Music
Now Reading
Ulasan Rock the World 15: Muzik, Pentas dan Crowd
Next
Prev
303 0

Ulasan Rock the World 15: Muzik, Pentas dan Crowd

by Marwan ZDecember 31, 2015

Setiap tahun, festival muzik terbesar tanah air Rock the World tidak penah menghampakan crowd dengan persembahan muzik yang terdiri daripada tiga pentas: main stage, noisy stage dan indie stage.

Ketiga-tiga pentas ini pula padat dengan para pemuzik underground tanah air — ada yang daripadanya memang sudah terkenal dan ada juga muka-muka baru bertapak dalam industri. Kesemua mereka mempunyai satu tujuan iaitu untuk mengegarkan pentas Rock the World!

Pengunjung masih lagi sama — kebanyakannya anak-anak muda, meminati genre muzik dan band tersendiri, mempunyai arah subculture tertentu, dan yang paling utama… cintakan arus muzik tempatan.

Berikut adalah ulasan daripada kami mengenai festival muzik Rock the world 15 yang telah berlangsung baru-baru ini di Tapak Letak Kereta A, Bukit Jalil.

HORNS UP. Antara crowd di hadapan main stage. Gambar: Marwan Z

Petang itu, acara bermula seawal 12.30 tengahari dengan persembahan pemenang-pemenang RTW15 Battle of the Bands. Walaupun cuaca agak terik pada permulaan, ia tidak menghalang pengunjung untuk menikmati muzik dari setiap band yang berikutan.

Secara muzikal, band-band rock, indie dan metal mendominasi seperti kebiasaannya, tetapi edisi tahun ini berbeza sedikit kerana band-band otai turut serta membingitkan lagi suasana: yang paling ditunggu-tunggu tentulah… ACAB.

Aksi Ash daripada Massacre Conspiracy di main stage. Gambar: Marwan Z

Lambaian peminat-peminat muzik memenuhi ruang depan hingga belakang di main stage dengan aksi emosi masing-masing. Sementara itu kelihatan gerakan mosh yang agak lasak di noisy stage dan singalong di indie stage. Cuma secara perbandingan, indie stage kelihatan kurang sedikit mendapat sambutan.

Band-band otai seperti ACAB, Subculture, FTG, Koffin Kanser dan banyak lagi sememangnya merancakkan suasana di main stage. Setelah sekian lama menyepi dari show yang besar-besar, RTW inilah antara platform untuk meraikan mereka.

Antara yang mencuri perhatian di main stage Oh Chentaku dengan persembahan bertenaga dalam kesemua lagu — terutamanya lagu terakhir “Sing It Rock N Roll” yang dinyanyikan sedikit berlainan dari segi gubahan muzik.

Megat daripada ACAB, muncul kembali dengan imej berlainan. Gambar: Marwan Z

Antara pioneer scene underground di Malaysia, ACAB boleh dikira highlight untuk main stage.

Setelah sekian lama menyepi dari pentas-pentas besar, setiap bait-bait baris lagu yang dinyanyikan seolah-olah kami boleh merasai perasaan serta semangat keghairahan golongan subculture skinhead, terutama menerusi lagu “Where Have All the Bootboys Gone” dan “Bersama Semula”. Sedikit berita buat peminat ACAB: mereka bakal menjalankan tour pada tahun hadapan di seluruh Malaysia bersama Subculture.

Di noisy stage, atau hardcore dan metal stage, agak massive dari setiap sudut, memperlihatkan band-band seperti Incarnation, Maddthelin, Artefacts, The Padangs dan banyak lagi. Kami lebih tertarik dengan riff gitar Tres Empre yang membuat seluruh crowd melompat; atau breakdown ganas Restraint, serta tenaga metalcore The Padangs yang menjangkaui setiap pelusuk crowd — belum termasuk lagi aksi hyper vokalisnya Jo. Kids On The Move menutup tirai di noisy stage dengan muzik old school hardcore mereka!

Tenaga explosive metalcore daripada Jo The Padangs. Gambar: Marwan Z

Selain itu, sejarah direkodkan di noisy stage apabila Incarnation menjadikan RTW 15 sebagai titik noktah kepada perjuangan muzik mereka. Setelah berhempas pulas selama 10 tahun, RTW edisi tahun ini menjadi persembahan terakhir mereka sebagai satu unit. Satu persembahan padu berbaur emosi yang jelas terpancar di wajah setiap ahli mereka yang turut sama dirasai oleh peminat mereka sendiri.

Walaupun crowd kurang sedikit, Indie stage tetap meriah dengan band-band seperti Tonawarna, Grey Sky Morning, Nastia, dan An Honest Mistake. Grey Sky Morning antara yang menyerlah di pentas indie dengan lagu “Pancaroba” yang kelihatannya crowd tidak teragak-agak untuk menari serta singalong bersama.

Namun tidak semua yang indah pada hari tersebut; hujan renyai turun bermula lewat petang sehingga penghujung konsert. Peminat tetap setia berdiri di hadapan pentas. Selain persembahan band-band yang sememangnya berbaloi untuk mengisi hari sabtu anda, ada juga jualan makanan, pakaian serta aksesori yang menarik sepanjang hari festival.

Tres Empre ketika membawa lagu ‘Sleeping Tiger’. Gambar: Marwan Z

Setiap elemen festival seolah-olah telah dipilih dengan teliti oleh penganjur. Kami harap RTW tahun depan lebih meriah, dan banyak lagi perkara-perkara yang lebih di luar jangkaan!

About The Author
Profile photo of Marwan Z
Marwan Z
Marwan kukuh memegang citra anak muda, menghargai budaya alternatif dan seni sebagai landasan utama sesuatu tamadun.
Comments

    Leave a Response