Editorial
Now Reading
SENI FOKUS: Ramli Mahmud – Awang Batil Yang Tiada Ganti
Next
Prev
415 0

SENI FOKUS: Ramli Mahmud – Awang Batil Yang Tiada Ganti

by Pribade Abdullah BongkokSeptember 25, 2015

HARI ini, kita sangat mudah mendapatkan hiburan. Filem, teater, tarian, nyanyian — segalanya mudah didapati di internet. Taip saja di enjin carian, kemudian tekan butang ‘go’, nah, berjela pilihan dihidangkan. Tinggal atas pertimbangan kita sahaja untuk memilih.

Namun, kemudahan ini sebenarnya menjadi sebuah kegusaran. Mana tidaknya, jika hasil sebuah karya seni hari ini adalah dari pemerhatian yang sempit, yakni bersumberkan alam maya. Maka, jadilah sebuah hasil seni yang tidak ada hubungan dengan daya alam semesta.

Lebih angkuh, apabila sebuah karya seni itu kononnya kelihatan sangat ilmiah dengan menyadurkan kata-kata pujangga atau falsafah tinggi melangit, yang dipetik daripada buku-buku, pengarang atau tokoh yang ‘rare kepala kain’.

Untuk menggambarkan sesebuah karya seni itu kaya dengan budaya Melayu atau sangat ber-orientasi-kan Timur pula, maka ditempelkan unsur-unsur tradisional seperti wayang kulit atau mak yong ke atas karya, lantas mengeluarkan kenyataan: “Aku juga pejuang seni dan budaya.” Tetapi, dalam bahasa lain: “Dah syarat geran kena masukkan unsur-unsur budaya, terpaksa-lah aku akur.”

Apabila menonton pula sebuah persembahan tradisional, dengan bangga menyebarkan foto di Facebook dengan status: “Aku peminat persembahan tradsional”. Dalam bahasa lain: “Kau ada?”

Apa mereka fikir kesenian tradisional ini bahan pameran di muzium?


‘Storyteller’

Kita jangan lupa bahawa sebelum terciptanya kamera, manusia seluruh dunia dihiburkan oleh seorang pencerita, atau lebih klasik jika dipanggil sebagai penglipurlara atau lebih ‘hip’ dipanggil storyteller.

Pencerita ini pula mengambil peluang yang ada dengan gabungan seni muzik, seni tari dan seni halus; lantas mencipta format-format kesenian, maka terhasil-lah apa yang kita lihat hari ini — persembahan-persembahan tradisional.

Bak kata orang Jawa — ‘ojo dumeh’ (jangan perlekehkan); setiap kata-kata, setiap gerak tari, setiap alunan lagu, tata busana, ukiran dan catan itu telah dipertanggungjawabkan mempunyai hubungan dengan Tuhan, manusia dan alam. Jika diistilahkan melalui pendekatan syariat Islam, kesenian Melayu silam tidak terlepas kaitannya dengan Iman, Islam dan Ihsan.

Atau dalam bahasa yang lebih mudah: kesenian adalah perlambangan pada hakikat Hidup.

Kesimpulannya, untuk menjadi seorang pencerita mestilah bersatu dengan alam dan Tuhan sehingga tiada lagi sempadan dirinya. Maksudnya di sini, seseorang pencerita itu telah mengkhatami soal fizik dan metafizik.

* Akan tetapi, untuk mencapai tahap demikian, dinasihatkan supaya berguru. Jangan ambil dari pembacaan semata.


Awang Batil

Mungkin faktor inilah yang membuatkan anak muda hari ini tidak berminat untuk mendalami kesenian tradisional atau budaya Melayu. Anak muda generasi asid folik ini segalanya mahu pantas dan segera, seperti mana menekan butang ‘go’.

Inilah yang dikeluhkan oleh Pak Romli, 60, atau nama sebenarnya Ramli Mahmud, seorang Awang Batil — penglipurlara terkenal di negeri Perlis.

Mewarisi kesenian ini daripada bapanya, Mahmud Wahid, dan dipercayai bahawa batil (sejenis belanga yang diperbuat daripada tembaga) yang dijadikan alat muzik utama di samping serunai serta dua buah topeng, telah berusia lebih 100 tahun.

Menurut ceritanya, batil dan topeng tersebut pernah diserahkan kepada Jabatan Muzium Negeri setelah kembalinya bapa kepada Allah. Namun, apabila tiba ketika Pak Romli diminta oleh Jabatan Kebudayaan untuk membuat persembahan Awang Batil buat julung kalinya, Pak Romli tanpa teragak-agak meminta kembali batil dan topeng daripada pihak muzium.

Sebelum menjerumuskan dirinya menjadi Awang Batil sepenuh masa, Pak Romli bertugas sebagai pemuzik di Penang Cultural Centre. Demi melestarikan warisan yang amat berharga ini, Pak Romli telah menokok lagi dua alat muzik iaitu biola dan rebana kerana mahu menambah warna serta mahu menarik generasi baharu mendengar celotehnya.

Apabila ditanya, tidakkah merasa bimbang setelah mengetahui dirinya tiada pengganti? Dengan nada ceria, Pak Romli menjawab, “Segalanya atas minat. Kalau tak minat, tak buleh nak kata apa la…. Kalau anak-anak dah minat nak pegang skru dengan spana, apa yang buleh kita buat? Nak paksa, tak jadi. Kalaupun ada orang muda yang nak belajar, tapi semuanya separuh jalan.”

Persembahan Awang Batil sangat popular di negeri Perlis. Awang Batil selalu diundang ke majlis-majlis kenduri dan pesta kebudayaan. Tetapi, atas inisiatif PETRONAS yang menganugerahkan Geran Seni Budaya, Awang Batil sudah diperkenalkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Bersempena Diversecity 2015: Kuala Lumpur International Arts Festival ini, di bawah genre Tradisional yang dikurasikan oleh Eddin Khoo dan Pusaka, Awang Batil akan membuat persembahannya di Pusat Perkembangan Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur; pada 4 Oktober 2015, jam 8.30 – 9.00 malam sahaja.

Hanya satu malam!

Antara cerita-cerita yang lazim disampaikan oleh Awang Batil ialah Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Jabat Jabit, Abu Nawas, Cerita Angan-angan dan Awang Ada Duit Semua Jadi.

Tanpa kamera, tanpa drone, tanpa pelakon, tanpa internet, kita sama-sama saksikan bagaimana Awang Batil boleh memukau penonton hanya dengan paluan batil, serunai, biola dan rebana serta dua buah topeng – Pak Nujum dan Hulubalang.

Pada seniman yang bergantung pada gajet, jangan bikin malu-lah!


*** Selain persembahan AWANG BATIL, Pusaka juga membawa persembahan MAK YONG dan KUDA KEPANG (3 Oktober, 2015; pada jam 8.30 malam; di KuAsh Theatre Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur) dan TOK SELAMPIT — sejurus sahaja persembahan AWANG BATIL pada 4 Oktober, 2015, jam 9.00 – 10.00 malam, di Pusat Perkembangan Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur.

Pada 26 Oktober, 2015; bertempat di Ilham Gallery, jam 3 petang, Pusaka mempersembahkan MAYIN JO-OH — sebuah tarian topeng suku Mah Meri, Pulau Carey.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
Comments

    Leave a Response