Reviews
Now Reading
VANDALISME SASTERA
Next
Prev
495 0

VANDALISME SASTERA

by Adnan QiyasJune 7, 2017

Hujung minggu lepas aku berbual panjang dengan seorang penyair muda. Kami banyak menyentuh perihal penulisan, kepenyairan dan budaya. Beliau bersemangat sekali menawarkan satu rencana yang berkaitan sewaktu kami berbual tentang unsur graffiti dalam budaya hip hop. Tajuk rencana itu menyamakan karya-karya indie dengan graffiti.

Aku teruja.

Keterujaan aku datang dari pendirianku yang menggemari dan mengagumi seni graffiti. Sebagai seorang yang menjiwai dan menghormati penggerak-penggerak budaya indie di Malaysia, aku amat tertarik dengan tajuk (dan pemikiran di sebalik) rencana tersebut. Ia mencadangkan satu pengalaman bacaan yang sekurang-kurangnya menyelerakan, jikalau tidak mengenyangkan.

Aku terbayangkan rencana tersebut menyentuh keselarian evolusi penulisan-penulisan indie dengan seni graffiti, di mana ia bermula sebagai petanda budaya dan taraf hidup sebelum menular dan menyebar ke ruang-ruang awam dan akhirnya berkembang menjadi satu cabang seni visual moden dan juga seni jalanan.

Atau juga membicarakan keselarian evolusi ruang seni yang didiami kedua-duanya – menggunakan ruang awam atau umum yang sedia ada untuk menjamin keterbukaan karya serta capaian yang lebih meluas dan tidak prejudis.

Aku kecewa.

Rencana yang sekitar 800 patah perkataan itu cuma menyebut dan merujuk kepada graffiti sekali sahaja, dalam ayat pertama perenggan ke-11 (rencana tersebut mempunyai 15 perenggan). Ia bertanya sama ada kita boleh menganggap penulisan-penulisan indie seperti graffiti pada dinding, tembok bangunan ataupun tandas-tandas awam. Selepas itu – dalam perenggan yang sama – ia menyatakan yang kini graffiti dilakukan secara terbuka melalui penerbitan buku-buku, berbanding lakaran secara menyorok pada masa dahulu kerana perasaan malu dan takut dikenakan tindakan.

Sebelum itu rencana dengan panjang dan lebar menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan sastera indie. Ia menetapkan takrifan indie yang sedikit cetek dan membuat pemerhatian yang banyak karya-karya indie ini kesat, mentah, syok sendiri, merapu dan biadab, sebelum merumuskan yang semua itu adalah produk daripada keadaan masyarakat; luahan-luahan terpendam yang sebelum ini tiada medium perluahan. Ia tiada seni dalam menyampaikan pandangannya, dan lebih lantang dan keras sesebuah karya indie itu, lebih hebatlah ia. Rencana ditutup dengan pernyataan yang karya-karya indie ini hanya simptom-simptom penyakit dalam masyarakat; cerminan apa yang ada dalam masyarakat.

Aku termenung lama usai bacaan. Dalam keliru dan geram. Musykil.

Di mana silap penulis?


Etimologi ‘graffiti’ menyatakan ia diambil dari perkataan Itali ‘graffiato’ yang bermaksud ‘digores’. Ia digunakan untuk merujuk kepada sebarang karya seni yang dihasilkan dengan goresan di atas sesuatu permukaan. Perkataan ‘graffiato’ ini berasal dari perkataan Yunani (Greek) ‘graphein’ yang bermaksud ‘tulis’.

Graffiti telah wujud beribu-ribu tahun, sejak tamadun Yunani, Rom dan Mesir lagi. Graffiti pada ketika itu muncul dalam bentuk penyataan-penyataan ringkas seperti iklan, prosa, slogan dan puisi yang berkait dengan cinta, politik ataupun falsafah. Ia digores di dinding-dinding ruang umum seperti pasar atau mana-mana permukaan batu atau kayu yang terbuka. Graffiti-graffiti ini banyak membantu ahli-ahli sejarah dan bahasa mengkaji sejarah tamadun-tamadun dan budaya-budaya lampau. Ia mencerminkan tahap literasi sesebuah tamadun atau zaman itu.

Bentuk umum graffiti adalah penyataan-penyataan ringkas seperti yang disebut di atas. Satu lagi bentuk umum adalah tag, yang berfungsi sebagai sebuah label atau penanda; nama seseorang misalnya. Kedua-dua bentuk graffiti ini kekal sehingga kini, dan biasa kita temui di meja-meja sekolah, tandas-tandas awam, tembok-tembok dan dinding-dinding bangunan.

Graffiti moden (kini diterima sebagai takrifan lazim dan mutakhir graffiti) merangkumi bentuk-bentuk umum di atas dan juga bentuk-bentuk baru yang menular sekitar pertengahan abad ke-19. Selain dari bentuk-bentuk di atas, penanda-penanda kawasan yang digunakan kumpulan-kumpulan samseng juga dikira sebagai graffiti, berbentuk tag. Mural juga satu bentuk graffiti yang dikenali umum. Satu lagi bentuk graffiti moden adalah seni graffiti yang menggunakan penyembur cat (spraycan). Berasal dari New York, seni graffiti spraycan ini mula berkembang sekitar 1960an dan menjadi salah satu teras utama dalam budaya hip hop sekitar awal 1980an.

Kini graffiti telah diterima masyarakat umum sebagai satu cabang seni (di bawah seni jalanan, atau juga seni urban) dan adalah sebahagian dari seni visual. Ia telah dijadikan subjek pameran di galeri-galeri terkemuka seperti Tate Modern dan Galeri Petronas. Keupayaan graffiti untuk mengubah ruang-ruang umum menjadi galeri-galeri awam untuk menonjolkan seni lukisan dan catan melalui mural atau instalasi awam telah meluaskan takrifan dan capaian seni visual.

Ia sedikit sebanyak merapatkan jurang dalam penghayatan seni visual, serta jurang antara pengamal dan penggiat seni dengan masyarakat umum sezaman.

Jadi dari mana datangnya perbandingan penulis yang menyamakan karya-karya indie dengan graffiti?


Dari segi perundangan, seni jalanan sering mengundang persoalan – adakah ia salah di sisi undang-undang? Kuncinya di sini adalah kebenaran dan persetujuan (permission). Sekiranya sesebuah graffiti itu tidak mendapat kebenaran tuan punya ruang yang digunakan, maka ia adalah vandalisme dan ia salah di sisi undang-undang.

Ini jelas dan benar.

Jadi kita tinggalkan persoalan kebenaran di atas. Yang tinggal hanyalah persoalan status seni sesebuah graffiti itu. Adakah graffiti itu seni? Adakah ia mempunyai nilai-nilai asas seni seperti estetika, gubahan (composition) dan teknik? Dapatkah ia membantu menangani isu-isu yang melanda masyarakat?

Kesenian sesebuah graffiti itu boleh dipersoalkan, dan ia mungkin juga boleh dianggap salah di sisi undang-undang sekiranya ia melanggar Akta Hasutan 1948 atau mana-mana akta yang berkaitan. Namun ini bergantung kepada mesej dan pilihan imej dalam karya graffiti tersebut. Ia tidak menghalang kita dari mengenalpasti dan mengakui nilai seni sesebuah karya graffiti itu.

Jadi apakah yang menjadikan sesebuah graffiti itu karya seni? Merujuk kepada bentuk-bentuk graffiti di atas, jelas bentuk-bentuk umum seperti penyataan-penyataan ringkas dan tag adalah bentuk-bentuk graffiti yang tidak boleh dianggap seni. Ia tidak memenuhi kriteria sebuah karya seni; ia tiada nilai estetika, ia tidak mempunyai gubahan yang jelas dan jitu, ia juga tidak menonjolkan teknik-teknik seni visual yang cekap dan halus. Ia adalah vandalisme.

Yang tinggal adalah bentuk-bentuk lain seperti mural dan seni graffiti spraycan yang sudahpun dianggap sebagai seni oleh golongan seni visual sedunia sejak 3-4 dekad lalu.


Pada aku rencana penulis pincang, dan pemilihan tajuknya yang baik seolah (cuba) menyembunyikan hakikat itu.

Setelah beliau menetapkan takrifan karya-karya indie sebagai kesat, mentah, syok sendiri, merapu dan biadab, beliau menyamakan karya-karya indie seperti graffiti-graffiti yang terdapat di dinding, tembok bangunan ataupun tandas-tandas awam. Penulis seolah-olah menyatakan yang karya-karya indie serupa graffiti bentuk penyataan-penyataan ringkas dan tag, yang mana boleh kita dianggap bukan karya-karya seni.

Adakah penulis cuba menyatakan yang karya-karya indie ini satu vandalisme sastera?

Ini satu perbandingan yang cetek. Penulis membuat perkaitan yang mudah (simplistic) antara karya-karya indie dan graffiti tanpa menunjukkan pemahaman yang kukuh tentang seni dan sejarah graffiti.

Tentunya karya-karya dan penerbitan-penerbitan indie sudah cukup sifatnya untuk digelar karya-karya seni, baik dari segi estetika, gubahan mahupun teknik. Bagus atau tidak karya-karya dan penerbitan ini adalah persoalan yang berbeza. Yang nyata ia cukup sifat digelar karya seni. Biarpun ada peratusan penerbitan-penerbitan indie – zine khususnya – yang kurang jitu dan cermat penerbitannya (dan juga biadap, kesat dan lain-lain lagi sifat yang kasar), ia bukan majoriti. Penulis membuat penyataan pukul-rata semata-mata untuk membenarkannya membuat perbandingan dengan graffiti.

Penulis juga – tanpa sedar barangkali – membuat penyataan dan rumusan yang bercanggah. Setelah merendahkan karya-karya indie ke tahap graffiti di dinding, tembok dan tandas-tandas awam, dia mengakhiri rencana dengan menyatakan yang pastinya ada juga karya-karya indie yang bagus dan elok. Apa yang cuba diperkatakan di sini – ada graffiti-graffiti di tandas-tandas awam yang bagus dan elok?

Penulis sendiri juga telah membuat pengamatan tepat yang kebanyakkan penulis-penulis yang diterbitkan adalah penulis-penulis muda. Namun, adakah adil dan munasabah untuk menjangkakan karya-karya tahap Keris Mas dan T. Alias Taib sebegini awal dalam penulisan mereka? Tambahan lagi, perlukah mereka melalui jalan penulisan yang panjang (seperti penulis-penulis lama) dalam zaman yang penuh dengan teknologi dan peluang untuk membantu mereka memupuk penulisan yang berkesan dengan lebih cepat?

Takrifan indienya juga sidikit sasar. Penulis menyatakan yang rata-rata penulis indie tidak menerbitkan karya sendiri tetapi sebaliknya di bawah label penerbitan orang lain dan itu bukan indie. Indie berasal dari perkataan ‘independent’ (berdikari, merdeka) dan penulis telah lari dari takrifan jitu indie yang bersandarkan prinsip kemandirian.

Penulis terlepas pandang yang label-label penerbitan ini adalah label-label yang tidak termasuk dalam saluran penerbitan arus perdana, dan beroperasi dengan dana persendirian yang amat terhad – sifat-sifat nyata sebuah penerbitan indie. Mereka juga tidak menerbitkan karya-karya dalam genre-genre arus perdana dan sebaliknya cuba menerbitkan karya-karya dalam genre-genre sampingan; alternatif. Mereka tidak bermula dengan capaian dan rangkaian pemasaran umum dan bergantung sepenuhnya kepada internet dan media sosial serta acara-acara komuniti dan grassroot. Semua ini ciri-ciri dan sifat penerbitan indie.

Seterusnya penulis mentakrifkan sastera indie sebagai suatu genre penulisan baharu yang tak punya bentuk yang jelas dan dikenali. Aku rasa novel-novel indie cukup sifat novelnya, cerpen dan karangan ilmiah lain juga cukup sifatnya. Apa yang baharu dan peliknya tentang novel-novel, cerpen-cerpen dan esei-esei indie ini melainkan gaya bahasa dan pilihan topiknya? Tentang sajak pula, penulis seolah-olah terlupa yang sajak adalah satu bentuk puisi yang tidak mengikut norma-norma dan sifat-sifat bentuk-bentuk puisi yang lain yang tetap seperti pantun, syair dan haiku. Istilah ‘(bentuk) sajak yang umum kita ketahui’ yang digunakan penulis adalah satu misnomer; canggung.

Penulis terkeliru; aliran (trend) penulisan dan bacaan disangkakan identiti dan perwatakkan gerakan sastera indie mutakhir.


Jika ada yang merasakan ia agak dangkal untuk aku membalas satu rencana (setahun lewat) yang sudah lebih setahun usia, aku enggan minta maaf.

Topik ini masih relevan.

Polemik penerbitan dan penulisan arus perdana melawan arus indie sedang rancak. Memandangkan perkembangan gerakan penerbitan dan penulisan indie makin besar sejak setahun lepas – bilangan penerbit, penerbitan dan penulis bertambah; bentuk penerbitan, teknik pemasaran dan capaian karya bercambah – mustahil untuk kita ketepikan rencana ini sebagai sesuatu yang basi.

Tiada pihak yang menyatakan karya-karya graffiti (dan indie) sebaik atau lebih hebat dan berharga dari karya-karya seni halus ataupun arus perdana. Jujur aku nyatakan yang rata-rata penulis-penulis indie yang berterbit ini semuanya menulis atas minat dan keghairahan yang mendalam. Dan sebagai warga alaf baru mereka menggunakan semua saluran dan peluang yang ada untuk mengejar minat mereka.

Tidak lebih dari itu.

Ia menyemarakkan industri penerbitan secara keseluruhan, membantu memupuk kesedaran membaca di kalangan belia dan merapatkan jurang antara sastera dan masyarakat.

Gerakan-gerakan indie sering mendahului dan merintis perubahan era-era seni dalam seni visual, seni filem dan juga seni muzik. Ia disambut dengan terbuka, dan dirai bila perlu. Namun dalam sastera ia sebaliknya.

Graffiti (dan seni jalanan) adalah satu cabang seni yang unik – ia menggabungkan sastera dan seni visual dalam satu karya yang langsung dan dekat. Kesegeraan dan keupayaannya untuk mendekati masyarakat (dan kekal dalam ruang awam) adalah sesuatu yang tak terkongsikan cabang-cabang seni yang lain. Aku menjangkakan – mengharapkan sebenarnya – yang rencana beliau cuba menilai sastera indie melalui kanta ini dan membuat rumusan-rumusan kritis dan membuka minda. Jangkaan aku meleset.

Graffiti sudah maju di persada seni dunia – seniman-seniman graffiti di Eropah, Amerika, Asia Timur dan Timur Tengah sering mendapat tempahan untuk pameran-pameran galeri dan pembelian peribadi; Banksy, seorang seniman graffiti terkemuka dari England mampu menjual karya-karyanya dengan harga yang mencecah ratusan ribu ringgit. Sedangkan karya Allahyarham SN Usman Awang sendiri dijadikan tunjang pameran Tanahairku di Galeri Petronas.

Barangkali pendedahan penulis kepada graffiti terhad kepada contengan-contengan di dinding bangunan dan tandas-tandas awam, serta mana-mana mural-mural di persekitarannya. Jika begitu, sudah tiba masanya untuk dia menyedari yang seni graffiti tak semestinya suatu vandalisme memedihkan mata sahaja, sepertimana sastera indie bukan satu vandalisme yang menggugat martabat sastera.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas
Comments

    Leave a Response