Editorial
Now Reading
ULASAN TEATER: Ke Mana Destinasi ‘Love Journey’?
DSC02032
202 0

ULASAN TEATER: Ke Mana Destinasi ‘Love Journey’?

by Pribade Abdullah BongkokAugust 7, 2015

SEBUAH hubungan yang matang diumpamakan seperti mengacau dodol – dua orang tukang kacau mesti memberi tumpuan, keringat, jerih-perih, tahan panas, kesefahaman dan kesabaran agar dodol yang dikacau rata dan sebati serta kekal rasanya yang sejati.

Begitulah kesimpulan yang cuba disampaikan oleh Joanna Bessey dan Na’a Murad di dalam naskah teater Love Journey – A Nation of Two, yang telah dipentaskan sepanjang minggu lalu di Black Box Enfiniti, Kota Damansara.

Kisah yang mudah tetapi dikomplekskan: Aisha Bowman (diperankan oleh Safia Hanifah), anak pasangan kahwin campur Mariam (Fatimah Abu Bakar) dan David Bowman a.k.a Daud bin Abdullah (Chacko Vadaketh), yang bercinta dengan jejaka Amerika Syarikat bernama Matt (Timothy Howe).

Konflik timbul apabila keluarga Aisha di mana sesama mereka bertelagah (ada yang dianggap terbuka dan ada pula yang dianggap jumud) dalam membuat keputusan untuk menerima Matt yang berfahaman atheis.

Konflik diberatkan apabila masalah birokrasi agama Islam di Malaysia yang ditimbulkan oleh Pak Ngah (Na’a Murad) yang sedikit agresif, dianggap seolah-olah menjadi batu penghalang utama hubungan cinta Aisha dan Matt, walaupun disokong kuat oleh Pak Long (Dato’ Rahim Razali), wakil Melayu yang lebih bertolak-ansur.

Lebih terhalang apabila bapa kandung Aisha sendiri (yakni) Daud bin Abdullah yang digambarkan sebagai ‘mualaf’ yang lebih berfahaman sufi (tetapi dari segi perwatakan dan penampilan, nampak macam lebih pada Wahabbi) turut tidak senang dengan fahaman Matt.

Akhirnya, Aisha dan Matt memilih untuk tidak berkahwin mengikut kehendak birokrasi agama Islam dan adat Melayu. Bagi mereka berdua, kebenaran cinta tidak terikat dengan agama dan adat. Cinta adalah rasa yang tulen lagi sejati.


DRAMA komedi arahan Joanna Bessey ini boleh tahan juga sinikalnya pada fungsi kebebasan beragama, berbangsa dan berbudaya sedangkan cinta tidak pernah kenal akan perkara-perkara tersebut.

12
Patung wayang kulit Jawa – Arjuna sedang bertapa.

Sebagai individu yang berdarah kacukan di Tanah Melayu ini, sedikit-sebanyak mesti keliru akan jatidirinya – bangsa dan agama apa sebenarnya yang sedang dianuti?

Dalam konteks masyarakat Melayu (seperti tuntutan naskah ini), masih terdapat dua puak Melayu lama iaitu: satu, Melayu yang tenang dan terima apa saja, (yakni) Pak Long; dua, Melayu yang sedikit berpengetahuan tetapi melecehkan, (yakni) Pak Ngah.

Joanna cuba untuk bermain dengan unsur kesenian Melayu/Nusantara seperti wayang kulit: patung watak Arjuna sedang bersemedi (Arjuna Chiptoming) pada preset persembahan dan permainan gerak bayang; kompang dan dodol.

Namun unsur-unsur ini tidak dikupas dengan mendalam maksudnya sedangkan maksudnya begitu mendalam. Seolah-olah kesenian Melayu / Nusantara ini tiada kaitan dengan agama (Islam) kerana pencerahannya telah dihijabkan oleh agamawan yang berkepentingan seperti yang digambarkan pada konsep set – ranting kayu dan lampu pentas dibaluti kain putih.

Seolah-olah adat Melayu dan birokrasi agama Islam di Malaysia ini umpama bunyi kompang yang bising kosong – semata-mata pesta!

Kekangan yang menutup keterbukaan jiwa telah membunuh rasa cinta yang tulen lagi sejati. Cinta diibaratkan umpama sebuah negara yang menyatukan dua bangsa.

Persoalannya: apakah nilai kebenaran cinta yang tulen lagi sejati itu? Bagaimana kita mahu tahu bahawa itu adalah kebenaran cinta tanpa kita menyaksikan intipati cinta itu sendiri?

Tamsilnya: bagaimana bisa kita percaya tas tangan itu jenama Tory Burch yang tulen sedangkan kita tidak menyaksikan dengan mata kita sendiri tas itu dibuat di kilangnya yang asli?

Agak sedikit bernasib baik jika kita dapat tas replika Tory Burch gred AAA. Jika kita jahil, kita tidak tahu pun bahawa Tory Burch itu sebenarnya jenama yang mahal. Kita beli di ‘uptown’ semata-mata cantik, murah dan tidak mahu ketinggalan untuk bergaya.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.

Leave a Response