Other
Now Reading
The Secret Hideout: Hasil Kolektif Seni Jalanan Anak Kota
Gambar adalah hak milik Julius Raja Manickam.
66 0

The Secret Hideout: Hasil Kolektif Seni Jalanan Anak Kota

by Anak DagangMarch 18, 2015

Kolektif Secret Hideout, yang bermula pada tiga tahun yang lepas berjaya melangsungkan pameran seni pertama pada 13hb Mac yang lepas.

Pameran yang diberi nama Friday the 13th: THE END ini merupakan titik peralihan bagi kolektif yang bermula di kota Kuala Lumpur ini. Pameran ini diadakan di Galeri 321 Studios, sebuah ruang yang memberi ruang kepada para penggiat seni jalanan untuk mempamerkan karya-karya mereka.

Menurut kenyataan daripada salah satu pelopor utama, Sliz menyatakan bahawa pameran ini merupakan permulaan yang baru bagi mereka untuk menerima lebih banyak pengaruh dari luar, dan secara tidak langsung menghasilkan beberapa karya kolaborasi yang lebih asli dan memupuk idea persaudaraan di antara pelukis seni jalanan.

Beliau meneruskan lagi, “The Secret Hideout ingin mengembangkan lagi idea yang ada dan tidak hanya terbatas kepada seni jalanan sahaja, sebaliknya berkembang kepada medium-medium yang lain. Seni yang ada tidak harus dibatasi dan diasingkan mengikut satu medium sahaja, sebaliknya harus berkembang dari segi idea dan bergabung dibawah satu payung kreativiti. Jadi apa yang ingin kami lakukan adalah mengajak para penggiat seni untuk turut menyumbang menghasilkan karya seni secara kolektif”

Julius Raja Manickam sebagai salah satu individu yang turut menyumbang di dalam pameran seni ini menyatakan bahawa seni-seni yang terhasil ini adalah bukti bahawa seni jalanan tidak harus dilihat sebagai vandalisme sahaja, sebaliknya harus diberi peluang untuk melihatnya sebagai sesuatu yang positif.

Beliau turut mengatakan, “Apa yang orang awam lihat sebagai sesuatu yang teruk, kami menawarkan pilihan yang lebih elok. Pameran ini hanya memaparkan gaya yang alternatif, dan sebagai salah satu cara bagi kami untuk berhubung dengan para audien dan menerangkan sedikit sebanyak mengenai seni jalanan di Malaysia.”

Apabila ditanyakan soalan mengenai jurang yang wujud diantara penggiat seni jalanan dan penggiat seni arus perdana, mereka menyatakan bahawa kerencaman pilihan itu adalah lumrah dan ianya harus dilihat sebagai sesuatu yang positif. Julius berkata, “Kepada sesiapa yang berminat tentang seni jalanan, mereka sudah punya pilihan untuk menjenguk pameran kami dan berborak mengenainya. Ia terpulang kepada para audien. Seni yang terhasil adalah salah satu cara bagi kami untuk menyatakan realiti kami sendiri.”

Dari sudut pandang Sliz pula, “Perbincangan tentang jurang yang ada itu adalah sesuatu yang telah lama berlangsung dan tidak boleh dielakkan. Dan apa yang ingin kami lakukan adalah untuk merapatkan jurang yang ada. Dari pelbagai aktiviti yang telah kami lakukan, banyak juga para penggiat seni yang merupakan produk pendidikan formal turut menyumbang dan berkerjasama dengan kami. Segala ilmu yang kami kongsi merupakan sesuatu yang mampu mengembangkan kebolehan kami sebagai penggiat seni.”

Untuk projek di masa hadapan, kolektif ini bakal mengadakan pameran seni di Penang bersama Cracko Art Group yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

“Apa yang menariknya tentang kolaborasi ini adalah perbezaan latar belakang dari segi budaya” kata Sliz sambil sibuk menggantung beberapa lukisan baru beberapa jam sebelum berlangsungnya pameran FRIDAY THE 13th: THE END.

Mereka juga bakal mengadakan suatu program yang bernama Ping Pong Show. Beliau menjelaskan lagi, “Program ini akan lebih berteraskan dialog dan perbincangan diantara para penggiat seni tentang keadaan seni di Malaysia.”

Pameran seni FRIDAY THE 13th: THE END masih berlangsung di Galeri 321 Studios yang terletak di Art Row, Publika Dutamas sehingga 20hb Mac 2015.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response