Editorial
Now Reading
TAKRIFAN DAN GARIS NILAI DALAM SENI TANAHAIR
DAILY SENI - Takrifan dan Garis Nilai Dalam Seni Tanahair 03
76 0

TAKRIFAN DAN GARIS NILAI DALAM SENI TANAHAIR

by Zim AhmadiFebruary 8, 2017

Bicara seni dalam Malaysia adalah sesuatu yang musykil; menyulitkan. Bergantung pada kedudukan anda, ianya mungkin satu bicara yang berat sebelah, berkutub (polarizing) atau terasing. Jarang sekali ianya mudah terasa menyeluruh dan melibatkan; inklusif. Sekiranya ada pun, ianya terhad. Tetap juga bergantung pada kedudukan anda; samada dari sudut pandang penggiat, penaung mahupun pencinta.

Rasanya kebergantungan kepada kedudukan ini memincangkan. Agak merumitkan dan membebankan jika rakyat harus mempunyai kecerdasan membezakan sudut-sudut pandang ini ketika berbicara tentang seni secara amnya. Setiap kelompok seni mempunyai sudut pandang yang berbeza; takrifan seni dan kesenian yang berlainan.

Pada hemat saya, ini kurang membantu. Secara amnya, saya menerima pandangan umum yang menyatakan perbezaan sudut pandang dan takrifan inilah yang menjadikan seni itu seni. Namun jika ia mula memisahkan; mula menetapkan garis-garis nilai yang mutlak (walaupun tidak berniat demikian) yang membezakan dan menjauhkan kita, ianya tentulah sesuatu yang tidak mudah untuk saya terima dan persetujui.

Jika garis-garis nilai yang mutlak ini mula diterima rakyat sebagai garis ukur mahupun penanda seni, maka apa yang ingin diraikan seni – kepelbagaian – akan hanya larut dalam wacana-wacana pseudo-ilmiah dan pseudo-intelek hingga hilang. Demi memudahkan rakyat untuk mengenalpasti, ianya akan jatuh menjadi perbezaan yang nyata.

Kita ambil kisah filem Jagat yang bertanding dalam Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) sebagai contoh. Garis nilai disini adalah bahasa.

DAILY SENI - Takrifan dan Garis Nilai Dalam Seni Tanahair 01

Penyertaan Jagat dalam FFM28 adalah sesuatu yang dinantikan. Sebuah filem yang mendukung narratif kemiskinan dengan berkesan  – jujur, tulus dan mentah – Jagat adalah sebuah filem yang dianggap berjaya mencerminkan Malaysia. Kesemua unsur perfileman telah dimanfaatkan untuk mengetengahkan kisah golongan miskin di luar bandar. Baik sinematografi, skrip, lokasi serta dialog dan perwatakan sudah cukup untuk menggambarkan dan menyampaikan Malaysia, biarpun dalam sudut pandang yang jarang dipilih penggiat filem.

Namun, disebabkan takrifan yang telah ditetapkan persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM) yang mengatakan hanya filem tempatan yang menggunakan sekurang-kurangnya 70% dialog Bahasa Melaysia layak menyertai dan bertanding dalam kategori Filem Terbaik Nasional, kedudukan filem Jagat menjadi rumit.

Biarpun sambutan umun hambar – kutipannya di pawagam hanyalah sekitar RM300,000 (60% dari jumlah kos pembikinan filem) – penerimaan filem di kalangan penggiat dan pencinta filem tanahair amatlah memberangsangkan. Sambutan terhadap filem Jagat di festival-festival filem antarabangsa juga menggalakkan.

DAILY SENI - Takrifan dan Garis Nilai Dalam Seni Tanahair 05

Jagat diraikan sebagai sebuah filem Malaysia yang tulen – jujur, saksama dan berseni (biarpun masih ada kekurangan mutu yang mungkin boleh diatasi dengan bantuan dana). Namun kegagalannya untuk memenuhi ketetapan 70% dialog dalam Bahasa Malaysia demi ketulenan dan keaslian karya menyebabkan perbualan sekitar penyertaan dan pencalonannya negatif.

Jagat hanya tercalon dalam kategori Filem Terbaik, satu kategori yang telah diasingkan sejak 2011 untuk menampung penyertaan dan pencalonan filem-filem tempatan yang baik namun gagal memenuhi syarat 70%. Kategori ini bukan sahaja kategori tunggal yang diasing – kategori Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik juga diasingkan kepada Bahasa Melayu dan bukan Bahasa Melayu.

Di sini ingin saya usulkan persoalan mengenai takrifan dan garis nilai bahasa tadi. Terlalu banyak isu kejituan timbul. Apa kayu ukur takrifan seni di sini? Adakah ianya jatuh pada seni perfileman atau pada fungsi industri seperti yang ditetapkan kerajaan? Adakah ianya asal geografi (geographical origin) pembikin filem ataupun kisah yang ditampilkan, ataupun hanya bahasa yang digunakan? Ini masih belum masuk isu kecil perihal penggunaan istilah Bahasa Malaysia dan Bahasa Melayu.

Apa yang saya cuba ketengahkan disini adalah identiti.

Rata-rata kita setuju – malah mencanang – yang seni mencerminkan budaya, dan budaya mencerminkan identiti. Namun setakat itu sahaja kita setuju. Apabila kita cuba mentakrifkan identiti, kedudukan kita – penggiat, penaung dan pencinta  – mula memberi kesan dan pengaruh.

Sekiranya kita penggiat, takrifan kita kebiasaannya akan selari dan dekat dengan takrifan seni. Ini kelaziman untuk semua cabang seni. Apabila kita mengambil kedudukan penaung, sudut pandang kita pula akan berubah dengan ketara. Faktor-faktor sosio-ekonomi serta politik akan mempengaruhi takrifan kita.

Sebagai penggiat seni, kita ingin meraikan seni itu sendiri. Kita ingin meraikan keindahan dalam kepelbagaian, dan mengalakkan percambahan dalam persilangan budaya, seni dan pemikiran. Sebagai penaung seni, kita ingin menjaga kebajikan umum; keharmonian masyarakat yang selaras dengan dasar-dasar dan wawasan kerajaan diutamakan. Pentadbiran dan kepimpinan menerajui keputusan.

Tinggal sang pencinta seni. Terperangkap antara ruang citrawarna penggiat seni yang sentiasa meraikan dan ruang hakiki penaung yang cuba meletakkan rakyat dan bangsa sebagai keutamaan.

Kedudukan ini menjadi lebih kurang selesa apabila garis-garis nilai seni ditetapkan tanpa meleraikan dan merungkaikan takrifan seni dan identiti dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Seterusnya keadaan di sekitar penyertaan Jagat dalam FFM28 telah beralih dari persoalan seni perfileman menjadi persoalan bangsa dan kaum, dan naratif yang ingin didukung Jagat telah larut dan lesap dalam keghairahan semua pihak terlibat – baik langsung atau media sosial – untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Selanjutnya kontroversi seperti keputusan memboikot FFM28 oleh beberapa penggiat seni perfileman tanahair pun berlaku.

Adakah ini “kepelbagaian” seni yang ingin dirai? Kepelbagaian yang membezakan dan menjauhkan; memutlakkan dan mengenakan (imposing)? Dan yang paling sedih sekali, berlaku sedemikian mengikut garis-garis nilai yang berpandukan bangsa, kaum, agama dan bahasa. Tanpa mengambil kira konteks dan keadaan semasa.

Malaysia mempunyai takrifan khususnya untuk seni tanahair yang ditetapkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Sejak ianya diperkenalkan pada 1971, hasil daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu, dasar ini telah menjadi panduan dan pedoman umum semua jabatan dan agensi kerajaan serta dilanjutkan kepada semua penggiat seni tanahair.

Dasar ini telah dikemaskinikan sedikit sebanyak kini, dan menyatakan tiga prinsip teras:

  1. Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaanpersamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu – Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.
  2. Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lainlain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
  3. Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam member panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendakkehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.

Persoalannya – adakah ini takrifan seni tanahair yang Malaysia perlukan sekarang ini?


This article is written by one of our contributors, Adnan Qiyas. If you wanna find out more about him, check out his Twitter at @adnanqiyas.

About The Author
Profile photo of Zim Ahmadi
Zim Ahmadi
Head writer for Daily Seni. Eats surreal for breakfast.

Leave a Response