Editorial
Now Reading
TEATER MERAKYKATKAN; MERAKYATKAN TEATER
622 2

TEATER MERAKYKATKAN; MERAKYATKAN TEATER

by Adnan QiyasMay 16, 2017

Aku rindu teater.

Zaman aku berteater secara aktif sebagai seorang penggiat sudah lama lepas. Namun sebagai seorang pencinta pentas keghairahan berpentas itu takkan dapat dibendung lama tanpa sebarang pelepasan, jadi sejak tamat zaman pelajar aku tamat aku pastikan yang aku akan menonton pementasan teater sekerap yang mampu.

Kerinduan aku memudahkan aku merapati penggiat-penggiat teater yang telah aku tonton usai pementasan untuk mengucapkan terima kasih, tahniah dan juga berbicara sebentar tentang teater yang baru aku tonton. Antara perbualan-perbualan teater paling menarik, mengasyikkan dan membuka minda yang pernah aku alami datang dari perbualan-perbualan ini. Biarpun pendek, ringkas dan laju, ia penuh keghairahan dan keseronokkan. Dari situ aku menambah lagi pengetahuan dan pemahaman aku terhadap sesebuah pementasan itu. Ia melengkap dan mencerahkan lagi pengalaman aku yang telah aku kemaskini setelah mendapat teladan dari perbualan-perbualan ini. Yang paling memuaskan sekali, aku mendapat kenalan teater baharu yang sudi berkongsi kisah dan pengalaman.

Dan kini aku amati yang zaman teater sudah berbeza.

Lazimnya teater-teater yang aku tontoni dahulu dipelopori dan dipentaskan penggiat-penggiat dewasa; berumur namun tegar. Kebiasaannya mereka sememangnya pelajar-pelajar jurusan seni, dan purata usia tidak kurang dari 30 tahun. Keterampilan mereka segak dan tegas; mudah dikenali dan dicam sebagai seorang warga seni. Semuanya sudah lama berkerjaya dalam bidang seni. Teater-teater yang aku tonton biasanya dipentaskan di tempat-tempat yang mempunyai kelengkapan dan prasarana teater yang mencukupi – pentas besar dan cukup luas, sistem penataan cahaya dan bunyi yang baik serta ruang duduk yang selesa.

Pendek kata, ruang-ruang teater yang memang disediakan khusus oleh penggiat dan pengamal teater untuk khalayak umum.

TEATER 01

Pada ketika itu, aku dan rakan taulan teater aku yang rata-rata masih belajar merasakan ruang-ruang teater ini besar dan penglibatan dengan tempat-tempat ini seakan suatu keistimewaan dan penghormatan, sesuatu yang memerlukan tauliah dan kelayakan yang bertepatan. Ia tampak rasmi dan untuk penggiat-penggiat teater muda seperti kami – terutamanya bukan pelajar jurusan seni persembahan – ianya terasa jauh.

Satu-satunya tempat yang tampak mesra dan sesuai dengan golongan-golongan pencinta dan penggiat teater muda seperti kami adalah The Actors Studio (TAS) di paras bawah Dataran Merdeka. Antara faktor-faktor yang menjadikan mudah kami dekati adalah lokasinya – selain dari Dataran Merdeka mudah dikunjungi dengan sistem pengangkutan awam dan kedudukannya di pusat ibu negara, ia juga terletak di lokasi yang banyak menganjurkan acara-acara underground ketika itu. Secara tidak langsung TAS terbuka kepada sikap dan pendirian kami yang ketika itu sedikit memberontak (darah mudalah katakan) dan menjadi satu ruang selamat untuk golongan penggiat teater muda yang ingin mencuba perkara-perkara baru. TAS juga lebih kerap mementaskan teater dalam semua bahasa, baik Bahasa Melayu, Inggeris, Cina (Mandarin dan Kantonis) dan Tamil serta skrip-skrip dwi-bahasa. Ia juga mementaskan karya seni persembahan lain seperti tarian dan eksperimental. Penonton-penonton yang datang juga pelbagai – dari golongan urban pelbagai latar ekonomi dan bangsa hinggalah ke luar bandar dan juga luar negara.

Saya dapati yang ketika itu terdapat pembezaan antara teater Melayu dan Inggeris, suatu yang masih kekal hingga ke hari ini, biarpun kini garis pembahagi itu sudah banyak menipis berbanding dahulu. Namun perkara yang paling ketara sekali yang saya amati wujud ketika itu (dan amat-amat kurang kini) adalah kurangnya gerakan kolektif teater dan juga kumpulan teater amatur.

Rata-rata gerakan teater ditunjangi badan-badan pelajar seperti kelab dan persatuan (di kalangan institusi pengajian tinggi), guru-guru (di kalangan sekolah) dan jabatan-jabatan atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan (di kalangan masyarakat umum). Biarpun sifat seni itu adalah memasyarakatkan rakyat dan merakyatkan masyarakat, ia masih kurang dipacu oleh masyarakat dan rakyat. Konsep-konsep seperti teater komuniti dan teater rakyat (dalam bentuk sketsa dan drama pendek) tidak ada tempat dalam kesedaran seni umum. Setiap produksi teater terasakan rasmi dan besar; tak mudah didekati. Ada pengeculiannya, seperti Five Arts Centre dan Instant Cafe Theatre, namun ketiadaan media sosial dan internet ketika itu menjadikan mereka kurang mendapat perhatian.

Jika dikupas, seni persembahan teater ketika itu boleh terasakan elitis – ia hanya dihargai oleh purists yang cintakan seni lakonan yang tulen dan asli. Seolah tiada hubungan langsung antara pentas teater dengan pentas layarputih, baik televisyen mahupun filem. Ia dianggap satu hobi dan minat yang mahal dan melecehkan – tiada CD atau kaset yang boleh dibeli dan dibawa pulang, tidak boleh ditonton di kaca TV dalam keselesaan ruang tamu rumah dan hanya dipersembahkan dalam satu tempoh singkat yang sering ada pertembungan dengan jadual harian.

Namun begitu, nilai seninya yang tinggi (teater adalah satu-satunya seni persembahan yang boleh merangkumi kesemua seni persembahan rasmi lain yang wujud) serta kesannya yang mendalam terhadap penonton telah memastikan yang seni ini tidak lapuk ditelan zaman, dan malah makin tegar dan mandiri. Dan yang paling penting sekali, makin terbuka.

TEATER 2

Untuk sebuah seni persembahan yang merakyatkan dan jujur (dalam penghayatan watak dan kerjasama sepasukan), teater pada zaman aku dahulu tidak bersifat demokrasi. Dan aku amat-amat bersyukur dan seronok yang kini sifat demokrasi ini makin ketara, malah dirai. Sudah ramai ruang-ruang teater mengubah model operasi dan perniagaan mereka untuk memberi ruang bagi penggiat-penggiat amatur berkarya, dan banyak penggiat-penggiat ini makin berani mencuba beroperasi sendiri, baik sebagai sebuah kolektif seni mahupun sebagai syarikat produksi berdaftar. Aku juga perasan yang banyak dari mereka yang menerajui gerakan-gerakan ini bukan datang dari latar belakang seni persembahan atau seni secara amnya. Aku sendiri bukan seorang pelajar seni dahulu, dan rakan-rakan teater seperjuanganku kebanyakkannya datang dari jurusan dan fakulti perniagaan, pemasaran dan kejuruteraan.

Dari penggiat-penggiat yang bukan asalnya pelajar-pelajar seni seperti Playground Productions dan Anomalist Productions yang berkecimpung dalam teater kerana ia adalah satu usaha seni yang mulia, hingga ke penggiat-penggiat berlatarbelakangkan seni seperti Sanggar Teater fauziah Nawi dan Revolution Stage yang cuba merakyatkan seni teater melalui konsep social enterprise dan teater komuniti mereka, teater kini sudah makin matang dan dewasa. Penggiat-penggiat amatur ini telah membuka jalan untuk mendemokrasikan teater dan menyemarakkan lagi seni ini disamping pelopor-pelopor besar seperti KLpac dan Istana Budaya, semuanya dalam satu usahasama – yang biarpun tak cukup bersepadu lagi namun makin bekerjasama – yang memartabatkan seni teater di Malaysia ini.

Aku datang dari satu zaman yang merasakan teater harus dihadam di lokasi yang khusus seperti dewan-dewan besar dan pentas-pentas cerah. Aku ada ketika The Actors Studio membuka satu ruang teater di tingkat teratas Bangsar Shopping Centre (yang ketika itu dirasakan suatu usaha yang merugikan) yang sangat-sangat berjaya dan telah menginjak tanggapan masyarakat hingga terbukanya PenangPac. Kini aku hidup dalam zaman KLpac, Istana Budaya, ASWARA, Revolution Stage dan DPAC serta banyak lagi produksi-produksi amatur yang tak terkongkong lokasi pementasan sepertimana aku dan rakan-rakan seperjuangan aku dahulu. Ia kini lebih terbuka kepada pencinta-pencinta baru dan muda, dan mapan untuk mereka yang ingin menceburinya.

TEATER 3

Darah seni itu adalah sesuatu yang diwarisi. Baik dari keturunan dan darah daging, mahupun dari didikan dan amalan. Tapi persoalannya, bagaimana seni itu ingin merakyatkan, jika rakyat sendiri tidak boleh berseni?

Dahulu sukar untuk aku mencari ruang selamat untuk berteater, sebagai satu escapism dari hidupan harian korporat ku. Kini, ia hanya satu dilemma pilihan, sama ada sebagai seorang penonton ataupun sebagai seorang ahli produksi. Biarpun rindu pentas aku masih belum berbalas, nyata sekali ianya kini lebih mudah terpujuk.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas
2 Comments
  • Mohamad Nazrul Hazwan
    May 18, 2017 at 11:56 am

    Saya bersependapat dengan penulis. Saya juga asalnya menceburi bidang teater ketika di zaman universiti. Kini saya tidak lagi bermain teater (lebih banyak sebagai krew produksi) dan saya melepaskan rindu saya pada teater dengan menonton seberapa banyak teater yang saya mampu dan mahukan di sekitar Kuala Lumpur ini (dan mungkin juga merentasi negeri Selangor).

    Terima di atas tulisan ini. Saya merasakan artikel ini sangat dekat dengan saya. Akhir kata, teater memanusiakan manusia.

    • Profile photo of Adnan Qiyas
      June 4, 2017 at 7:36 am

      Terima kasih, Nazrul. Saya lega dan seronok apabila ada pembaca yang berasa dekat dengan tulisan saya dan tidak kekok/segan untuk berkongsi. Harap tidak segan untuk berkongsi pendapat/kritikan terhadap mana-mana tulisan saya, ataupun mana-mana penulis lain di Daily Seni ini. Jumpa lagi!

Leave a Response