Reviews
Now Reading
Reviu: Tepuk Amai-Amai
Next
Prev
139 0

Reviu: Tepuk Amai-Amai

by Maira ZamriJanuary 29, 2017

PADA hari Sabtu (28 Januari 2017), The Daily Seni telah diberi peluang untuk menyaksikan teater eksperimental berjudul Tepuk Amai-Amai Karya Khairunazwan Rodzy, seorang penggiat seni yang amat berbakat dan disanjungi orang ramai. Teater eksperimental Tepuk Amai-Amai ini bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia seni. Pementasan Tepuk Amai-Amai yang terbaharu ini merupakan kali kesebelas teater ini dipentaskan, jadi mungkin sestengah dari anda pernah mendengar tentang teater ini.

Pengalaman kami ketika menyaksikan Tepuk Amai-Amai sangat memuaskan dan kami tidak menyesal langsung menontonnya. Dipentaskan dalam kotak hitam Revolution Stage, terasa suasana keakraban di saling penonton. Jika anda pernah ke pentas Revolution Stage ini, pasti anda tahu kami sedang cakap tentang apa.

Pengendali acara memulakan pementasan dengan pembuka kata yang sangat profesional dan elokuen. Dengan lafaz Bismillah, Tepuk Amai-Amai pun bermula. Kami dikenalkan kepada karakter berenam yang dilakonkan oleh Alina Shuhaili, Intan Nurfahanah, Fakhri Shafiq, Qiu Qatina, Nur Hafizzatunisa dan Abu Nazreen. Pementasan tersebut diarahkan oleh Fendi Shah.

Tepuk Amai-Amai menyampaikan sebuah mesej yang telah menjadi buah mulut masyarakat negara setelah bertahun-tahun lamanya—sistem pendidikan negara, sebuah sistem yang hanya memberi tumpuan terhadap mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Ia juga memaparkan kesusahan yang dialami murid-murid sekolah untuk mendapatkan keputusan cemerlang sambil terpaksa menggendong tekanan dari kehidupan di rumah—ibu bapa, adik beradik dan jiran.

Walaupun pelakon-pelakon dapat dilihat memperagakan kostum baju sekolah menengah, pelakon  bukan hanya membawa watak murid sekolah, tetapi mereka juga membawa watak ibu bapa, guru-guru dan ahli masyarakat lain. Gelagat ini telah membuktikan dengan nyata kebolehan pelakon-pelakon muda ini.

Terdapat beberapa babak juga yang melibatkan nyanyian—merdu betul suara mereka! Keenam-enam pelakon ini mempunya bakat menyeluruh dan setiap pelakon mempunyai kemahiran berserba-boleh. Kami di The Daily Seni pasti yang mereka akan menapak lebih jauh dalam dunia seni persembahan.

Barisan pelakon dan krew Tepuk Amai Amai

Di samping lakonan yang hebat dan bertaraf tinggi, Tepuk Amai-Amai juga menampilkan koreografi, penggunaan lampu dan muzik yang teramatlah mengagumkan. Babak kegemaran kami merupakan saat keenam-enam karakter terlibat dalam pergaduhan dan lampu merah saling terbuka dan tutup, membuatkan pelakon-pelakon itu tampil seperti bergerak dalam gaya stop motion—hebat sangat!

Apa yang mebuatkan Tepuk Amai-Amai lebih hebat ialah bahawa latihan untuk persembahan itu hanya dimulakan seminggu sebelum pementasan– walaupun begitu, pementasan Tepuk Amai-Amai menyerlah dengan kehebatan dan tidak nampak sikit pun unsur tidak bersedia.

Secara amnya, Tepuk Amai-Amai merupakan sebuah pementasan yang berbaloi untuk ditonton dan jika ia dipentaskan lagi, janganlah lepaskan peluang untuk menyaksikannya. Walaupun dikekang dari segi ruang pentas, Tepuk Amai-Amai berjaya menyampaikann sebuah mesej, dan itulah apa yang penting. Arahan, lakonan, efek tambahan dan kerja lampu yang amat menarik. Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat!

About The Author
Profile photo of Maira Zamri
Maira Zamri
I'll figure out what to write here when I'm done having an identity crisis. Maira is a writer at The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response