10 Perkataan Yang Mungkin Anda Tidak Tahu
SALAM 2017! Pada awal tahun ini, kami di The Daily Seni telah menetapkan azam baru untuk menambah tatabahasa serta mempraktikkan lebih banyak lagi perkataan bahasa Melayu baru dalam pertuturan harian kami. Ini adalah antara perkataan-perkataan baru yang kami ingin kongsikan kepada anda! (Jangan risau, kami tak tipu. Korang boleh rujuk kamus).
Hemoi
Maksud: Tidak malu-malu langsung, tebal muka
Contoh ayat: Malangya, sikap adiknya yang peramah itu dianggap sebagai bersikap hemoi
Terkesiap
Maksud: Terkejut, terperanjat
Contoh ayat: Lelaki itu terkesiap apabila terserempak dengan bekas kekasihnya ketika makan angin di Hawaii.
Laklakan
Maksud: Lubang kerongkong
Contoh ayat: Cicak itu jatuh ke dalam laklakan pemuda itu apabila beliau mendongak kepalanya ke arah siling.
Lingsa
Maksud: Telur kutu yang terdapat dalam rambut
Contoh ayat: Eeee! Adinda sedar tak yang rambut adinda penuh dengan lingsa!?
*Perkataan ‘lingsa’ ini mungkin tidak terlalu praktikal untuk digunakan hari-hari, kerana jarang nak jumpa orang yang ada kutu di rambut.
Nikdap
Maksud: Berjalan mundar-mandir tanpa membuatkan sebarang pekerjaan
Contoh ayat: Uda menikdap setelah mendapat tahu bahawa aplikasi beliau untuk ke universiti telah diterima.
Prigel
Maksud: Cekap bekerja
Contoh ayat: Warga emas itu prigel berbanding rakan sekerjanya yang berumur setengah usia beliau.
Samampai
Maksud: Orang yang tinggi lampai
Contoh ayat: Si samampai itu perlu menunduk sedikit setiap kali dia melalui pintu rumahnya.
Urna
Maksud: Warna
Contoh ayat: Palet urna yang digunakan oleh pereka fesyen itu menyunting inspirasi dari pelangi.
Zulmat
Maksud: Keadaan gelap disebabkan ribut
Contoh ayat: Zulmat menyelubungi Kuala Lumpur sebelum taufan melanda.
Tunabusana
Maksud: Bogel
Contoh ayat: Banyak karya seni kontemporer klasik menampilkan subjek-subjek yang berada dalam keadaan tunabusana.
Untuk maklumat lanjut, rujuklah kamus, sama ada di internet ataupun di perpustakaan. Semoga berjaya!
Menarik.
Lingsa, prigel, dan laklakan adalah kosakata bahasa Jawa. Masih umum digunakan hingga sekarang, terutama di kampung-kampung.