan mengatakan bahawa kebanyakan penggiat seni adalah bekas/alumni pelajar IPT dan akademi seni banyak menggunakan skrip-skrip yang telah wujud ataupun skrip terjemahan.

Jadi teater alternatif merupakan saluran bagi mereka semua untuk mulai menulis skrip yang baru, segar dari sudut pandang mereka sendiri, lain daripada yang lain. Apabila dibandingkan dengan seni teater di Kanada, tempat di mana beliau belajar, beliau menyatakan bahawa keadaan benar-benar relatif dan pastinya tidak dapat dibandingkan.

Ini barangkali disebabkan penapisan karya, budaya kronisme dan hierarki di dalam industri seni di Kanada tidak wujud. Jadi pastinya penghasilan karya menjadi-jadi dan terhasil di dalam kawasan yang penuh sihat. Beliau berkata “ Teater-teater mereka semua dapat bantuan kerajaan dan sentiasa dikunjungi penonton. Suara alternatif hanya wujud melalui Fringe Festival atau melalui workshop teater di mana sememangnya mereka menguji kelainan hanya di peringkat ‘makmal’ dan studio. apabila sudah establish ‘kelainan’ ini, barulah mereka menjualnya kepada penonton. Saya kira, alternatif di barat sudah pun difestivalkan dengan wujudnya fringe festival di serata dunia. Berdekatan dengan Calgary ada Edmonton Fringe Festival. Lebih kurang 3 jam pemanduan. EFF dikatakan fringe festival kedua terbesar selepas Edinburgh.”

Kemudian tiba giliran panel terakhir untuk memberikan pendapat. Encik Hamzah Wahab, A. Wahab Hamzah, seorang pengkritik filem dan teater tanah air tersohor kelahiran DBP. Beliau pula menerangkan teater seharusnya berhubung kait dengan para penonton – manusia secara umumnya. Sama seperti bentuk-bentuk seni yang lain, pastinya tidak membawa apa-apa makna jika ianya tidak lagi memberi impak yang besar kepada para penonton.

Beliau pada awalnya banyak menceritakan pengalamannya, tentang bagaimana tertubuhnya Stor Teater DBP, dan bagaimana beliau berjaya mendapat dana yang lumayan untuk diagihkan secara saksama kepada para penggiat teater pada waktu itu. Pada akhirnya, beliau mengatakan bahawa kesemua bentuk, alternatif ataupun arus perdana tidak membawa makna apa-apa.

Yang penting baginya adalah penghasilan karya yang benar-benar bermutu dan bentuk pemikiran yang mampu terhasil darinya. Penggerak teater alternatif juga bisa menjadi tegar, penuh dengan dogma dan sikap yang autoritatif jika inti sebenar ‘alternatif’ itu tidak langsung difahami sebetulnya. Perlaksanaan Stor Teater DBP menurutnya, adalah sebagai landasan ‘lain’ agar persaingan yang sihat bisa terhasil dan bakal melahirkan pelbagai karya yang benar-benar bermutu.

Jadi pada akhirnya, alternatif kepada sesuatu benda itu tetap menawarkan sesuatu yang lain daripada apa yang sedia ada. Alternatif juga bakal terhasil di ruang alternatif itu sendiri. Kelainan tetap terhasil. Kepelbagaian adalah sesuatu yang lumrah. Makanya alternatif itu sendiri tidak bisa diletakkan ke dalam suatu kategori. Sama seperti yang lain, sama ada kerangka pemikiran pun tetap menghasilkan sesuatu yang berlainan. Keseragaman tidak langsung bisa dipaksakan.

Mungkin sahaja di dalam Istana Budaya itu sendiri, sebagai simbol budaya formal di negara kita – tetap menghasilkan karya alternatif melalui kerangkanya sendiri. Walaupun begitu, teater alternatif bakal berkembang dan pastinya berkembang jika lembaga penapisan semakin serius mulai membanteras segala hasil karya yang ada. Ataupun membahagikan dana-dana kepada individu yang setuju kepada syarat-syarat yang disediakan, walaupun ianya jelas bercanggah dengan apa yang seharusnya dihasilkan. Akhir kata, teater alternatif itu sendiri mulai menghadirkan diri secara tegas di ruang-ruang anak muda di kota ini.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response