Reviews
Now Reading
TEATER MILLENIAL DI MALAYSIA
Ringkasan Shakespeare (Luar Kotak Production, DPAC, 2014) (2)
110 0

TEATER MILLENIAL DI MALAYSIA

by In house WriterMarch 19, 2019

Naskhah-naskhah tentang perjuangan kemerdekaan yang sering dilaungkan dalam pementasan generasi yang lebih awal bukan lagi satu pilihan utama. Dalam fikiran kebanyakan pengkarya, menghasilkan karya mendapatkan kemerdekaan kurang sesuai. Isu-isu yang dibawa dalam naskhah pula lebih kepada isu personal. Pada awal 2000, karya mereka lebih eksperimental berbanding tahun-tahun hujung 2000. Faktor politik bawa kesan mendalam kepada stail yang dipilih.

Kita semak maksud millennial oleh banyak pakar. Rata-rata kelaskan mereka sebagai anak-anak yang lahir dari tahun 1980 sehingga tengah 90-an atau sebelum 2000. Mereka ini jugalah yang digelar sebagai anak-anak yang lahir sebelum tahun 2000 dalam erti kata mudah. Mereka terdedah dengan peralihan dunia analog dan digital, millennial pasti ada pengalaman pakai disket atau dengar kaset di radio. Mereka juga yang ada pengalaman pertama mengguna I Pod dan juga telefon pintar. Mereka jugalah yang asalnya beli CD fizikal yang kemudiannya pertama kali membeli lagu secara digital. Daripada tengok tv siaran analog yang hanya ada beberapa tv nasional kepada kini pakai Netflix.
Kalau melihat kepada usia mula buat teater yang rata-ratanya berumur 20 tahun, tahun 2000 ialah tahun pertama golongan millennial pentaskan teater. Syarat untuk jadi pengkarya millennial ialah mereka perlulah muda dan berusia kurang daripada 20 tahun untuk pentaskan teater. Tidak ada atau terlalu minimal penglibatan daripada pengkarya yang lebih senior. Kita semak semula. Kita kira dan fikir semula, kalau ambil kira aspek yang dinyatakan ini, ciri-ciri teater millennial akan lebih jelas kelihatan pada tahun 2005 dan ke atas kerana pada waktu ini ialah revolusi indie di Malaysia bermula. Kalau mahu keputusan yang lebih baik, perlu lihat kepada teater pada tahun 2010 dan ke atas yang dihasilkan oleh millennial kerana pada waktu ini millennial sudah banyak berkarya dan semakin matang. Paling utama, wujudnya Stor Teater DBP dan Short and Sweet KLPAC yang memberi peluang kepada millennial untuk hasilkan teater dengan kos minimum. Mereka sudah tidak lagi terikat dengan idea kalau mahu buat teater perlu pentas besar. Yang utama ialah ada ruang lakon, penonton dan pelakon. Cukup.
Saya boleh kelaskan pengkarya millennial ini sebagai pengkarya yang menentang konvensional pementasan teater di pentas konvensional seperti Istana Budaya misalnya. Boleh jadi juga pengkelasan ini salah kerana ada sahaja pengkarya muda yang boleh hasilkan karya di pentas konvensional dan mereka terkelas dalam millennial kalau ikut kepada usia kelahiran. Jadi, pengkelasan ini nampak meragukan dan boleh didebatkan lagi. Tetapi, melihat kepada aspek pementasan yang kurang dijalankan oleh anak muda di pentas konvensional, boleh jadi ciri ini boleh diambil kira. Lagipun, dominasi pengkarya dan ahli produksi teater konvensional ialah rata-rata daripada generasi terdahulu. Dalam hal ini, boleh dikatakan peranan millennial dalam teater di pentas konvensional tidaklah terlalu dominan. Ada antara mereka menjadi pereka lampu, kru, penari dan juga watak tambahan. Asas utama kumpulan teater masih lagi generasi terdahulu. Maka, dengan mengambil kira aspek ini, mementaskan teater di ruang bukan konvensional ialah salah satu ciri. Selain itu, millennial tidak mempunyai modal yang banyak untuk pentaskan teater. Mereka rata-ratanya lepasan universiti yang mahu berteater. Jadi pilihan utama ialah apa sahaja ruang yang boleh digunakan untuk pementasan teater. Bermakna, bukan konvensional ialah antara ciri teater Millennial.

Kita lihat pula pada aspek idea dan konsep. Kita lihat pada asas utama teater. Skrip. Naskhah-naskhah tentang perjuangan kemerdekaan yang sering dilaungkan dalam pementasan generasi yang lebih awal bukan lagi satu pilihan utama. Dalam fikiran kebanyakan pengkarya, menghasilkan karya mendapatkan kemerdekaan kurang sesuai. Isu-isu yang dibawa dalam naskhah pula lebih kepada isu peribadi. Pada awal 2000, karya mereka lebih eksperimental berbanding tahun-tahun hujung 2000. Faktor politik bawa kesan mendalam kepada stail yang dipilih.

Absurd dibuat untuk menyampaikan maksud secara tersembunyi kerana kalau cakap secara jelas, akan kena tangkap atau apa sahaja hukuman yang boleh dilaksana kerana mengkritik secara terang-terangan. Jadi absurdity dipilih. Pelbagai simbol diguna untuk bercakap. Berbeza dengan penghujung 2000, pengkarya semakin terbuka. Lebih banyak isu sensitif dibincangkan dengan lebih terbuka. Kali ini, terang-terangan ditulis dalam naskhah. Pada awal tahun 2000, naskhah sendiri kurang menjadi pilihan. Karya luar atau tempatan yang sedia ada dipilih untuk dipentaskan. Semakin lama, mereka semakin berani dengan menulis karya sendiri. Pada penghujung 2010 dan sehingga kini semakin banyak karya baru terhasil. Di sini kita dapat lihat stail ini dengan lebih jelas. Ada pengkarya yang memilih untuk hasilkan karya dengan menyadur lagu-lagu popular P.Ramlee dan Sudirman.

Ada juga pengkarya yang memilih untuk bercerita tentang sukarnya hidup dalam dunia seni. Ada juga yang bercerita tentang pelbagai isu semasa. Isu popular menjadi daya penarik kepada karya-karya selepas tahun 2010. Kebanyakan karya ditulis dengan menekankan aspek sosial dan sistem pendidikan yang pincang. Penentangan juga semakin jelas dalam karya-karya selepas 2010 oleh anak-anak millennial ini kerana suasana politik Malaysia telah berubah. Pada waktu ini, kekalahan BN di beberapa negeri dan juga pertukaran Perdana Menteri baru. Jadi, dasar negara berubah. Begitu juga trend karya. Semakin berani.

Lakonan dalam pementasan semakin natural. Kebanyakan pengkarya banyak terpengaruh dengan stail lakonan moden Miesner dan juga Mammet. Bezanya ialah mereka tidak punya kod untuk setiap lakonan. Kalau dalam lakonan tradisi, kod lakonan sangat jelas. Ini kita gelar lakonan codified atau lakonan berstruktur. Kalau mahu meratap perlu jelas rayu-rayuannya dengan teknik tarik nasib. Kalau karektor itu seorang raja atau bangsawan, lagaknya lebih menegak secara fizikal di atas pentas. Ini berstruktur atau codified. Berbeza dengan lakonan moden. Keutamaan ialah menyampaikan maksud. Boleh jadi lakonan itu kurang emosi. Tetapi, kalau makna yang ingin disampaikan sampai kepada penonton, itu sudah cukup. Bagaimana mahu lebih-lebihkan lakonan kalau ruang antara penonton dan pelakon intim? Ingat kembali, ruang alternatif pilihan pengkarya millennial ini kebanyakkan kos rendah dan kecil. Boleh jadi hanya muatkan 30 hingga 100 orang penonton. Jaraknya terlalu dekat sehinggakan pelakon perlu kawal lakonan supaya jadi senatural yang mungkin. Kalau terlebih, akan jadi aneh melainkan mereka buat pementasan absurd.

Pengarahan dan juga sinografi lebih minimal. Hanya perkara utama sahaja dijelaskan di atas pentas. Melebih-lebihkan perkara ini akan menyebabkan pementasan kurang fokus dan juga akan menyebabkan ruang pentas sesak. Peter Brook, Grotowski dan Brecht menjadi rujukan mereka. Kerana umum tahu bahawa mereka ialah anak muda ada sumber terhad, jadi mereka pilih buat teater miskin. Ruang pementasan boleh di mana-mana bak kata Brook dan kalau mahu hasilkan karya agung, sentiasa perlu dilupa keindahan palsu bak kata Grotowski.
Anak millennial ini semakin tua satu hari nanti dan akan menjadi senior dalam dunia teater tempatan. Diharap mereka tidak bernostalgia seperti mana yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu. Perlu bagi anak millennial ini sering membantu generasi Z yang akan kuasai teater dalam tempoh lima higga sepuluh tahun lagi dan perlu bagi millennial untuk terus berkarya supaya mereka tidak hilang dari zaman mereka. Biar mereka menjadi seperti Peter Brook yang sehingga hari ini masih lagi berkarya dan mengikuti perkembangan teater semasa.

About The Author
Profile photo of In house Writer
In house Writer

Leave a Response