Film & TV
Now Reading
Suamiku, Encik Perfect 10!: Dari Telefilem Ke Filem Panggung
278 1

Suamiku, Encik Perfect 10!: Dari Telefilem Ke Filem Panggung

by Anak DagangJanuary 14, 2015

Kuala Lumpur, 13hb Januari 2015 – Berlangsungnya tayangan perdana filem terbaru ‘Suami, Encik Perfect 10!’ yang diadakan di Golden Screen Cinema (GSC), Pavilion, Kuala Lumpur – hasil kerjasama diantara Astro Shaw dan Global Station. Ianya dilihat sebagai acara pembuka tirai bagi tahun 2015, dan industri filem negara kita memulakannya dengan filem romantik yang dibintangi oleh Aaron Aziz dan Lisa Surihani.

Filem ini merupakan adaptasi daripada novel yang ditulis oleh Syamnuriezmil dan diarah oleh Mohamed Feroz Abdul Kader. Filem ini turut dibintangi oleh para pelakon yang lain seperti Syazwan Zulkifly, Raja Ilya, Normah Damanhuri, Jasmin Hamid dan Jehan Miskin.

Menarik untuk diperhatikan bahawa filem ini pada mulanya dihasilkan khas untuk tayangan di televisyen, dengan pendekatan dan suntingan yang berbeza dengan tayangan di panggung. Secara tidak langsung proses yang berlaku benar-benar berbeza daripada penghasilan filem yang seharusnya.

Adakah setiap telefilem dinegara kita yang sememangnya dihasilkan untuk tayangan di televisyen, layak untuk ditayangkan di panggung-panggung utama? Apakah kayu ukur utama yang menentukan penukaran yang besar bagi setiap telefilem? Apakah faktor utama yang menyebabkan penukaran telefilem ini?

Daily Seni berjaya menghubungi Cik Adila Ramly selaku produser eksekutif di Global Station Sdn Bhd. Pihak kami berjaya mendapat jawapan daripada beliau tentang sebab-sebab berlakunya penukaran telefilem ke filem.

Berdasarkan berita tidak rasmi yang tersebar di kalangan penggiat industri filem, filem berkenaan dikatakan telah ditukar dari telefilem ke filem panggung. Apakah pendapat Cik Adila tentang berita ini?

Suamiku, Encik Perfect 10! (SEP10) pada asalnya merupakan sebuah filem yang dihasilkan untuk siaran Astro First Ekslusif. Selepas meneliti hasilnya, pihak penerbit dari Astro Shaw dan Global Station mendapati produk ini sesuai untuk diterbitkan ke layar perak kerana kualiti karya Feroz Kader secara kesuluruhannya adalah baik dan sangat menarik. Ditambah lagi dengan lakonan yang bagus dari gandingan pelakon pelakon yang mantap, kami percaya SEP10 berpontensi tinggi untuk membawa penonton kembali ke pawagam untuk membantu membangkitkan kembali industri filem melayu.

Bagaimana dengan isu bayaran yang diberikan kepada pelakon & kru filem? (adakah ianya masih dikekalkan melalui standard telefilem ataupun bonus diberikan kepada mereka, ataupun bayaran telah ditukar mengikut kadar filem)

Mengenai isu bayaran, kami telah memastikan bayaran kepada pelakon dan kru mengikuti kadar yang berpatutan dan telah dipersetujui bersama.

Terdengar juga tentang berita bahawa filem ini berjaya mendapat slot ‘Syarat Wajib Tayang’ di panggung-panggung tempatan. Adakah ianya benar? Jika benar, bagaimana ianya boleh berlaku?

Filem SEP10 telah mengikuti semua peraturan yang dikehendaki oleh jawatankuasa wajib tayang dan telah lulus untuk wajib tayang.

Sebagai penerbit filem, apakah pendapat Cik Adila tentang pertukaran telefilem kepada filem yang sering berlaku sejak kebelakangan ini?

Content is king. Untuk ke layar perak, sesuatu produk itu pada pendapat saya harus mempunyai jalan cerita yang menarik. Selain itu, mutu lakonan yang mantap, pengarahan yang baik serta kualiti keseluruhan yang bagus juga faktor yang penting. Penonton sekarang sudah bijak menilai dan sebagai penerbit filem saya percaya, SEP10 memenuhi ciri ciri yang disebutkan.

Jadi persoalan yang tercetus daripada pihak kami, adakah trend ini bakal berterusan, dimana setiap telefilem yang disertai dengan pelakon-pelakon yang terkenal akan diberi peluang untuk ditayangkan di setiap panggung di negara kita? Kerana harus ditekankan bahawa proses ataupun kerangka pemikiran yang ada bakal membuahkan produk yang berbeza. Kualiti yang dihasilkan untuk pawagam berbeza dengan kualiti yang dihasilkan untuk telefilem, dari pendekatan teknikal, kos yang dikeluarkan dan asas ideal yang melandasi setiap karya itu sendiri.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
1 Comments

Leave a Response