Reviews
Now Reading
Seni: Masyarakat atau Borjuasi? Bhg. I
SENI UNTUK SIAPA - Forum anjuran bersama Purana School dan MCCHR
61 0

Seni: Masyarakat atau Borjuasi? Bhg. I

by Adnan QiyasAugust 11, 2017

Semenjak sebulan selepas aku menghadiri kuliah umum Hishamuddin Rais yang berjudul SENI: Apa? Kenapa? Siapa? yang bertempat di RUANG by Think City, persoalan fungsi dan peranan seniman terngiang dalam kepalaku. Biarpun kelangsungan hidup memenuhi sebahagian besar waktu aku sepanjang tempoh itu, kata-kata Hishamuddin telah meninggalkan kesan yang agak dalam, sentiasa menggema setiap kali aku mendekati sebarang karya seni.

Pendirian aku sebagai seorang makhluk seni, baik sebagai pencinta mahupun penggiat, amat jelas – seni harus berfungsi. Ia harus mempunyai arah dan hala tuju; kiblat. Biarpun aku tidak menyisih pendirian seni demi seni – ia satu landasan yang baik untuk melatih kemahiran dan kecekapan kita, di samping menjadi peneman jiwa – aku rasa yang ia ‘self-serving’. Sikap aku terhadap seni bersandarkan keberadaan, dan jika sesebuah seni itu menjadikan hanya dirinya pusat dan teras (kepada semua usaha pengkaryaan dan kegiatannya) maka ia akan tumpul. Bukan sahaja itu, malah ia boleh menjadi ‘self-indulgent‘; hedonis.

Sebagai sesuatu cabang budaya yang menjadi cerminan hidup serta peredaran zaman, seni demi seni – tanpa ruang untuk keterbukaan – adalah satu pendirian yang sedikit angkuh.

Namun itu cuma pendapat aku yang tak seberapa ini.

Aku mengaku – ia prejudis. Pemikiran dan worldview aku telah dibentuk seni-seni sekelilingku; seni untuk masyarakat adalah satu pendirian yang amat dekat pada aku. Seni visual, seni muzik, sastera serta seni filem dan budaya pop secara umumnya telah meninggalkan kesan yang mendalam sepanjang hidup aku. Aku yakin pengalaman awal kita semua dengan seni tak banyak beza – ia seolah-olah memanggil (kita).

Patutkah aku pasakkan pendirian aku sebegini?

Itulah persoalan utama yang aku bawa ke Forum ‘Seni: Untuk masyarakat atau borjuis?’ anjuran Purana School Jumaat malam Sabtu yang lepas. Ia telah dianjurkan di Pusat Rakyat MCCHR (Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights). Posternya menyinggah susurmasa media sosialku dan tajuknya terus menangkap.

EDDIN KHOO - Pengasas PUSAKA

EDDIN KHOO – Pengasas PUSAKA

Panelnya menarik – Eddin Khoo adalah pengasas PUSAKA, Syed Omar adalah orang lama seni yang biasa aku jumpa di acara-acara Projek Rabak dan Syerleena adalah seorang pegawai untuk DAP yang bertugas di Penang yang kebetulannya kenalan lama aku. Latarbelakang panel agak lengkap – perwakilan dari golongan penggiat, institusi dan kerajaan negeri menjanjikan pertembungan pendapat dari sudut pandang yang saling melengkapi.


Forum bermula lewat setengah jam dengan soalan “Apa itu seni?”. Takrifan seni adalah sesuatu yang mengundang perbahasan, setidak-tidaknya bicara. Soalan itu cuba menetapkan satu rangka atau konteks untuk melaraskan bicara.

“Bila saya ditanyakan apa itu seni, saya akan jawab seni terbahagi kepada dua: applied art (seni yang ada kegunaan; function) dan fine art (seni demi seni; expression).” Panelis Syed Omar – panggilan mesranya Abang Syed – dari Teratak Nuromar memulakan. “Jawapan saya ini adalah dalam konteks seni kontemporari kini. Ada seniman yang berkarya untuk menyatakan sesuatu atau menyampaikan sesuatu. Ada juga yang berkarya atas keinginan dan minat, tanpa memikirkan sebab berkarya atau fungsi karya mereka. Tiada yang betul atau salah. Semua ini seni.” sambungnya. “Saya berpendapat yang orang dalam seni sahaja (institusi, penggiat dsb) yang boleh putuskan apa itu seni dan bukan seni.”

Ayat pembuka dan penutup Abang Syed aku kunyah perlahan.

Seperti dia, aku bezakan – secara umum – seni antara seni untuk masyarakat dan seni untuk seni. Satu lebih berat kepada rupa (form) manakala satu lagi menjurus kepada peranan (function). Aku terbayangkan yang setiap karya seni itu ada meter pengukurnya – di satu hujung rupa dan di hujung yang satu lagi peranan, dan karya itu diletakkan seniman di satu titik antara kedua-dua hujung ini. Sekiranya diniatkan seniman karya itu ada kegunaan besar, maka ia lebih dekat dengan hujung sebelah peranan. Atau sebaliknya.

Pada aku ini memadai. Terutama sekali untuk seorang pencinta dan penggiat marhean/amatur seperti diri aku ini. Biarpun perasaan ingin tahu itu ada, aku tak ingin membahaskan perihal takrifan-takrifan seni secara mendalam – itu adalah ruang yang didiami golongan akademik dan cendiakiawan, serta seniman-seniman serius.

Namun pandangan aku itu sedikit ringkas; simplistik. Jadi aku tunggu pula jawapan Eddin Khoo.

APA BANGSA KITA? - Konvensyen Kebudayaan Kebangsaan

APA BANGSA KITA? – Konvensyen Kebudayaan Kebangsaan

“Apa itu borjuasi? What does it mean – reactionary middle class, orthodox middle class, pretentious middle class? Semua ini sudah tak relevan; istilah itu sudah luput. Pada saya takrifan yang relevan kini hanyalah seni moden dan seni tradisional. Tapi persoalan seni moden dan tradisional ini adalah satu paradoks. Seniman-seniman seni tradisional ini tak melihat diri mereka sebagai (seniman) tradisional. Masalah mereka hanyalah bagaimana mereka melihat seniman-seniman moden atau kontemporari. Mereka ini tak terungkapkan zaman. Masalah modenis pula adalah birokrasi. Dan di Malaysia kita telah cuba mengungkapkan budaya dan seni dalam kerangka birokrasi sejak 1971 lagi, dalam Konvensyen Kebudayan Kebangsaan.” beliau mencerahkan.

Dikotomi seni moden dan seni tradisional sudah lama bertapak. Istilah seni moden dan tradisional adalah istilah-istilah intelektual yang memudahkan pensejarahan dan pembelajaran; sebahagian dari sains masyarakat (social sciences). Namun, bicara ini pincang – sains masyarakat adalah cabang sains yang cuba memahami dan menangani masalah-masalah semasa; kontemporari. Ia tak mampu melihat ke depan. Ini secara tidak langsung menjejaskan perkembangan seni dan mengikatnya pada masa dan waktu. Maka jika kita ingin mentakrifkan seni demi menjawab persoalan pokok (masyarakat atau borjuasi), jawapan yang akan kita dapat dari para pemikir seni akan berbeza dari jawapan seniman dan penggiat seni. Ada jurang. Ini adalah satu masalah dalam bicara seni di Malaysia, dan jawapannya hanya biasa datang dari pemikir seni.


Mukhadimmah Eddin dan Abang Syed membuat aku merenungkan Konvensyen Kebudayaan Kebangsaan. Sudut pandang Eddin yang menyatakan ia satu usaha untuk membirokrasikan budaya dan seni aku ambil serius – adakah ia telah menumpulkan usaha-usaha pembangunan seni kita?

Adakah Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang termeterai usai konvensyen itu salah satu punca soal identiti dan keberadaan seni kita kini sedang keliru? Adakah ia punca takrifan seni kebangsaan masih menjadi sesuatu yang dipertikaikan, dan lebih malang lagi, dipolitikkan?


(Ini adalah bahagian pertama dalam siri rencana ulasan Forum ‘Seni: Untuk masyarakat atau borjuis?’. Bahagian kedua rencana akan menutup ulasan pada Selasa, 15 Ogos.)

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas

Leave a Response