Editorial
Now Reading
Si Romantik: Romantisisme Masih Hidup dan Menghidupkan
Next
Prev
189 0

Si Romantik: Romantisisme Masih Hidup dan Menghidupkan

by Adnan QiyasSeptember 9, 2017

Man’s real home home is not a house, but the Road, and that life itself is a journey to be walked on foot.

Buku ‘Si Romantik Yang Sudah Mati‘ karya Ashikin M terbitan ROMAN BUKU bermula dengan kata-kata penulis Inggeris terkemuka Bruce Chatwin dari bukunya ‘What Am I Doing Here?’ Chatwin adalah penulis kegemaran Ashikin dan kesan penulisan pada Ashikin amat ketara – hampir kesemua cerpen dalam buku ini bertemakan pengembaraan; hampir semua cerita berdasarkan watak-watak yang dalam perjalanan menuju sesuatu atau yang sedang dalam perhentian. Malah cerpen kedua dalam buku ini merupakan penghormatan nyata penulis kepada Chatwin – ia dijudulkan ‘A Conversation with Chatwin’.

Kenapa Chatwin? “Chatwin is my spirit writer! Membaca cerita-cerita dia dan tentang dia membuatkan saya merasa seperti membaca tentang diri saya sendiri. We’re so similar dan ia membuatkan saya merasa lebih bersemangat untuk menulis. His stories are insightful dan dia banyak menulis tentang perjalannya ke negara lain dalam bentuk fiksi; tanpa meninggalkan perincian yang sebenar.” jelas Ashikin dalam wawancaranya yang disertakan di penghujung buku ini.

Aku mengenali Ashikin dengan lebih dekat kira-kira setahun setengah lalu, melalui penulisannya dalam ‘Burning Constellation’ terbitan Laras 99. Jelas dari buku itu Ashikin adalah seorang penulis yang masih mencari suara penulisnya dan keberadaannnya sebagai penulis, namun apa yang aku bawa pulang dari bacaan aku adalah Ashikin seorang penulis yang mempunyai penulisan yang lancar. Burning Constellation dibahagikan kepada 3 bab yang mengandungi sejumlah 47 karya-karya puisi, prosa dan cerpen dari Ashikin, dan aku berjaya menghabiskan dalam masa 30 minit. Penulisan Ashikin mudah, matang dan maju – beliau tak menggunakan bahasa yang tinggi dan perkataan-perkataan besar, beliau sering menyelitkan teladan umum (conventional wisdom) dalam karya-karya beliau dan cerita-cerita beliau sentiasa bergerak menuju sesuatu. Aku tak perlu meluangkan lebih masa untuk memahami apa yang ingin disampaikan – aku akan terus menyertai cerita itu dari ayat pertama sehingga ia tamat tanpa perlu merenungi atau menyelidikinya terlebih dahulu.

Penulisan ini kekal dalam Si Romantik Yang Sudah Mati, malah ia sudah berkembang untuk menjadi lebih halus, jitu dan tajam. Sekiranya aku ibaratkan antologi Burning Constellation sebagai juadah pembuka selera atas meja makan seorang bibliofilia, makan Si Romantik adalah salah satu hidangan utama awal dalam majlis makan malamnya.

Si Romantik mempunyai 33 cerpen yang mendekati tema romantisisme dari banyak arah. Cerita-cerita kasih dan pengharapan diapit baik oleh cerita-cerita persengketaan dan perpisahan. Kepahitan dan keletihan dalam konflik disampaikan dengan lembut dan halus dalam nada romantis, untuk menumpulkan ketidakselesaan yang akan timbul. Pada masa yang sama, Si Romantik tidak terlalu memberatkan premis cinta dalam cerita-ceritanya. Ia lebih gemarkan penzahiran romantisisme dalam kehidupan seharian seperti perpisahan dan pertemuan, dan ia senang dengan premis-premis seperti persahabatan, pengembaraan dan pelancongan.

Antara sifat penulisan Ashikin yang aku senangi adalah laras bahasa dan dialognya. Laras bahasanya mudah; mendekatkan. Ia tak cuba mengikut norma penulisan-penulisan baru yang bila dibaca seakan-akan ingin mengkontemporarikan Bahasa Melayu – penuh dengan terjemahan-terjemahan terus serta struktur ayat yang seolah-olah mencadangkan penulisnya berfikir dalam Bahasa Inggeris sebelum menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu di atas kertas. Ashikin jelas sekali selesa menulis dalam kedua-dua bahasa – Melayu dan Inggeris – dan ini jelas dalam keupayaannya untuk bertukar bahasa di tengah-tengah karya. Tukaran bahasa ini menghidupkan dialog-dialognya; tidak sukar untuk kita membayangkan watak-watak yang bertutur seperti watak-wataknya dalam kehidupan sebenar.

Biarpun tukaran bahasa ini tidak canggung dalam dialog – ia lebih hidup dan zahir – namun ia mungkin sedikit canggung dalam teks. Bacaannya amat lancar dan tatabahasanya tak lari, namun mungkin ada pencinta bahasa yang akan mengulas dan mengkritik. Aku di tengah-tengah – aku menyanjungi orang-orang dwibahasa yang mempunyai penguasaan bahasa yang jitu dan tinggi, namun aku masih ingin menjaga integriti sesebuah teks itu. Pengeculianku hanya dalam dialog, puisi dan prosa. Rencana, esei, cereka dan cerpen perlu ada kejituan bahasa.

Penulis bersuai-kenal dengan pembaca di pesta buku.

Namun semua itu tidak menjejaskan pengalaman bacaan Si Romantik aku. Karya kegemaran aku adalah Lyon-Calvino. Dan apa yang aku suka tentang Si Romantik adalah ia mampu – dan telah – membawa aku bersama-samanya dalam penulisannya. Biarpun perincian dan butiran lokasi dan suasana kurang, ia masih berjaya membuai romantisisme dalam aku dan aku mudah merenung dan mengenang kisah-kisah hidup aku dengan sedikit rasa sayang dan sesal tanpa hanyut. Ia mampu membuka jendela kenangan-kenangan pahit kita (sekiranya itu apa yang kita cari) tanpa sebarang kekecohan, dan membuka satu ruang bicara dengan sesal diri tanpa pahit dan peri; mengenang yang jernih tanpa menapis yang keruh. Romantisisme.

Dan aku amat berterima kasih kepada Si Romantik (dan Ashikin) kerana mampu berbuat begitu. “He (Chatwin) is the epitome of a marriage between simplicity and complexity dan penulisan dia banyak mengajar saya bercerita tentang sesuatu yang sukar difahami tanpa perlu menggunakan perkataan-perkataan yang terlampau susah untuk orang lain hayati cerita saya.” Ashikin menjelaskan lagi dalam wawancaranya di penghujung buku.

Wawancara Ashikin adalah salah lagi kegemaran aku dari Si Romantik. Semua terbitan setakat ini mengandungi wawancara dengan penulis-penulis buku itu. Ini adalah satu pembaharuan dan inovasi yang aku raikan – seringkali kita sebagai pembaca ingin mendekati penulis-penulis yang telah berjaya menerobos ruang dan waktu dan menghuni hidup kita dengan kata-kata mereka, namun tak kesampaian kerana penulis itu jauh. Segmen wawancara yang disertakan dalam terbitan-terbitan ROMAN BUKU sedikit sebanyak meleraikan perasaan itu – suntingan wawancaranya yang ringan memastikan jawapan asal penulis tidak hilang semangat dan jiwanya.

Buku ini juga sedap dihadap dan dipegang – saiznya sedang, ketebalannya puas (pemilihan kertas yang sesuai) dan kertasnya yang lembut menjadikan pengalaman bacaan Si Romantik (dan juga buku-buku ROMAN BUKU) satu perasaan yang disenangi. Muka-muka bukunya juga direka dengan baik – pemilihan warna dan penjagaan penjenamaan (branding) amat jelas dan jitu; Ia cantik bila dideretkan di atas rak buku kita.

Si Romantik adalah satu pengalaman bacaan yang tak berat, mudah dan lancar. Ia menjemput, menyambut dan membuai. Kita akan terkenang dan tersipu. Jika anda inginkan ruang sendiri untuk seketika sebelum menyertai dunia kembali, Si Romantik Yang Sudah Mati adalah peneman yang akan menghidupkan.

Penulis bersama penulis-penulis ROMAN BUKU yang lain.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas
Comments

    Leave a Response