Other
Now Reading
Tentang Sayembara Penulisan: Memperolehi Martabat Sastera Melalui Konsep Persaingan?
193 0

Tentang Sayembara Penulisan: Memperolehi Martabat Sastera Melalui Konsep Persaingan?

by Anak DagangJune 30, 2015

Sastera sebagai salah satu medium pengungkapan kehidupan manusia akan sentiasa dilihat sebagai salah satu forma terpenting dalam pengenalan diri sebuah tamadun. Pengungkapan kehidupan melalui penulisan mendorong imaginasi individu agar menjadi aktif membentuk naratif mereka sendiri.

Keterasingan yang diwujudkan melalui penggunaan akal yang membezakan manusia sesama mereka, mendorongkan sarana-sarana baru, diambil daripada alam keliling dan menjana aktiviti yang merapatkan kesenggangan diantara individu-individu dan alam di sini. Aktiviti kreatif ini dilaksanakan dengan keinginan yang tidak pernah punah selama spesis manusia terwujud, iaitu keinginan untuk bersatu dengan alam, ataupun keselesaan dengan kewujudan individu itu sendiri.

Jadi dengan kata ‘keterasingan’ inilah saya memulakan penulisan saya. Izinkan saya mengaitkan hubungan kata ini dengan suatu program yang telah terlaksana beberapa bulan yang lalu. Program Sayembara Penulisan yang dianjurkan oleh ITBM (Institut Terjemahan & Buku Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan juga rakan media utama, Berita Harian ini telah melaksanakan peraduan penulisan, dengan penyertaan yang memberansangkan daripada para penulis sebagai inisiatif mereka untuk menjulang semula aktiviti penulisan, memperbanyakkan lagi karya-karya persuratan Melayu dan dengan harapan bahawa sastera itu mampu bangkit dan hidup semula, mempengaruhi setiap lapisan masyarakat dengan jayanya.

Menurut encik Mohd Khair Ngadiron selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif di ITBM, sayembara ini merupakan inisiatif pihak mereka untuk memartabatkan bidang kesusasteraan negara. Beliau meneruskan lagi, “Sayembara ini disifatkan sebagai antara usaha rintis supaya banyak lagi penerbit atau badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk menganjurkan sebarang usaha yang berkaitan dalam merancakkan lagi bidang penulisan sastera di negara ini.”

SAM_6730-400x262

Gambar para penulis yang memenangi Sayembara Penulisan ITBM – PENA – BH Sumber: Laman Web ITBM

Peranan sebenar Sayembara

Keberkesanan inisiatif seperti ini mulai jelas terlihat apabila wujudnya peningkatan penyertaan karya apabila sayembara penulisan yang sebelumnya dibandingkan. Sayembara yang pertama menerima 538 penyertaan untuk keseluruhan kategori, dengan pecahan 97 penyertaan untuk kategori novel, 124 untuk kategori kumpulan cerpen dan 317 untuk kategori kumpulan puisi.

Manakala bagi penganjuran sayembara kedua, mereka menerima 611 penyertaan dengan pecahan 119 penyertaan untuk kategori novel; 110 penyertaan untuk kategori kumpulan cerpen; dan 382 penyertaan untuk kategori kumpulan puisi. Pihak mereka mengandaikan bahawa peningkatan ini disebabkan oleh ganjaran yang diberi sebagai hasil yang sesuai untuk karya mereka.

Juga diantara faktor-faktor lain adalah peningkatan keyakinan penulis yang mulai merasakan bahawa karya yang dihasilkan oleh mereka mempunyai kualiti yang tinggi dan juga penetapan penyertaan minimum had umur sudah ditiadakan lagi.

Sayembara juga diadakan sebagai saksi bahawa aktiviti penulisan secara menyeluruh tidak pernah merudum, sebaliknya membuktikan bahawa ianya masih dilihat sebagai aktiviti yang sihat dan para penulis yang wujud dikala ini masih aktif. Inisiatif yang disertai oleh dua golongan umur, generasi muda dan tua juga turut memperlihatkan partisipasi dua golongan secara positif. Jadi begitulah secara amnya prospek-prospek ataupun kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak ITBM mengenai inisiatif sayembara ini.

Ayuh berbalik kepada persoalan isu keterasingan dan hubung kaitan inisiatif ini. Sastera ataupun seni secara umumnya adalah kegiatan yang harus dijalankan selaras dengan objektiviti yang dinyatakan. Dengan ini inisiatif yang berteraskan objektif ‘memartabatkan’ bidang kesusasteraan harus dibincangkan semula.

Adakah benarnya objektif seperti ini berjaya memartabatkan bidang yang disebut mereka? Apakah martabat yang ideal untuk sastera?

Mempersoalkan semula ideal martabat di dalam seni

“Penganjuran sayembara ini merupakan inisiatif kami sebagai penerbit dalam memartabatkan bidang kesusasteraan negara. Dengan cara ini kita dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam dunia penulisan selain mendapatkan hasil penulisan bermutu. Panel yang menjadi juri dalam penilaian sayembara ini menjadikan ia mempunyai taraf yang tersendiri dalam kelasnya,” mengutip pernyataan pengarah urusan ITBM tersebut.

Martabat dapat ditakrifkan sebagai status, taraf, dan kedudukan sesuatu benda di dalam masyarakat. Sejak kebelakangan ini, dilema keterasingan produk sastera telah mulai diperbincangkan oleh golongan penulis. Karya sastera tidak lagi berjaya menghidupi dan mempengaruhi kehidupan majoriti rakyat. Begitu juga dengan karya seni yang lain, bidang seni sudah hilang mujarabnya, dan penyelesaian harus diberikan dengan segera. Disinilah timbulnya suatu keinginan untuk meningkatkan martabat bidang kesusasteraan oleh pihak mereka.

Screenshot_43

Jumlah hadiah yang ditawarkan oleh pihak penganjur

Tetapi yang harus dipersoalkan disini adalah perlaksanaan inisiatif yang berteraskan sistem ganjaran dan kaedah persaingan. Pendekatan seperti ini jelas mengakibatkan percanggahan yang ketara. Sistem ganjaran dan kaedah persaingan tidak akan meningkatkan martabat sesuatu bidang. Martabat harus dikaitkan dengan percubaan untuk mengurangkan rasa keterasingan diantara pelaku dan produknya. Dengan ini aktiviti penghasilan sastera harus terhasil melalui pendekatan alternatif, atas sebab menilai semula fungsi sastera dan bagaimana ianya mampu mencetuskan semula niat dan keinginan masyarakat yakin dengan nilai kesusasteraan.

11110884_10153185771089464_3488702915470669368_n

Dari laman web Facebook ITBM. Sumber: Berita Harian, 31 Mac 2015, halaman BH2 (5).

Jika martabat sastera adalah objektif utama, ianya tidak harus berbalik kepada jalan penyelesaian yang biasa iaitu sistem ganjaran untuk sesuatu perkara. Inisiatif seperti ini meneruskan keadaan persaingan yang meminggirkan pihak-pihak yang tidak terpilih. Sistem ganjaran tidak ada bezanya dengan sistem persekolahan yang mengajar para pelajar untuk bersaing mendapatkan ganjaran gred A, dengan prospek bahawa mereka yang berjaya mampu mempunyai kehidupan yang bagus sedangkan yang gagal tidak beranjak ke mana. Sebaliknya mereka tewas di dalam sistem yang sedia ada, seraya meyakinkan mereka bahawa mereka tidak mampu mengubah naratif kehidupan ke arah yang lebih cerah.

Jika sayembara diadakan berasaskan sistem ganjaran, produk yang terhasil bakal bergantung kepada suatu ganjaran dan martabat yang dikaitkan dengan bidang kesusasteraan menjadi perkara yang kedua. Walaupun ada yang bakal membantah dengan mengatakan tiada masalah jika ianya merupakan suatu persaingan yang sihat untuk mencapai suatu objektif yang betul. Tetapi apakah objektif yang dinyatakan itu betul atau masih wujudkah pelbagai pilihan yang lain, yang dapat dilaksanakan dan lebih jelas berkesan bagi meningkatkan martabat bidang sastera?

Pendekatan lain

Untuk memartabatkan seni kesusasteraan, bidang sastera itu sendiri harus dihidupkan semula dikalangan orang ramai. Dengan peruntukan yang diberikan agar inisiatif seperti ini terlaksana, sebaik-baiknya ianya digunakan untuk merancakkan lagi pendekatan yang jarang digunakan.

Sebagai contoh, jika sistem utama yang dilaksanakan berteraskan pendekatan kooperatif, pihak yang mempunyai peruntukan mampu melaksanakan program penghasilan beberapa karya berdasarkan sesuatu dialog yang terhasil diantara para penulis dengan masyarakat tempatan mengenai beberapa masalah kehidupan yang dibelenggu oleh mereka.

Karya yang terhasil bisa sahaja diterajui ataupun dibimbingi oleh para penulis yang berpengalaman untuk menunjukkan keupayaan mereka mengungkapkan masalah yang ada dan melalui pendekatan sastera, masalah yang dihadapi mereka mampu jelas diterangkan. Kebolehan untuk menyusunkan kata-kata dan konsep bakal menguatkan lagi dorongan mereka untuk mempelajari nilai-nilai sastera. Peruntukan bisa sahaja digunakan untuk menciptakan semula fungsi keberadaan sastera di kalangan masyarakat tempatan.

Sebagai penutup, saya tidak menafikan bahawa sayembara ini berjaya membuktikan aktiviti penulisan masih aktif dan giat dihasilkan. Saya juga tidak menafikan kualiti yang para penulis hasilkan, bukan niat saya untuk menolak inisiatif ini. Tetapi sejak kebelakangan ini, dengan dilema kurangnya apresiasi seni, seharusnya setiap inisiatif yang disertakan peruntukan yang besar harus dilakukan dengan pilihan-pilihan alternatif dan berbeza dengan sistem yang ada.

Fungsi sastera dan juga fungsi seni itu sendiri harus dibentangkan dan dibincangkan semula. Pihak yang mengangkat bidang kesusasteraan harus melaksanakan suatu pendekatan yang baru agar proses pemaknaan kehidupan melalui seni selari dengan fungsi kehidupan manusia itu sendiri, iaitu kebolehan dan kemampuan untuk melawan keterasingan yang ada.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response