Reviews
Now Reading
Seni: Masyarakat atau Borjuasi? Bhg. II
63 0

Seni: Masyarakat atau Borjuasi? Bhg. II

by Adnan QiyasAugust 16, 2017

Apabila direnungkan hakikat yang bicara seni di Malaysia ini sering dipelopori dan dijana pemikir-pemikir seni, ia menimbulkan beberapa persoalan. Mengapa perlu ada pembezaan dan dikotomi antara pemikir dan penggiat seni seperti yang dinyatakan Eddin Khoo? Dan sekiranya kita menerima pembezaan ini, persoalan seterusnya adalah dari mana datangnya pemikir-pemikir seni ini serta apakah peranan dan matlamat mereka? Mengapa penggiat seni tidak menjawab sama?

Adakah persoalan-persoalan ini penting?

Dalam konteks bicara seni umum serta di kalangan pemerhati-pemerhati (dan juga pemikir-pemikir seni) ia penting. Akan tetapi sekiranya kita berjaya menjawab soalan-soalan ini, apakah kesannya terhadap seniman-seniman dan penggiat-penggiat seni Malaysia?

SENI UNTUK SIAPA – Forum anjuran bersama Purana School dan MCCHR

Adakah kita akan melihat satu fasa pencerahan pemikiran seni dan penyepaduan seni antara sang pemikir seni dan tukang buat seni? Adakah kita akan melihat retorik sastera indie sebagai pencemar bahasa lupus dan sastera arus perdana (kembali) diraikan masyarakat dan belia-belia sebagai suara zaman? Adakah kita akan menyaksikan pencalonan Oscar pertama untuk industri perfileman negara? Adakah pelukis-pelukis kita akan langsung naik taraf menjadi rebutan galeri-galeri besar di industri seni Barat?

Jawapannya tidak.

Kerana semua isu-isu seni semasa itu bukanlah hasil dari kekeliruan dalam kesenian; ia bukan akibat kita gagal bertanya dan menjawab soalan-soalan tersebut. Dan ia bukan perihal takrifan seni yang masih belum dileraikan.

Ia kesan dari satu – pembirokrasian seni dan penginstitusian budaya; dan dua – kapitalisma berbaur politk bangsa yang telah menjejaskan keadaan sosio-ekonomi masyarakat.

AKU – Chairil Anwar, pengasas Angkatan 45

“Sekarang ini bila kita mentakrifkan seni kita akan mengikut takrifan seni barat. Secara tak langsung sudut pandang kita, lensa atau kanta kita adalah kebaratan.” Eddin Khoo membuka sesi kedua setelah forum beristirehat selama 15 minit. “Kita tiada budaya revolusi; itu bukan post-colonialism kita. Tak seperti Indonesia contohnya. Di rantau ini, antara gerakan seni dalam konteks nasionalisma yang terawal adalah kumpulan Pujangga Baru dari Indonesia. Ia disusuli Angkatan 45, juga di Indonesia dan tak lama selepas itu ASAS 50 di Tanah Melayu. Sekiranya dibuat perbandingan dari segi sejarah dan perjuangan, ASAS 50 mempunyai naratif matlamat, wawasan dan teras yang paling tipis berbanding dengan gerakan-gerakan sebelumnya. Isi dan inti yang terperah dari gerakan-gerakan ini secara langsung telah mempengaruhi arus seni dan membentuk ruang seni bangsa untuk zaman-zaman selanjutnya.”

Sejarah – bukan setakat sejarah seni – memainkan peranan dan pengaruh yang besar dalam pemikiran dan semangat kesenian sesuatu bangsa itu. Seni adalah kehidupan keseluruhan. Ia sesuatu yang alamiah; fitrah. Kita sudah boleh menyanyi sebelum kita belajar berbicara. Seni itu hidup, dan hidup itu seni. Jadi sejarah dan asal-usul seseorang itu adalah pengaruh dan teras paling dalam bagi (ke)seni(an)nya. Sesuatu karya seni itu hanyalah bentuk seni yang telah dizahirkan; isi atau inti seni itu adalah tradisi dan hidup itu sendiri.

Ekspresi; peluahan. Eddin menyambung.

“Naratif besar situasi seni kita sekarang ini adalah pasaran. The market. Dan masalah antara seni dan pasaran ini adalah ia memisahkan seni dengan kehidupan. Jadi hasilnya adalah seni yang tak mencengkam; seni yang cantik tapi cetek. Dasar Kebudayaan Kebangsaan has its heart at the right place; semangatnya ada tapi zahiriahnya tiada. Jadi dalam suasana yang penuh dengan kekeliruan identiti – asal-usul dan sejarah, warisan, strata sosial dsb – ini seni itu sudah makin luput. Kabur. Ia tidak membantu kita menjumpai diri. Seniman kena faham dengan kabur itu dan respond. Berontak atau bertindak. Kita harus lawan, bantah atau cabar usaha para birokrat rantau kreatif, walhal pada masa yang sama terima tekanan dari mereka sebagai satu cabaran kreatif.”

Hishamuddin Rais barangkali tersenyum lebar sambil menghirup kopinya.


Bicara seni untuk masyarakat atau seni untuk borjuasi itu penting. Ia relevan. Jika kita melihat ke belakang dengan kanta akademik, pemerhati sosial ataupun pensejarahan seni, ia berperanan besar dalam membentuk sudut pandang yang lebih lapang dan jelas. Ia menetapkan keberadaan seni, dan kesenian itu.

Namun ia tidak mustahak.

Ia bukan soalan yang perlu mendepani setiap proses pengkaryaan yang baru, ataupun mengiringi seniman setiap hari. Ini tak semestinya menjadikan ia sesuatu yang trivial. Ini bermaksud yang ia tak wajib menjadi lebih dari satu mangkin atau pencetus kesenian atau pengkaryaan seseorang seniman.

“Asal perkataan seni adalah hawanafsu. Ia ditetapkan dan dibahasakan sebagai seni dalam zaman kita. There is such a thing as bad art and good art. The issue is with mediocrity; tiada perbahasan. I believe in propaganda art, experimental, social art. Kerana seni itu hidup – ia adalah tindakbalas dan hasil tindakbalas dari pengaruh sekeliling; persekitarannya. Hidup ini bukan satu institusi. Maka dengan itu seni juga tidak boleh diinstitusikan.”

Jadi untuk siapa seni sebenarnya – untuk masyarakat atau borjuasi? Ataupun sebetulnya – untuk memasyarakatkan atau mengkelaskan?

Wallahu’alam. Namun yang pasti, ia untuk hidup.


Rencana ini menutup siri rencana ulasan Forum ‘Seni: Untuk masyarakat atau borjuis?’. Bahagian I telah diterbitkan pada Jumaat, 11 Ogos. Penulis meminta maaf atas kelewatan rencana penutup ini.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas
Comments

    Leave a Response