Editorial
Now Reading
SENI FOKUS: Noramin Mosyi Mosyi – Antara Biduan Serbarasa dan Penyiar Citarasa Rakyat
Noramin Mosyi-Mosyi, ahli muzik, anak seni dan tokoh penyiaran tempatan yang gemilang sebagai penghebah radio yang berpengalaman Jepun dan terkenal dengan lagu "Cinta Bandar Tasik Selatan".
541 1

SENI FOKUS: Noramin Mosyi Mosyi – Antara Biduan Serbarasa dan Penyiar Citarasa Rakyat

by I. ShahAugust 16, 2015

TUAN Noramin ‘Mosyi Mosyi’ barangkali antara perintis anak seni generasi pasca-Merdeka yang bermula berkecimpung dari dalam sistem dan seterusnya mengorak jalan kembali ke medan bidang yang menjadi cinta asalnya.

Seorang penyiar, seorang biduan dan juga karyawan, tuan Noramin di zaman emasnya kini merupakan seorang yang kekal tajam, berbisa dan lantang dalam pemikiran dan pemerhatiannya.

Berwawancara dengan beliau, tidak mungkin tiada kebijaksanaan yang tidak dapat diperolehi kita yang menyaksikan seorang insan seni yang sudi membuka gerbang seninya yang kaya dan luas dihias jika dihayati seketika.

LANGKAH kerjaya Noramin Mosyi Mosyi bermula di Radio Malaysia pada tahun 1971 sebagai seorang penyiar radio dalam kapasiti seorang juruhebah. Setelah tujuh tahun berkhidmat dalam kapasiti itu, beliau kemudiannya meninggalkan jawatan asalnya itu atas undangan dari radio Jepun, NHK yang bermarkas di Tokyo.

Memenuhi posisi ini sehingga pertengahan dekad 1980an, Noramin pulang ke tanahair untuk menyertai pula Radio Malaysia Ibukota di Kuala Lumpur. Disinilah bermulanya legasi beliau dengan samaran ‘Mosyi-Mosyi’ iaitu perikata Jepun untuk “apa khabar” atau “hello” disebabkan populariti program ini di kalangan khalayak pendengar radio umum di sekitar Lembah Klang pada ketika itu.

Tanggal awal dekad 1990an Noramin Mosyi Mosyi beralih pula ke stesen TV3 sebagai penerbit yang menghidangkan citarasa umum melalui kaca TV ‘Malaysia Hari Ini‘ (MHI) dan pada tahun 1994 beliau kembali khusus dengan dunia penyiaran radio melalui stesen Time Highway Radio (THR) yang pada waktu itu merupakan radio swasta pertama negara. Selaku pengurus program Noramin Mosyi Mosyi memenuhi peranannya di stesen tersebut sebagai pengurus besar.

 

Pengarang lagu "Cinta Bandar Tasik Selatan".

Pengarang lagu “Cinta Bandar Tasik Selatan”.

Selepas beliau memutuskan untuk menamatkan riwayatnya di THR pada tahun 1997, tuan Noramin mengambil cabaran untuk menubuhkan stesen radio di Kuching iaitu CATS Radio yang kini dikenali sebagai Cats FM. Ketara tenaganya pada waktu ini lebih ditujukan kepada cabaran-cabaran yang di luar zon selesanya dan selesai sahaja objektifnya bersama CATS beliau terjun pula lagi sekali untuk membantu penubuhan WANITA FM iaitu stesen radio khas untuk wanita yang pertama di Malaysia.

Namun yang menarik lagi pada saya adalah kehidupan ‘dalaman’ beliau yang tetap setia berseni. Di antara semua tugasan dan pangkat korporat luaran itu, Noramin Mosyi Mosyi tetap berkarya dan menghasilkan muzik dalam bentuk beberapa album, termasuk album sulung beliau Impian Terluka dan keluaran seterusnya, Suratan Kasih; serta lagu hit ciptaan asal beliau termasuk “Cinta Bandar Tasik Selatan”.

Noramin di zaman mudanya. Selain menggesek violin, gitar menjadi instrumen utama beliau dalam bermuzik. Irama keroncong dan muzik kerabat juga menjadi kekuatan Noramin dalam disiplin ini.

Noramin di zaman mudanya. Selain menggesek violin, gitar menjadi instrumen utama beliau dalam bermuzik. Irama keroncong dan muzik kerabat juga menjadi kekuatan Noramin dalam disiplin ini.

Dengan keamanan dan perspektif yang diperolehi sebagai pesara kini, barangkali inilah masanya menangkap sekilas potret beliau sebagai jiwa seni.

Mungkin komuniti seni dan industri pengisian generasi baru tidak sedar akan sumbangan abang pada era pra-Internet, apakah bezanya keadaan industri seni dan media tempatan dahulu dan sekarang pada abang?

“Perbezaannya amat luas dan ketara. Dulu tidak bebas berbanding sekarang. Penyiaran dulu penuh etika, bersopan dan bersantun apabila menggunakan bahasa penyiaran. Namun demikian, sekarang terdapat hampir 64 buah stesen radio, 34 stesen radio kerajaan dan 30 buah radio swasta sementara itu. Persaingan  amat sengit. Radio swasta harus mengenengahkan elemen-elemen ‘killer‘ dalam penyiaran masing-masing demi mendapatkan rating yang terbaik.

Maka disinilah bermulanya trend miring ataupun ‘aliran kiri’, dengan penggunaan bahasa rojak; penyampaian yang luarbiasa tanpa kawalan. Namun demikian, ia merupakan sesuatu yang baru bagi pendengar radio. Lantas mewujudkan satu bentuk gimmick dan trend oleh sebab penyampaian bebas sedemikian rupa merupakan sesuatu yang baru yang mengejutkan.”

Nyata abang Noramin telah banyak melalui dan melihat pelbagai pengalaman dan cerita dunia seni, media dan hiburan, malah korporat dan juga politik selama tiga dekad yang membawa perubahan. Bagaimanakah abang melihat arahtuju seterusnya bagi generasi pelapis buat kesemua bidang ini? 

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa orang dulu-dulu lebih hebat. Pelapis kita sekarang berada dizamannya; iaitu zaman transmedia yang begitu sofistikated. Jika orang dulu-dulu berada di zaman ini, mereka akan menjadi gila dan hilang ingatan. Kita tidak bisa menyamakan minda dahulu dan minda masa kini. Minda masa kini lebih berilmu dan berpengetahuan kerana adanya aplikasi transmedia sebegini.

Dunia luar datang kepada mereka saperti kilat – mereka tidak lagi membaca bahan-bahan cetakan. Zaman sekarang adalah zaman ‘individual screen’, di mana semua maklumat sampai pantas  ke setiap pengguna individu. Dulu-dulu, kita terpaksa berpandukan berita yang sudah basi yang berlaku sebelumnya melalui bahan cetakan. Tidak sekarang; hari ini berlaku, hari ini jugalah kita dapat mengetahuinya.”

Abang Noramin seorang yang serba-minat, serba-rasa dan serba-bakat. Kalau hendak dipilih dan disenaraikan, apakah urutan bidang yang menjadi minat utama abang mengikut naluri dan jiwa abang? Contohnya, mungkin muzik terdahulu sebelum segalanya… 

“Pertamanya muzik, kedua penyiaran, ketiga seni lakon. Saya tidak dapat mengejar cita-cita saya dalam bidang muzik kerana saya dilahirkan miskin. Saya terpaksa berkerja dalam bidang penyiaran, maka barulah saya dapat mengumpulkan wang untuk menceburi bidang muzik ini. Sebab itulah, saya menghasilkan muzik saya sendiri pada fasa yang agak lewat. Bila sudah ada wang melalui pekerjaan, maka barulah timbul minat yang ketika iaitu seni lakonan, namun tahapnya agak rendah kerana ia berada disenarai yang tidak utama (bagi saya).”

Illustrasi/Foto ihsan Nasha Damsyik.

Illustrasi/Foto ihsan Nasha Damsyik.

Apakah pada abang nilai seni dalam memfaedahkan kehidupan rohani rakyat? 

“Kesenian amat penting di dalam kehidupan manusia. Ianya tidak kira, apa saja bidang seni…makan pun ada seninya, bertutur pun ada seninya, malah mati pun ada seni halusnya.”

Apakah pula peranan seni dalam menyatukan rakyat, di mata abang?  

“Seni tidak boleh menyatukan rakyat seratus peratus kerana majoritinya hampir tidak sedar akan kewujudan seni itu.”

Apakah yang ada pada seni dan kreativiti, perkara-perkara ‘halus’ kehidupan warga Malaysia, yang tidak ada pada politik? 

“Politik itu kotor; ia tidak lurus, tidak jujur. Mesti pandai spin…” (Maka tiadalah lagi komen buat subjek ini dari tuan Noramin selepas pemerhatian itu… – Ed.)

Mengikut pemerhatian dan kebijaksanaan abang, dari segi masyarakat Malaysia sekarang, sejauh manakah kita yang pelbagai bangsa semakin berpecah berbanding dahulu. Dari sudut komuniti dan dalam konteks fungsi seni untuk masyarakat pula, apakah puncanya? 

“Ini semua politik. Politiklah yang membuatkan kita bersatu. Politik jugalah yang membuatkan kita berpecah.”

Berbalik pada karier abang, apakah agaknya pengalaman(2) yang paling diingati atau dikenang; yang paling berharga buat abang?

“Saya sampai ketahap saya yang sekarang selepas melalui berbagai pengalaman kehidupan. Contohnya, bukan senang untuk menjadi tua  ia mengambil masa 64 tahun bagi saya untuk benar-benar menjadi tua dan matang. Kegagalan telah banyak mengajar saya erti kehidupan yang sebenarnya. Tidak ada sesiapapun di dunia ini yang hidup sentiasa senang; selagi ia bergelar manusia, ia tetap akan menemui kegagalan…kerana itu adalah The Law Of The Universe. Dari kegagalan itulah akan muncul kesenangan; dan ia bukan satu perkara yang mudah untuk dilalui. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan dan kematangan.”
About The Author
Profile photo of I. Shah
I. Shah
Once upon a time a footballer who retired as a teen after a fatal combination of favouritism and having "rocker's legs". Nowadays he's doing alright as a musician who writes about uncool things like peace, love and destiny. Izuan was associate editor for The Daily Seni.
1 Comments
  • Rahsia Alam
    August 17, 2015 at 10:38 am

    Tiada tua tanpa ilmu
    Tiada insaf tanpa sedar
    Miskin harta bukan penghalang
    Untuk menjadi insan cemerlang
    Tajam fikiran melihat dari segenap sudut.
    Inilah insan terbilang..
    Khusus Buatmu.
    Tuan Noramin Mosyi-Mosyi.

    Anugerah Allah melewati hamba-Hamba-Nya
    Yang terpilih..Tahniah.

Leave a Response