Film & TV
Now Reading
Tayangan Filem Di Idearaya: Pengutamaan Idea Di Sebalik Setiap Medium Popular

Prev
158 0

Tayangan Filem Di Idearaya: Pengutamaan Idea Di Sebalik Setiap Medium Popular

by Anak DagangSeptember 3, 2015

Sememangnya di negara kita, jarang benar kita disajikan dengan penerokaan idea mengenai sesuatu benda, samada ianya berkaitan dengan seni ataupun isu-isu yang lain. Mungkin keadaan seperti itu hanyalah segelintir daripada masyarakat dan tidak merangkumi keadaan sosial secara menyeluruh, tetapi kita juga tidak dapat nafikan, bahawa keadaan seperti yang disebutkan di ataslah yang semakin jelas terlihat, samada melalui rancangan popular di tayangan arus perdana ataupun penyebaran melalui media sosial.

Perbincangan mengenai sesuatu idea mengenai apa-apa pun adalah sesuatu yang diperlukan dan dapat dilihat sebagai sesuatu yang penting. Ia merupakan tanggungjawab kita untuk mulai membicarakan idea-idea yang mampu menggerakkan kita ke keadaan yang lebih bagus. Lebih-lebih lagi dengan penghasilkan karya lambakan yang terlalu banyak dihasilkan, kita sebagai para penonton juga perlu berbicara mengenai idea disebalik karya yang terhasil.

Kita harus mulai mempersoalkan apakah idea utama yang menjadi tunjang utama dan apakah idea utama ini berkait rapat dengan kehidupan kita semua secara am. Jika tidak, mengapa karya-karya seperti itu terus menerus dihasilkan? Dan jika ya, apakah penjelasan idea itu dan bagaimana ianya bisa dihubung kaitkan dengan kehidupan kita pada waktu ini?

Salah satu gambar diskusi yang diambil daripada laman web

Inilah fungsi keberadaan Pusat Kajian & Apresiasi Filem ataupun PKAF, sebuah organisasi bukan kerajaan yang memfokuskan kepada kegiatan penyelidikan berkenaan industri filem dan penganjuran aktiviti kemasyarakatan melalui landasan filem dan sinema. Mereka adalah salah satu kolektif yang turut terlibat untuk menjayakan festival Idearaya yang bakal diadakan pada 12hb dan 13hb September ini.

Mereka menganjurkan tema ‘Asean in Film’ sebagai pelengkap kepada tema utama iaitu ‘Marjinal’. Antara filem-filem yang bakal ditayangkan adalah Boonrerm oleh Sorayos Prapapan, Langat di Odu oleh Bebbra Mailin, Where I Go (Dokumentari) oleh Kavich Neang, Kau Di Kanan Aku Senang dan Bermula Dari A oleh BW Purba Negara, Glass Man (Dokumentari) dan Side Glance Of The Dragon oleh Wera Aung, Flower in the Pocket oleh Liew Seng Tat dan Ying & Summer oleh Gladys Ng.

Jadi pihak kami berasa teruja kerana dapat menemuramah salah seorang daripada pengasas organisasi PKAF, Muzzamer Rahman tentang aktiviti tayangan yang bakal diadakan sempena festival Idearaya.


Apakah wujudnya hubung kaitan tema ‘Asean in Film’ dengan tema keseluruhan festival iaitu tema ‘Marjinal’?

Asean dalam filem – Ya memang wujud. Kami sengaja memilih tajuk ini, kerana keseluruhan filem yang dipilih untuk tayangan sememangnya mewakili semangat Asean itu sendiri – sama ada dari aspek idea mahupun pembikinan.

Tentang soal hubungkait pula, kami percaya negara-negara Asean itu sendiri berdiri kerana rakyatnya – dan inilah teras yang kami gunakan dalam memilih tema tayangan filem untuk Idearaya.

Bagaimanakah penekanan idea itu boleh dinyatakan melalui tayangan filem?

Kita semua maklum, filem bukan sekadar seni semata – ianya juga adalah perantara (medium). Dan kebanyakkan filem yang baik selalunya ingin menyatakan sesuatu.

Jadi dengan sesi tayangan filem, kami cuba sebaik mungkin memilih filem-filem yang akan menyampaikan idea tentang apa itu ‘Asean’ dari pembikin dari Asia Tenggara sendiri.

Bagaimanakah pilihan filem di festival itu dibuat?

Pilihan filem-filem ini dibuat oleh kurator dari PKAF iaitu saya sendiri dan Norman Yusoff. Sememangnya, agak sukar untuk memilih filem-filem yang akan ditayangkan kerana terdapat banyak karya menarik di serata Asia Tenggara.

Maka kami memilih filem yang memaparkan isu yang menarik untuk dibincangkan seperti isu penindasan manusia terpinggir, isu identiti bangsa, isu gender, isu agama, falsafah dan juga hal-hal kehidupan harian. Jangan risau, meski isu di dalam filem ini kedengaran berat, kami tak lupa bahawa filem yang baik haruslah menghiburkan.

Pendapat pihak kalian dalam kolaborasi dengan kolektif lain dalam merayakan festival Idearaya?

Kami merasakan koloborasi dengan kolektif lain adalah penting dalam perjuangan kami dalam membudayakan apresiasi filem, dan Idearaya merupakan permulaan yang baik untuk kami, kerana kolektif yang terlibat dalam projek ini hadir dari cabang yang berlainan, dan menuju ke akar yang sama – untuk memajukan masyarakat.

Bagaimanakah persoalan idea secara am dan pergerakan intelektual seperti ini berjaya membentuk kualiti filem yang lebih bermutu?

Saya sendiri percaya bahawa filem itu akan menjadi lengkap selepas ditonton dan diraikan dengan cara seperti diperkatakan, ditulis dan dibincangkan. Apabila proses apresiasi filem ini sering dijalankan- lama kelamaan ia akan menjadi sebuah budaya.

Dan saya percaya apabila menonton filem itu dilihat sebagai budaya- maka karyawan akan lebih serius membikin, dan penonton lebih ruwet memilih. Secara tak langsung, kitaran ini mampu menghasilkan filem yang bermutu.


Tayangan filem di festival Idearaya bakal berlangsung selama dua hari, pada 12hb September tayangan bakal bermula dari jam 12 tengah hari sehingga jam 11 malam. Pada keesokkan harinya pula, tayangan bakal bermula dari jam 12.15 tengah hari sehingga jam 6.15 petang. Setiap tayangan bakal diakhiri dengan diskusi mengenai filem-filem tersebut.

Jadi ayuh sekalian anak muda, mari kita sekali lagi meraikan pengutamaan idea sebagai anjakan pemikiran yang lebih ampuh, agar segala karya yang terhasil tidak lagi dibiarkan mati dan layu sebegitu sahaja; sebaliknya terus hidup melalui penyebaran citra setiap karya yang ada.

*Segala info mengenai festival ini boleh dilihat di laman web Idearaya.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response