Editorial
Now Reading
ULASAN BUKU: ‘Embargo’ Yang Diendahkan, Bahtera UMNO Semakin Karam
488 0

ULASAN BUKU: ‘Embargo’ Yang Diendahkan, Bahtera UMNO Semakin Karam

by Pribade Abdullah BongkokJuly 26, 2015

SETELAH membaca novel Embargo, tulisan Zahari Affandi ini, saya terus teringatkan dua buah novel Shahnon AhmadPerdana dan Shit! @ PukiMak @ PM. Dua buah novel karya Shahnon Ahmad tersebut terang-terangan menyentuh kisah domestik parti yang mendominasi Tanah Melayu – UMNO.

Kulit novel Embargo

Kulit novel Embargo

Perdana (1969) mengambil kisah pembentukan parti UMNO yang bertujuan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu – kisah rajuk Dato’ Onn Ja’afar dan kisah pencarian penyelamat bangsa Melayu yang baharu lagi berkelayakan, yakni seorang penghulu di Langkawi bernama Tunku Abdul Rahman.

Tiga puluh tahun kemudian, Shahnon Ahmad sekali lagi menyentuh perihal parti UMNO dengan berani sekali hingga tercetus fenomena dalam dunia kesusasteraan Melayu apabila terbitnya naskah Shit! @ PukiMak @ PM di mana naskah ini bersifat satira yang teramat gelap, najis lagi jijik, yang melanggar batas-batas santun bangsa Melayu sehingga meninggalkan dua kesan iaitu pertama: sastera dan sasterawan Melayu kembali dipandang masyarakat; dan kedua: naskah ini diharamkan.

Terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBNM), Embargo jelas sekali mengkisahkan seorang politikus yang berlayar dalam bahtera parti UMNO. Walaupun nama parti tidak disebut secara terang-terangan, namun watak Abang YB sebagai orang perjuangan tulen digambarkan dengan terperinci dari kacamata isteri mudanya, Piah – bekas GRO dangdut. Misi Abang YB ialah ingin memenangi kerusi pemilihan dalam parti dengan kaedah yang paling bersih, cekap dan amanah.

Novel Shit karya Shahnon Ahmad yang pernah menjadi kontroversi

Novel Shit karya Shahnon Ahmad yang pernah menjadi kontroversi

Tetapi misinya telah digugat oleh musuh-musuh politiknya (musuh di dalam parti) dengan amalan politik wang dan surat layang. Status isteri mudanya sebagai bekas GRO dangdut menjadi tajuk utama fitnah-fitnah dan batu penghalang paling utama ialah anak-anaknya sendiri. Seperti Zulfakar, yang mengamalkan fahaman pluralisme dan liberalisme; dan Mazatulhani, yang terlibat dalam gerakan Islamic State (IS).

Jika Shit! @ PukiMak @ PM menggambarkan ‘tahi’ sebagai jijiknya permainan politik UMNO yang mendominasi negara, Embargo pula menceritakan satu per satu percaturan jahat di dalam UMNO demi kepentingan peribadi, bukan lagi kepentingan nusa dan bangsa.

Zahari Affandi mungkin ahli UMNO atau pernah berada di dalam UMNO. Mungkin juga beliau mengutip kisah ini dari pengalaman dan pendedahannya yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Melayu. Tetapi, tidak dinafikan juga jika beliau seorang non-partisan – tidak berpihak pada mana-mana parti politik. Anggaplah beliau cuma meluahkan kekecewaannya sebagai anak Melayu yang sedang menyaksikan karamnya sebuah bahtera parti Melayu akibat dari melanggar arahan (embargo).

Sayangnya, baik Zahari Affandi mahupun Shahnon Ahmad hanya menyentuh kisah permukaan parti UMNO sahaja. Sasterawan-sasterawan ini malah yang lain-lain tidak berani menyentuh kisah siapakah sebenarnya yang berada di belakang UMNO?

Saya tertanya-tanya, kenapa Dato’ Onn Ja’afar dalam ucapannya di Johor Bahru setelah menarik diri dari UMNO mendoakan, “Semoga ALLAH pelihara Tanah Melayu!” Siapa sebenarnya Tunku Abdul Rahman di mana namanya tiba-tiba sahaja naik sedangkan yang bermati-matian menuntut kemerdekaan ialah Ahmad Boestamam, Ibrahim Ya’akob, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Dato’ Onn Ja’afar dan Ishak Haji Muhammad bersama raja-raja Melayu yang berjuang bukan atas platfom UMNO?

Rundingan Baling 1955

Rundingan Baling 1955

Kenapa Tunku Abdul Rahman yang mengetuai rombongan ke London sedangkan presiden UMNO ketika itu ialah Dato’ Onn Ja’afar? Dan sebaik sahaja pulang dari London, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu di Melaka dengan alasan negeri Melaka jua-lah yang pertama dijajah. Apakah benar alasannya itu atau kerana Melaka tidak bersultan?

Kenapa tiba-tiba UMNO perlu bergabung dengan MCA dan MIC lalu membentuk Parti Perikatan sedangkan MCA dan MIC hanyalah persatuan sosial, dan bukanlah parti yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu!

Apakah benar Rashid Maidin sudah mengacukan pistol di kepala Chin Peng di hadapan Tunku Abdul Rahman dengan niat ingin menghapuskan Parti Komunis China di Tanah Melayu, sewaktu Perjanjian Baling? Dan apakah 13 perkara perjanjian Rashid Maidin dengan Tunku Abdul Rahman? Apakah pula 49 perkara perjanjian Tunku Abdul Rahman dengan British?

Apakah benar Tanah Melayu ini dimerdekakan secara pajak selama 100 tahun?

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.