Reviews
Now Reading
ULASAN TEATER: Kapal Van Der Wijck Tenggelam Dalam Kecetekan
tkvdw_crop
2130 1

ULASAN TEATER: Kapal Van Der Wijck Tenggelam Dalam Kecetekan

by Pribade Abdullah BongkokOctober 20, 2015

SEPANJANG minggu lalu, bertempat di Panggung Sari Istana Budaya, CTRA Production sekali lagi membawa kepada khalayak sebuah naskah yang boleh diistilahkan sebagai karya agung, iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, karangan Almarhum Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka.

CTRA Production yang diterajui oleh Siti Rohayah Atan sebelum ini pernah mementaskan naskah-naskah yang berjiwa besar antaranya Muzikal Ibu Zain, Muzikal Tun Mahathir, Nyonya, Lantai T. Pinkie dan Di Bawah Lindungan Ka’abah.

Jika diimbas kembali, Siti Rohayah Atan lebih menjurus pada pementasan yang berkonsepkan period atau khususnya zaman 1930-an hingga 1960-an; kisah politik dan menjulang ke-feminin-an.

Dari aspek spektakular, tidak dinafikan bahawa mementaskan naskah yang berlatarkan zaman demikian agak mencabar dan penuh dengan nilai estetika seperti kostum (terutamanya), prop dan set.

Mungkin pada pendapat Siti Rohayah Atan, wanita Melayu pada zaman itu kelihatan begitu seksi kerana ketika itulah tempoh matang bangsa Melayu yang menerima pendidikan Inggeris yang mula bercucuk tanam di Tanah Melayu seawal kurun ke-20.

Lantas pemakaian dan cara hidup Melayu ketika itu cenderung kepada pengaruh Inggeris dan moden. Wanita Melayu ketika itu dilihat seksi pada intelektualnya.

Atau, kita ambil dari sudut lain: itulah zaman pemerkosaan Inggeris yang menghancurkan nilai autentik wanita Melayu. Tetapi, pada masa yang sama, ketika itu seluruh pelusuk Nusantara bangkit menentang penjajahan dan ingin merdeka.

Kaum wanita juga tidak terkecuali.


Belanda dapat tanah

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dikarang oleh Hamka pada penghujung tahun 1930-an dan latar novel ini bukanlah berlaku di Semenanjung Tanah Melayu, sebaliknya ia terjadi di wilayah Minangkabau dan pulau Jawa, di mana ketika itu kepulauan ini ditakluk oleh Belanda.

tkvdw_8

Hamka mengambil latar peristiwa karamnya kapal mewah dengan nama yang sama, di lautan Jawa pada tahun 1936. Tidak mustahil jika dikatakan bahawa James Cameron mendapat ilham menulis filem Titanic setelah membaca novel Hamka ini; walaupun ada yang menuduh Hamka menceduk idea ini dari novel Perancis.

Berbalik kepada naskah Hamka, siapakah van der Wijck ini?

Van Der Wijck ialah seorang Belanda yang lahir dan membesar di Indonesia. Nama penuhnya ialah Carel Herman Aart van der Wijck, seorang Gabenor Jeneral Syarikat Hindia-Belanda. Sebagai mengenang jasanya, namanya diabadikan pada sebuah kapal mewah pada tahun 1921.

Jelas di sini, van der Wijck ialah seorang Belanda.

Sejak penghujung kurun ke-19, api semangat menentang Belanda sudah mula menyala di kalangan penduduk Indonesia. Belanda bukan sahaja menjajah dan menjarah hasil bumi; seperti Inggeris, Belanda berjaya mencipta sebuah bangsa Nusantara moden yang berasaskan material dan darjat.


Nama dan perlambangan

Di dalam novel ini, watak Zainuddin ialah anak kepada Pendekar Sutan, Melayu Minangkabau yang membawa diri ke Makasar lalu berkahwin dengan gadis Bugis bernama Daeng Habibah.

Di sini, Hamka menekankan bahawa rumpun manusia itu wajar bersatu tidak kira apa saja suku kaum. Pendekar Sutan adalah lambang kepada insan, manakala Daeng Habibah pula lambang kepada cinta. Apabila dua peribadi ini bersatu, maka hasilnya ialah ‘perhiasan agama’ atau Zainuddin.

Pun begitu, perhiasan agama tidak bermakna apa-apa jika tidak bersatu pula dengan Hidup (hakikat) yang dilambangkan pada watak Hayati. Nah, inilah yang sepatutnya ada pada setiap individu manusia.

Kebetulan, saat Hamka menulis novel ini, dilihatnya kepincangan masyarakatnya yakni Minang yang membeza-bezakan suku dan darjat serta Hamka tidak bersetuju sama sekali dengan konsep ‘kahwin paksa’; maka itu dijadikan plot demi men-drama-kan lagi novelnya.

Apabila hakikat Hidup yang tulen itu dijadikan oleh manusia sebagai ‘hidup’ yakni sekadar mengambil lapis atasnya sahaja – yang digambarkan Hamka perkahwinan Hayati dengan Aziz, maka manusia itu bisa pincang.

Aziz bermaksud ‘perkasa’ dan perkasa di sini digambarkan wataknya dengan darjat, kuasa, wang, kemewahan dengan cara hidup Belanda; bukanlah gambaran Maha Perkasa.

Kemudian, Hamka menjelaskan lagi apabila ruang kemaafan ditutupi dengan tembok dendam, akhirnya hakikat Hidup itu akan lenyap dan tenggelam bersama materialistik.

tkvdw_1

Kesimpulannya, Hamka menyeru agar kita (manusia) menjadi pemaaf dan bersatu menuju hakikat Hidup lalu menentang penjajahan material (duniawi) dan hidup merdeka bagai orang bercinta.

Ini yang dimaksudkan oleh Hamka: “Kalau hidup sekedar hidup, babi di hutan juga hidup; Kalau bekerja sekedar bekerja, kera juga bekerja.”

Dalam konteks ketika novel ini terhasil, ia ditafsirkan sebagai seru agar Melayu bersatu menentang Belanda dan sistemnya yang telah berjaya meracuni tatakrama Melayu.

Intipati Hamka ini sayangnya tidak diangkat ke dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang diadaptasi dan diarahkan oleh saudara Azhar Zainal.


Beza pentas dan layar

Seperti yang disebutkan tadi, CTRA Production gemar akan konsep period. Citra-citra yang diletakkan di atas pentas Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini sebolehnya memaksa penonton menyebut, “Wow!”.

tkvdw_2

Tetapi, kesilapan paling nyata oleh saudara Azhar Zainal ialah cuba meng-filem-kan pentas. Maksudnya di sini, saudara Azhar tidak berpijak pada realiti pentas. Saudara Azhar menganggap dirinya sedang mengarah filem.

Ini jelas dengan kemunculan babak-babak yang tidak penting lagi singkat, tetapi masa terbuang dengan proses memasukkan set yang gah. Dengan kata lain, saudara Azhar tidak menghargai pereka set dan tukangnya.

Menghasilkan set yang cantik dan gah bukan kerja mudah. Tetapi jika hanya dipertontonkan tidak sampai 5 minit, secara peribadi bagi saya itu sangat membuang masa dan menghina.

Saudara Azhar perlu bijak memadatkan babak agar tidak membazir. Di situlah kepentingan intipati naskah tersebut perlu dihadam sebaik mungkin.

Apabila sudah bosan dengan babak yang menampilkan set yang gah tetapi sekejap itu, penonton mula mencari kesilapan lain.

Nah, baju K-Pop! Baju Aziz (Karl Shafek) dan Zainuddin (Amar Baharin) yang tidak kena pada zaman serta baju orang-orang kampung (petani) yang ketara berbaju kurung hari raya, berkain batik Kelantan dan Jawa. Jawa, Kelantan dan Minang adalah tiga unsur yang sangat bercanggah.

Aspek teknikal yang lain seperti penggunaan projeksi imej-imej 3 dimensi sebagai tirai latar boleh(lah) dikagumkan. Pastinya detik tenggelamnya kapal adalah babak yang ditunggu-tunggu penonton. Namun, ternyata ia mengundang hampa. Seperti yang dikatakan, pentas bukanlah layar.

Pada hemat saya secara peribadi, saudara Azhar tidak perlu terlalu mengejar dramatik filem Titanic atau filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk!

Namun, syabas diucapkan kepada Dato’ Mohamed Juhari Shaarani, Ketua Pengarah Istana Budaya atas resipi meletakkan pelakon berwajah ‘jambu’ di atas pentas demi meraih keuntungan, walaupun pelakon tersebut tidak pernah berlakon pentas — apalagi mempunyai pesona pentas.

Jika resipi ini diteruskan, pelakon-pelakon pentas sedia ada terpaksa menjadi pelayan atau nelayan; dan wadah teater yang sudah dikesani kerosakannya, menjadi semakin punah gara-gara sesuatu itu diletakkan pada tempat yang salah.square-peg-in-a-round-hole

Oh, ya! Siti Rohayah Atan tidak berminatkah pentaskan Muzikal Shamsiah Fakeh?


Untuk kesinambungan tradisi Minangkabau, jangan lupa malam ini persembahan caklempong anjuran Pusat Seni Tradisional ASWARA (PuTRA): Garitik Gereteh di Dewan Orkestra ASWARA, jam 8.30 malam. Masuk adalah PERCUMA.

 Klik sini untuk maklumat lanjut.


Kredit foto: Raditarman Mohd.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
1 Comments

Leave a Response