Editorial
Now Reading
Kenapa Borak Arts Berbaloi untuk Freelancer & Karyawan Indie
14289817_1123137831102185_2875578728255207574_o
531 0

Kenapa Borak Arts Berbaloi untuk Freelancer & Karyawan Indie

by The Daily SeniSeptember 28, 2016

We sent Azzad Mahdzir — he directed Beromen from Taman Neapolitan and a short play called Pasang you’ll hear more about soon — to the latest edition of Borak Arts Series, held amidst and during the final week of George Town Festival. Azzad shares his experience from The Wembley Penang but also has some important questions for our readers.


JIKA korporat menghantar pengurus atau staf sumber manusianya ke seminar-seminar pengembangan kerjaya dan kendiri, Borak Arts itulah acara tahunan bagi penggiat seni persembahan. Pertama kali saya ke Borak Arts pada tahun 2013, saya berhasil menjadi pengurus produksi untuk Punto de Encuentro/Meeting Point, sebuah projek instalasi seni karyawan Sepanyol, Nacho Ruiz yang menggunakan pencahayaan optik fiber dan perancah bambu di Urbanscapes 2013 di MAEPS Serdang. Ia hasil perkenalan dengan penerbitnya Ferran Miralles yang saya temui di Borak Arts pada tahun yang sama selepas berkongsi rokok kerana tak tahan sejuk penghawa dingin di Pentas 2 KLPAC ketika itu. Ingat lagi kontroversi pengunjung Urbanscapes 2013 tergaru-garu dek ruam kulit akibat lepak baring di rumput? Two Door Cinema Club tarik diri di saat akhir? Ya, saya turut sama menggaru-garu punggung tahun itu, dan kecewa seperti hipster lain sambil mengunyah sandwich overprice.

Tahun 2016. Keterujaannya berbeza kerana Borak Arts berlangsung bersempena George Town Festival seperti tahun sebelumnya yang saya tak berpeluang menghadiri. Telahan saya, kali ini bolehlah baling satu batu, mati dua burung. Tapi saya tak sempat menonton banyak persembahan yang semua orang cakap “OMG!” tanda hebat (baca dan lihat trailer:  “Triptyque”, “Kaash”, “Missing”). Tapi saya puji Moved by Padi, satu-satunya persembahan yang saya dapat tangkap. Mengujakan sekali dengan sawah bendangnya di tengah kota. Dunia asing yang dikongsi mereka itu saya kira dijelmakan dengan cemerlang. Gerak tari yang mungkin sekali bertemakan ‘padi citra kehidupan, krisis, kematian’ serta runut bunyi live dan visual persembahan mereka saya anggap ambitious. Avant-garde. Walaupun tak sempurna, ia belum pernah terlihat. Dan paling onz, tiketnya percuma! Fasyali Fadzly seorang peserta Borak Arts, selaku pensyarah teater di ASWARA pernah mengakui, “…aku anggap [Moved by Padi] ini satu event of the year!” selain mengalami katarsis selesai menonton.

Ini bagi saya, menangkap cebisan kecil bentuk pengalaman yang terbit dalam konteks Borak Arts yang hadir di celah festival seni di Pulau Pinang itu. Kesesuaiannya menjadi lebih mapan dengan akses terhadap kerja-kerja seni tempatan dan antarabangsa di depan mata. Amat berbeza pengalaman yang dikutip ketika di KLPAC dahulu. Lokasi dan konteks kali ini seakan ceri atas kek.

Program berborak dalam Borak Arts itu sendiri rupanya masih mengujakan saya yang sedang bertatih mengarah pementasan kecil. Borak Arts boleh beri pengalaman berbeza untuk tahun berbeza. Seminar dan persidangan sebegini membuka peluang bertemu RAMAI orang yang bersangkut paut hal seni dan amat membantu mengembangkan pengamatan pembikin.

Wakil-wakil terdiri daripada pengkarya muda dan hijau, veteran, pengarah festival antarabangsa, agen penggiat seni persembahan luar negeri, sehinggalah aktivis dan NGO. Malah lebih terasa hangatnya tahun ini, menurut saya bila fokus memberatkan penggiat dan pengkarya di rantau Asia. Lebih dekat geografi dan budayanya, lebih payah untuk kita berasa asing. Melalui isu-isu yang timbul seperti kes rogol di Iran yang diangkat oleh Fats the Arts (India) menerusi teater 7/7/07, dan Belon satu teater tari filosuf Melayu moden oleh Prisma (Singapura) misalnya. Impaknya, saya dapat mengagak posisi sendiri dan teman-teman lain di Kuala Lumpur.

Seterusnya, izinkan saya lontarkan soalan dan pesan perolehan saya di Borak Arts kali ini.

1. TEMA BERULANG

  1. Tema pada 2016 amat kental berbaur komuniti tertindas. Orang migran, pelarian, pencari suaka, dan populasi yang terancam dengan perang dan konflik. Banglanatak dot com (India) misalnya berkongsi kisah sukses mereka dalam program akar umbi memberdayakan wanita dan anak-anak di ceruk-ceruk benua India melalui seni. Bond Street Theatre (Amerika Syarikat) yang berulang alik ke rantau konflik seperti Afganistan dan Azerbaijan dengan mengatur bengkel teater dan persembahan bagi wanita-wanita dan pemuda-pemudi terpinggir tentang hak mereka. Memetik kata-kata seorang doktor di Kosovo tentang mereka: “We are providing refugees the necessities for human survival–food, medicine, shelter–but you are providing them with food for the soul–you are restoring their humanity.”
  2. Perusahaan Sosial/Social Enterprise. Seni itu sebagai alat demi perubahan sosial memerlukan model perusahaan mampan untuk kelangsungan kerja-kerja produksi bagi menempuh jangkamasa lama.

2. DI MANAKAH KITA?

  1. Sebagai pembikin, di posisi apakah kita sekarang di negara ini?
  2. Teater atau tarinya, apakah bentuk dan kandungan persembahan kita relevan dan membantu ombak perubahan dalam negara dan serantau?
  3. Kemanakah kita hendak melangkah? Bagaimana hendak ke arah itu? Touring antarabangsa, apa caranya atau cukup bersediakah kita dengan taraf sekarang? Pentingnya mengetahui posisi kita akan memberi kejelasan kepada siapakah hasil karya kita akan dinikmati dan diperoleh. Aktiviti grassroot di kampung, kem pelarian, sekolah, universiti? Atau khalayak ramai di Istana Budaya atau Esplanade?

Sedikit sebanyak bila menjawab persoalan di atas, akan membuat sebahagian kita mungkin berasa lemas atau kewalahan. Tapi persoalan dan menyoal kendiri itulah yang penting jika kita seniman bertanggungjawab.

3. PERSEDIAAN UNTUK MENIKMATI

  1. Rujuk apa topik dan temanya dan siapakah panelis Borak Arts tahun itu. Peserta yang rata-rata main redah nescaya akan terpinga-pinga dan terasa dirinya lembab jika tiada kesediaan atau persediaan.
  2. Rugi besar jika George Town Festival dinikmati dengan acuh tak acuh. Perbelanjaan untuk membeli tiket persembahan harus kita berkira-kira. Ada yang pertunjukannya yang perdana di Asia Tenggara/Asia, ada juga yang di-commission festival ini sendiri. Ambil peduli bahawa kita dapat menonton tanpa perlu ke-luar negeri dengan harga purata tiket serendah RM50! Rancang dengan baik persembahan apa, bila dan mana satu. Borak Arts mengakhiri sesinya selewat 6:30 petang setiap hari, dengan sengaja memberi ruang eksplorasi dan jalan-jalan bukan saja ke ruang-ruang pameran, galeri dan minum-minum sambil menonton el fresco.
  3. Bawa jaket untuk selesakan diri dalam ruang seminar. Mengapa ruang seminar di Malaysia harus terlalu sejuk sehingga buat orang selesema masih menjadi misteri.

4. SESI MEJA BULAT / PITCHPAD ASEAN

  1. Meski mejanya tak bulat, wakil-wakil dari badan dana tempatan, luar negeri, yayasan, geran, festival, sedia menjawab soalan dan memberi khidmat nasihat. Macam hadir peperiksaan tapi dapat soalan bocor. Inilah tempatnya.
  2. Pitchpad Asean itu mimbar pitching projek terbuka, seperti American Idol, anda diberi sekian masa untuk pembentangan (atau bercampur gimik dan persembahan), seterusnya bersoal-jawab dengan ahli panel dan peserta Borak yang lain. Tonton dan belajar baik buruk pitching delegasi pelbagai negara.

Nota diri yang saya pahatkan di minda: mesti hadir tahun depan untuk inspirasi, bawa kad nama secukupnya, dan ritual makan kek di China House, Lebuh Victoria. Ayuh menabung untuk sesi 2017. Jumpa nanti!


Borak Arts Series ran from 27-28 August 2016 at The Wembley Penang. Check out the official website and head over to My Performing Arts Agency (MyPAA) for more lit stuff. All images from Facebook, featured image a scene from Helmet by TerryandTheCuz held during the conference.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.

Leave a Response