Editorial
Now Reading
Sorotan seni pentas sepanjang 2015 (Bahagian 1)
Next
Prev
225 1

Sorotan seni pentas sepanjang 2015 (Bahagian 1)

by Pribade Abdullah BongkokDecember 25, 2015

TIDAK adil rasanya jika menulis tanpa mengikuti perkembangan teater di Kuala Ibai, Alor Star, Georgetown, Seremban, Ipoh, Johor Bahru, Gua Musang, Kota Kinabalu dan Kuching. Teater yang berpusat di ‘Kota Yap Ah Loy’ ini seakan membiak-suburkan lagi khayalan kosong – tidak berpijak di bumi nyata.

Mungkin kita terlepas akan kemajuan teater di sana, atau mereka masih di takuk lama? Persoalan paling kepingin jawapan – masih sucikah teater di sana? Apakah teater di sana juga sudah mula menganggap naskah-naskah bahasa Inggeris sebagai naskah yang terbaik?

Ya, teater bahasa Inggeris tamsilnya seperti bocah yang mahukan perhatian; sedangkan teater Melayu pula diibaratkan hidup segan, mati tak mahu.

Seniman teater sejati – terus berjuang tanpa kenal erti tewas. Syabas Khairunazwan Rodzy, Ayam Fared dan Christopher Ling; secara peribadi, saya amat kagum dengan semangat kalian. Namun, tidak boleh ketepikan nama-nama seperti Yusof Bakar, Seni Bayan, Ard Omar, Jasmi Jamal, Rosli Mansor dan ramai lagi semestinya (maaf, hanya dapat menyebut segelintir sahaja).

Tanpa mereka, kegiatan seni pentas di luar Kuala Lumpur ini mungkin tidak bererti, walaupun setiap kali selesai pementasan, mereka melepaskan satu nafas dengan dua maksud: lega dan keluh – lega kerana persembahan sudah selesai setelah persiapannya makan masa berbulan-bulan; dan mengeluh kerana tiada pulangan.

Persoalannya, sampai bila ‘orang teater sejati’ di Kuala Lumpur ini perlu mengelak dari penarik kereta dan mencipta alasan kepada tuan rumah, kerana menangguhkan sewa?


Probono

Teater tidak layak untuk dipanggil industri, kerana tiada keterlibatan untung-rugi dalam penjayaan sesebuah teater. Semestinya lebih kepada rugi. Teater adalah medan bertemu manusia-manusia yang tersampuk kenan pentas yang sanggup bikin kerja probono – tidak dibayar upah (kalau ada, alhamdulillah).

Di mana-mana pun di seluruh dunia ini, teater bukanlah industri. Di Glasgow sekali pun, selain kutipan tiket, sesebuah kumpulan teater terpaksa berniaga bir, wain, makanan dan loteri setiap kali pementasan.

Kemunculan panggung-panggung swasta untuk disewa seperti The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), Damansara Performing Arts Centre (DPAC) dan Petaling Jaya Live Arts (PJLA); sebenarnya menyukarkan lagi kegiatan berteater kerana sewanya yang mahal. Tiada keseimbangan antara sewa panggung dan jualan tiket.

Lebih menyukarkan lagi apabila timbul pula agensi-agensi seperti Kakiseni dan My Performing Arts Agencies (MyPAA) yang cuba berfungsi sebagai wira menyelamatkan seni pentas tetapi mereka sendiri tidak kenal tanahair – memperlekehkan Bahasa Melayu dan ‘seniman kampung’. Eh, siapa makan cili, dia-lah terasa pedasnya.

Istana Budaya – kalau dengan mengatakan istilah ‘istana’ itu dapat mengangkat martabat seni budaya, ternyata matlamat itu telah dipimpin oleh orang yang salah. Bak kata raja-raja dahulukala, “Seorang Sultan ialah seorang fakir.” Apakah maksudnya?

Maksudnya, pihak ‘istana’ mesti mendekati rakyat, mengetahui apa masalah rakyat. Bukan-lah rakyat yang terhegeh-hegeh mengadap ‘istana’ untuk memberitahu masalah.

Lihat saja contoh Esplanade Singapore, bagaimana mereka sanggup ke serata dunia mencari dan melamar persembahan luar negara untuk dibawa ke pentas mereka. Kenapa kita tidak begitu, jelajah ke serata kampung, dan bawakan pementasan yang boleh diiktiraf ke ‘istana’?

Apakah sudah tiada lagi persembahan yang tulen di serata kampung sehingga Istana Budaya lebih mengangkat budaya luar, yakni pementasan muzikal?


Teater lambak

Memandangkan graduan teater pada ketika ini terlalu ramai, maka kalau boleh, kita ingin melihat akan wujudnya pusat seni budaya di setiap komuniti. Mungkin di setiap mukim, setiap daerah, atau di setiap taman perumahan. Sepertimana pada tahun 1960-an, berlambak kumpulan sandiwara di kampung-kampung dan pertandingan drama sangat giat berlangsung.

Walaupun kumpulan-kumpulan sandiwara ini mengambil cerita dari hikayat-hikayat Melayu – Hikayat Hang Tuah terutamanya, namun ia tetap jelas menggambarkan citra bangsa Melayu.

Akhirnya, kemunculan peti perabot bernama televisyen dan penaklukan falsafah-falsafah absurd serta eksistensial telah membunuh kumpulan-kumpulan sandiwara ini. Akibatnya, teater hari ini hampir tidak ada unsur-unsur ke-Melayu-an. Apatah lagi teater yang dihasilkan oleh graduan teater yang kononnya ingin sangat dikenali sebagai ahli Shakespeare dan Brecht.

Maksud persoalan hilang unsur-unsur ke-Melayu-an dalam persembahan di sini selain mengambil latar masyarakat ialah: Mana silatnya? Mana kerisnya? Mana pakaiannya? Mana pantunnya? Mana selokanya? Mana lagunya? Mana guraunya? Mana adab dan budinya?

Unsur-unsur ini tidak boleh hanya bersandar pada persembahan teater tradisional sahaja. Apa, unsur-unsur ini tidak layak, kah diamalkan sebagai cara hidup moden? Segan, kah?

Bukan-lah bermaksud kita mesti bersikap rasis dan kuno. Tetapi, kita mesti-lah berbangga dengan identiti, jatidiri dan citra-citra di mana bumi dipijak yakni Tanah Melayu, kerana setiap peradaban itu seiring dengan seni budaya. Apa, bangsa Melayu ini tiada peradaban, kah?

Makanya, siapa lagi yang berhak mempopularkan kembali imej-imej Melayu selain Istana Budaya dan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN)?


Untuk membaca bahagian 2, sila klik pautan ini.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
1 Comments

    Leave a Response