Editorial
Now Reading
SENI FOKUS: Dato’ Rahim Razali Mahukan Pemikir, Pencetus dan Penggerak; Bukan Pengikut
465 0

SENI FOKUS: Dato’ Rahim Razali Mahukan Pemikir, Pencetus dan Penggerak; Bukan Pengikut

by Pribade Abdullah BongkokAugust 9, 2015

BENARKAH wadah kesenian di negara ini sudah pincang lagi rosak? Apakah yang sebenarnya berlaku dan siapakah yang merosakkannya? Apakah puncanya daripada seniman itu sendiri atau pengaut untung (penerbit dan stesen TV) atau kerajaan sendiri?

Sempena pementasan teater Love Journey – A Nation of Two minggu lalu, saya berkesempatan mewawancara seniman yang tidak asing lagi dalam wadah kesenian, yang tidak pernah mengeluh dalam menyumbangkan jiwanya – Dato’ Rahim Razali.

*          *          *

DALAM wawancara oleh sebuah majalah tempatan tahun lepas, Dato’ Rahim Razali menegaskan bahawa dalam wadah kesenian, kita ketandusan pemikir.

Apa yang dimaksudkan pemikir di sini ialah penulis atau pengkarya yang menghasilkan karyanya berdasarkan permasalahan yang berlaku di sekeliling (baca: Malaysia), tidak kiralah sama ada masalah politik, masyarakat, bangsa, agama, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Kemudian daripada karya itu, penulis atau pengkarya tersebut memberi atau menerapkan pandangan atau pemikiran peribadi mahu pun kolektif dalam mengatasi permasalahan yang dibawa.

“Ini bermakna bukanlah kita langsung tiada pemikir pada hari ini… ada! Tetapi pemikir-pemikir ini tidak diangkat dan pemikirannya tidak dikupaskan. Hari ini, kita dihidangkan dengan drama air mata dan gelak ketawa,” katanya.

Apakah puncanya sehingga jadi begitu?

“Punca sebenar saya tidak tahu. Tetapi apa yang saya katakan, kita terlalu banyak stesen TV yang slotnya mesti diisi. Para pengeluar (penerbit) berlumba-lumba mengejar kekosongan slot sehingga mengabaikan karya dan membikin drama dengan cara yang senang.

Sebagai penulis yang tulen, penulis yang sarat dengan pemikiran, mereka tidak akan menulis dalam tempoh masa yang singkat, apa lagi dalam keadaan terburu-buru. Mereka memerlukan masa yang cukup untuk mematangkan karyanya.

Akhirnya penulis tulen ini tidak diangkat dan dibunuh begitu sahaja. Maka tinggal-lah penulis-penulis yang menulis demi memenuhi keperluan (ringgit) hinggakan isu yang dibawa tidak relevan dengan realiti lalu terhasil-lah drama yang dibuat-buat!”

*          *          *

BERKENAAN wadah kesenian teater pula, Dato’ Rahim Razali berpendapat bahawa khalayak hanya tahu muzikal di Istana Budaya. Begitu juga pembikin teater juga berebut-rebut untuk membuat muzikal di samping mengejar martabat Istana Budaya.

Apakah khalayak tidak tahu bahawa selain Istana Budaya, terdapat juga pentas-pentas kecil dan terpencil yang menghasilkan teater serius, yang sarat dengan pemikiran.

“Memang benar terdapat teater-teater kecil yang serius, tetapi teater-teater sebegini tidak diberi publisiti dan promosi yang cukup. Jika hanya bergantung pada hebahan di Facebook, saya sendiri sebagai orang tua tidak ada Facebook. Saya tuntut bukti yang nyata – cetakan di akhbar.

“Sayangnya kebanyakan media berbahasa Melayu tidak mengambil berat soal ini (yakni) mengangkat pemikiran dalam seni. Media berbahasa Melayu lebih cenderung pada kisah-kisah peribadi selebriti yang entah apa-apa.”

Jika menonton lakonan Dato’ Rahim Razali, pastinya tidak lekang di bibir kita menyebut nama rakan berpencaknya iaitu Ahmad Yatim. Menonton lakonan mereka berdua jelas keseronokan mereka membawakan watak, walaupun terdapat sedikit unsur-unsur lakonan ‘Shakespeare’.

Apakah kaedah lakonan yang mereka bawa sebenarnya?

“Kami tidak ada sistem pembelajaran teater atau lakonan secara khusus sehingga peringkat ijazah di universiti. Cukup kami menyertai sebuah produksi dan kami pelajari asas undang-undang pentas – ruang dan lontaran suara contohnya.

Selebihnya, atas kaedah kami sendiri untuk menimbulkan watak yang dibawa dan membawanya se-natural mungkin. Method Acting itu cuma branding yang dipopularkan oleh Amerika Syarikat.”

Kenapa wadah kesenian teater hari ini berpecah dua – puak teater bahasa Inggeris dan puak teater bahasa Melayu.

Bukankah asalnya (merujuk pada zaman aktif Dato’ Rahim Razali, sekitar 60-an hingga 90-an) para penggiat teater bernaung di bawah satu bumbung?

“Pada waktu itu, kami bernaung di bawah nama Malayan Arts Theatre Group (MATG) yang aktif menghasilkan teater di universiti-universiti tanpa mengira latar bahasa, baik Inggeris mahu pun Melayu.

Ketika itu, saya dan teman-teman seperjuangan yang lain seperti Usman Awang, Syed Alwi, K. Das, Krishen Jit, Faridah Merican, Ahmad Yatim – rata-ratanya berusaha menghasilkan karya yang pada dasarnya ialah sastera.

Kami mementingkan sastera dan pemikiran yang hendak disampaikan kepada khalayak. Kami tidak membeza-bezakan bahasa. Saya sendiri tidak pasti kenapa sekarang teater mesti terbahagi kepada dua puak!

Selain MATG, pada waktu itu kita ada bakat-bakat baharu daripada Kumpulan Budaya Negara (KBN). Selain aktiviti kebudayaan, mereka ini sangat aktif berdrama.

Pada awal 90-an, saya pernah melaksanakan sebuah program yang diberi nama ‘Program Drama Sebabak’, berlangsung di MATIC, di mana mendapat penglibatan dari seluruh negara, dan matlamat kami tercapai apabila karya-karya baharu mula muncul.

Tapi sayangnya, program yang sepatutnya dilaksanakan untuk tempoh jangkamasa panjang, akhirnya bertahan cuma untuk setahun. Tak konsisten. Program seperti ini dipandang remeh oleh kerajaan.”

“Sebagai orang muda, ‘kome’ (dialek Perak: kamu) mesti jadi pencetus… penggerak. Bukan hanya mengikut!” tegas lagi Dato’ Rahim Razali sambil menampar meja, lantas membawa ingatan saya pada salah satu babak dalam filem Matinya Seorang Patriot.

Gulp! (Telan air liur lah sahaja.)

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.

Leave a Response