Editorial
Now Reading
Teater muzikal kanak-kanak ‘Bit-Bit’
Next
Prev
486 0

Teater muzikal kanak-kanak ‘Bit-Bit’

by Pribade Abdullah BongkokDecember 17, 2015

BERDASARKAN dongeng rakyat perlumbaan Sang Arnab dengan Sang Kura-kura; Fakulti Teater Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan mementaskan sebuah teater muzikal kanak-kanak berjudul Bit Bit; bersempena Festival SAT ASWARA (Festival Seni Akhir & Awal Tahun).

Karya baharu yang ditulis dan dibimbing oleh pensyarah teater, Shariful Akma Abdullah ini melibatkan 63 orang pelajar dari Fakulti Teater ASWARA sebagai pelakon dan petugas belakang tabir.

Apa yang menarik, pelajar-pelajar ini turut diberi peluang untuk merekacipta sendiri aspek-aspek sinografi seperti kostum, solekan, set dan prop berdasarkan daya seni dan pemahaman mereka terhadap psikologi kanak-kanak.

Sesungguhnya, mutakhir ini di negara kita amat ketandusan teater kanak-kanak, terutamanya dalam Bahasa Melayu. Mungkin ramai yang tidak tahu peri pentingnya fungsi teater kanak-kanak di dalam pembangunan jiwa dan pemikiran masyarakat sebermula peringkat tunas.

Teater kanak-kanak berkembang rancak pada era 1990-an dengan tajuk-tajuk yang menarik seperti Dewi Bunga, Kunang-kunang Gunung Ledang dan Siti Di Alam Fantasi. Semua ini berhasil kerana adanya program Tunas Budaya dan sumbangan karyawan seperti Siti Ida Alias, Datin Azanin Ezane Ahmad dan Aminah Rhapor.

Tidak ketinggalan, Ladin Nuawi bersama kumpulan Bingkas Kebayan turut sama bergiat dengan antara naskahnya: Sewang Rimba dan Durian Gergasi.

Pada awal tahun 2000, Jasmi Jamal dan Lokman Ghani juga bersama Tunas Budaya telah menghasilkan teater Bangsawan kanak-kanak petama berjudul Cermin Sapura, diikuti Mak Yong kanak-kanak: Raja Pencil, tulisan dan arahan Azaha Othman.


KPI murni

Kesenian dan kebudayaan bukan sekadar suatu jurusan di sekolah atau produk pelancongan semata. Akar umbi seni dan budaya mesti diterapkan ke dalam jiwa setiap individu supaya seseorang itu bisa berani dan bijak menghargai kehidupan, berakhlak, berkeyakinan diri dan mempunyai jatidiri yang tulen.

Selain itu, teater kanak-kanak juga dapat membantu dalam pemulihan psikologi anak-anak yang terjejas akibat bencana alam seperti bah besar atau anak-anak yang menderita sakit di wad seperti yang diusahakan oleh Normah Nordin dengan program Doktor Badut-nya.

Mungkin juga pihak Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pelancongan & Kebudayaan cuba menafikan bahawa teater (termasuk kesenian lain dan sastera) adalah penting dalam pembinaan modal insan, kerana masing-masing sibuk menjaga Key Performance Indicator (KPI).

Moga graduan ASWARA tidak begitu dan lebih merendah diri untuk mendekati masyarakat. Teater kanak-kanak adalah alat yang sesuai kerana kanak-kanak adalah makhluk yang jujur, asalkan isi kandungan cerita yang disemai mesti-lah bertujuan murni dan mesti bertanggungjawab dalam mencorak generasi.


Festival SAT ASWARA

Bit Bit mengisahkan seekor arnab yang sombong serta angkuh, dan telah menerima cabaran berlumba lari dengan kura-kura bernama Kur Kur. Sedang dalam perlumbaan yang penuh sengit, Bit Bit terserempak pula dengan Putera Rayyan yang terkena sumpahan ahli sihir bernama Mac Zimbi.

Bagaimana kesudahannya, bolehlah datang menonton persembahan ini yang akan dipentaskan pada 18 hingga 19 Disember, 2015; jam 8.30 malam, dan 19 hingga 20 Disember, 2015; jam 3.00 petang; di Blackbox ASWARA. Tiket berharga RM 5 sahaja (RM 10 untuk dewasa).

Selain pementasan Fakulti Teater, Festival SAT ASWARA juga turut diisi dengan forum, bengkel, pameran buku, persembahan dan tayangan filem oleh fakulti-fakulti lain yakni Penulisan, Muzik, Tari dan Filem & Televisyen.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
Comments

    Leave a Response