Music
Now Reading
Supergroup Gabungan Joe Wings, Hilary Ang Dan Rakan-Rakan Lancar Sempena Raya
3023 1

Supergroup Gabungan Joe Wings, Hilary Ang Dan Rakan-Rakan Lancar Sempena Raya

by The Daily SeniJuly 5, 2015

Gabungan supergroup Prime Domestic menghimpunkan lagenda-lagenda rock tempatan seperti Joe Wings, Hilary Ang, Kelly Bass, Ujang Exists dan penyanyi pilihan mereka, Zul Symphonia.

UNTUK melancarkan ketibaan mereka di gelanggang muzik perdana, Prime Domestic bakal mengeluarkan dua buah lagu bercorak Hari Raya sempena Aidilfitri, termasuk sebuah gubahan Joe berjudul “Kembali Ke Fitrah”.

Single berkembar tersebut memaparkan persembahan dwi-gitar dari dua wira gitar tanahair yang disegani. Joe Wings dan Hilary Ang masing-masing punyai gaya, tona dan kekuatan tersendiri dari kumpulan-kumpulan utama mereka iaitu Wings dan Search, dua band yang bukan sahaja bertahan lebih dua dekad atas jualan multi-platinum dan daya tarikan di pentas konsert, tetapi juga karakter serta ketahanan lagu mereka.

Di mana Joe Wings selaku mastermind utama kumpulan merancang arahtuju kumpulan dan merekakan bahan yang menjadi tulang belakang album sulung Prime Domestic – satu nama yang ditetapkan oleh Joe Wings sendiri – tarikan buat penggemar rock pasti permainan gitar beliau bersama Hilary.

“Kita tidak ada istilah ego antara kita yang berkenaan Search atau Wings dalam group ini, jadi kemistri dia ok, begitu baik dan tiada masalah bagi kita,” ujar Hilary.

Hilary yang terutamanya dikenali sebagai ahli asal kumpulan lagenda Search dan Cromok juga biasa beraksi dengan gitaris-gitaris seangkatan beliau yang sama handal termasuklah Kid dan Din Search, Karl Cromok dan Jamie Wilson.

Apa rasa beliau dengan kehadiran Prime Domestic di tahun 2015 ini pula? “Saya rasa kepuasan itu tinggi, pada peribadi saya,” katanya tentang penglibatan beliau dalam group berbakat ini, setelah selesai proses rakaman dua lagu Hari Raya dan album penuh.

“Muzik kali ini lebih ringkas dan mudah, kurang nak tunjuk terer. Dan dalam pada lagu-lagu yang berat bunyinya, rasanya melodi semuanya agak radio-friendly dan boleh diterima. Pada kita sedap lah, harapannya, pada pendengar kita tak tahu lah lagi,” tambah Hilary dengan ringan dan optimis, menerangkan isi lagu-lagi Prime Domestic.

Kelly Bass dan Ujang Exists pula dua pemuzik versatil dan lengkap pengalaman mereka, pemain undangan yang paling tersohor di dalam industri yang sering sahaja aktif dan ditempah pelbagai artis, tidak kira di Malaysia atau Indonesia mahupun genre muzik daripada pop ke asli, jazz, R&B hingga ke rock, metal dan muzik berat.

Vokalis baru pelengkap permulaan jelajah Prime Domestic

Yang istimewa tentang kemunculan Prime Domestic ialah khabar penubuhan mereka sudahpun dikata-katakan sejak tahun 2013 lagi, sebelum sebuah lagu pun mula dirakam. Antara penyanyi awal yang disenaraipendek untuk menyertai kumpulan sebagai orang depan termasuklah pada waktu itu Azlan Typewriter dan Moq (bekas Search dan Projek Pistol).

Apakah faktor yang melonjakkan Zul Simfonia, pilihan Prime Domestic yang terakhir, dari kegelapan pentas-pentas kelab ke spotlight perdana diiringi pemuzik-pemuzik terbaik negara?

Menurut vokalis yang ditemui oleh Hilary sewaktu beliau menyanyi malam di kelab The Ship itu sendiri: “Saya membesar dengan lagu-lagu daripada kumpulan Search, Wings, Exists, Lefthanded, May dan kumpulan-kumpulan seangkatan mereka dan saya amat menghargai peluang ini dan menyanjung tinggi mereka.”

“Lirik-lirik dan arrangement melodi dalam lagu-lagu Prime Domestic yang begitu berbeza dengan lagu-lagu yang ada sekarang, dan ia membawa satu challenge yang besar bagi saya. Melodi yang saya dapat semuapun, kebanyakkannya terbalik-terbalik (jika mendengar kandungan album penuh dan bunyi sebenar Prime Domestic nanti) dan saya teruja berada dalam kumpulan ini bersama mereka,” ujar Zul lagi tentang keistimewaan muzik serta lirik Prime Domestic, bukan sahaja diketengahkan oleh Joe Wings tetapi menerima sentuhan penting daripada Kelly dan Ujang.

Tambah Hilary pula, sebagai solois utama kumpulan yang memberikan magis spontan komposisi solo-solo gitar beliau yang paling ‘kena’ dan sedap dengan lagu, Prime Domestic dalam pada membuka ruang untuk beliau lebih bebas bermain, ia pada masa yang sama menyaksikan saat di mana beliau mengambil tindakan kreatif untuk meletakkan had

“Dengan Prime Domestic, apa yang terlintas saya juga let it go. Saya cuba untuk tidak bermain dengan terlalu lebih, atau pergi dengan laju tanpa sebab yang munasabah,” jelas Hilary, “sebaliknya untuk membawa melodi-melodi utama, lagu dan karangan muzik itu sendiri.

Menurut gitaris handalan yang berpengalaman luas itu lagi, misinya untuk Prime Domestic adalah untuk menembusi pasaran Indonesia, sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan Search pada awal dekad 1980an di era keemasan label rakaman dan penjualan serba-platinum album-album kaset yang mencecah sehingga berjuta unit.

Adakah Prime Domestic sebagai kolektif yang tidak boleh disangkal kredential mereka bakal menyemarakkan semula semangat rock di Malaysia juga, semangat berleluasa seperti yang dikibarkan setiap kumpulan individu mereka sebelum ini? Yang pasti, mereka merupakan pemain rock terbag dan yang tinggal menentukan adalah penerimaan lagu-lagu awal mereka ini, di samping prestasi langsung mereka berlima di konsert pertama yang bakal mendahului album pertama mereka kelak.


* Tunjukkan sokongan anda buat Prime Domestic di laman media sosial mereka.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
1 Comments

Leave a Response