Editorial
Now Reading
Sorotan seni pentas sepanjang 2015 (Bahagian 2)
234 1

Sorotan seni pentas sepanjang 2015 (Bahagian 2)

by Pribade Abdullah BongkokDecember 31, 2015

MEMETIK ucapan Menteri Pelancongan & Kebudayaan, Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz ketika merasmikan Majlis Berkhatan Perdana anjuran Yayasan Anak Kuale (YAK) di Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar pada awal Disember lalu, bahawa katanya, “Acara seperti ini (rujuk: berkhatan beramai-ramai) jika berlangsung secara konsisten, maka ia boleh menjadi sebuah produk pelancongan.”

naza

Alamak, apa sudah jadi? … Sikit-sikit ‘produk pelancongan’! … Apa fungsi budaya bangsa ini hanya dipandang sebagai suatu aset yang boleh mendatangkan untung kepada kantung negara sahaja, kah? Kenapa tidak jadikan seni budaya ini sebagai suatu amalan peradaban bangsa yang membanggakan?

Tidak salah jika produk pelancongan itu benar-benar tulen dan melambangkan jatidiri suatu peradaban bangsa. Akan tetapi, jika ia diubahsuai berdasarkan kehendak pemerintah, sudah tentu ia menjadi caca-marba.

Citrawarna contohnya, yang semakin hilang ketulenan seni budaya dan paling baru – Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 yang berlangsung di Melaka: apa ke merepek tema fantasi Disney diangkat di bumi Melayu yang tiada salji ini?

(Ironinya, sambutan tersebut berlangsung di negeri yang suatu ketika dahulu membanggakan alam Melayu, dan pentas utamanya pula di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan; tetapi tema sambutan yang dipilih bukan dari budaya kita. Apa makna merdekanya kita ini?)

Jangan salahkan Indonesia jika mereka memandang keji pada kebudayaan kita, ya! Perlu diingat, dalam saingan perniagaan, jatuh-menjatuh adalah perkara biasa, laksana gerai pisang goreng yang kedudukannya sebelah-menyebelah. Begitulah halnya dalam ‘bisnes’ pelancongan antara Malaysia dengan Indonesia.

Di manakah bijaksananya pemerintah yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga dan memartabatkan kepentingan seni budaya bangsa Melayu?


Jauhari mengenal manikam

Apakah wajar kewujudan program PERMATA SENI dalam melahirkan generasi yang menghargai seni budaya jika kumpulan ini terlalu elit sifatnya?

003

Seharusnya, matlamat program PERMATA SENI mestilah mengambil falsafah proses batu permata itu sendiri; di mana dari seketul batu kasar yang dilombong dan bersalut lumpur, kemudiannya digilap dan diukir oleh pandai, lalu terserlah-lah keperibadian permata itu sehingga layaknya sebentuk cincin dinilaikan puluhan juta ringgit.

Jangan pula kita sangka permata, tetapi sebenarnya poly(methyl methacrylate) atau plastik!

Apabila kita sudah dianggapkan bahawa plastik itu adalah permata, maka kita akan mengalami kerugian yang besar. Kita akan menjadi bangsa yang langsung tidak kenal akan permata.

Dan, apabila penjarah datang ke negara ini lalu mengambil permata asli dan membawanya keluar di depan mata kita: tinggal-lah kita kemiskinan dan berhutang pula dengan penjarah tadi sehingga negara ini tergadai. Tidakkah situasi ini merisaukan kita?

Seni budaya itu ibaratnya urut – ada urut bohong yang menyakitkan, ada urut yang hanya hilangkan lenguh otot, ada urut yang uraikan simpulan urat, memecahkan angin dalam saluran darah, ada urut yang legakan sendi, menyambung tulang yang patah, dan paling istimewa – urutan yang sampai ke jiwa.

3

Seni budaya warisan pusaka yang paling mahal ialah seni budaya yang sampai ke jiwa. Hari ini, seni budaya tahap inilah yang tidak diketahui ramai kerana ada segelintir pihak yang menafikannya setelah bersekongkol dengan penjarah.

Maka itu, seni budaya yang ada hari ini laksana pokok plastik yang ditanam dalam tanah – nampak sama seperti yang asli, tetapi tidak memberi sebarang manfa’at. Tiada kitaran proses fotosintesis dan yang paling mengharukan – tiada akar yang membantu menguatkan tanah.

Senang cakap, kesenian sekarang bukan lagi sebuah kehidupan melainkan hanya hiasan palsu semata.

Pemerintah, waima sesama kita juga mungkin sudah terlupa apa yang kita pelajari di sekolah dari mata pelajaran Alam dan Manusia, bahawa akar yang kuat menghasilkan pokok yang sihat dan tanah yang subur. Apa, masih belum faham lagi?


Tunggul ada, tapi akar sudah mati

Seni budaya warisan pusaka yang benar-benar bermanfa’at sudah menjadi tunggul kayu – masih ada, tetapi akarnya sudah mati. Keberadaannya menyakitkan pemandangan dan jika tersadung, boleh berdarah ibu jari kaki.

Maka itu, pemerintah mencangkulnya keluar dan tunggul itu dimusnahkan sehingga tiada kesan, lantas ditanam pula pokok hiasan plastik. Kita sebagai manusia di bumi Malaysia ini pun mula mengkagumi keindahan plastik.

Kemudian, diajukan pula persoalan kepada penggiat seni budaya: ke mana hala tuju kesenian dan kebudayaan kita? Eh, bagaimana kita mahu tahu hala tujunya jika akarnya sudah tiada?

CSP_3420

Kesannya, sudah tentu pada teater moden yang dihasilkan – naskah yang berpaksikan pada akal fikir, bukan lagi berpangkal pada hati nurani. Naskah yang ‘wannabe’ naskah barat, yang kononnya memperjuangkan ideologi dan falsafah. Kenapa kita mesti mengakui kehebatan naskah barat? Malukah kita hendak mengangkat jatidiri kita sendiri yang santun lagi berbudi sifatnya?

Nah, inilah akibatnya jika tiada akar yang kuat!


Untuk membaca bahagian 1, sila klik pautan ini.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
1 Comments

Leave a Response