Other
Now Reading
Semangat Perpaduan dan Kemanusiaan Karya Gemersik Tiga
Next
Prev
56 0

Semangat Perpaduan dan Kemanusiaan Karya Gemersik Tiga

by The Daily SeniSeptember 17, 2015

16hb September 2015 – Karya antologi puisi yang bertemakan perpaduan dilancarkan dengan jayanya di Coffee Club Xpress, Kinokuniya KLCC pada jam 2.30 petang semalam. Karya yang diberi tajuk Gemersik Tiga ini merupakan hasil kompilasi tulisan tiga sasterawan, Sasterawan Negara Usman Awang, Dr. Lim Swee Tin dan Dr. Siti Zainon Ismail.

Bersempena Hari Malaysia, buku antologi yang bertemakan konsep kesepaduan sesama kaum ini dilancarkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Usman Awang. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan 1. Turut hadir dalam majlis yang sama adalah Dr. Syed Husin Ali selaku Pengerusi Yayasan Usman Awang dan juga Encik Mohd Khair Ngadiron selaku Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif ITBM serta para sasterawan dan penggiat sastera tanah air.

Gambar diambil dari laman web Facebook ITBM

Gambaran keseluruhan antologi Gemersik Tiga

Buku yang diilhamkan dan diselenggarakan oleh Dr. Lim Swee Tin ini memuatkan 90 puisi bernuansa “Zaman Usman” yang memperlihatkan jati diri bangsa Malaysia serta nilai kemanusiaan yang tinggi. Kedua penyair yang lain, yang turut menyatakan nada dan penggayaan puisi yang sama dengan Usman Awang adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara iaitu Dr. Siti Zainon Ismail (1989) dan juga Dr. Lim Swee Tin (2000).

Pembukuan karya Gemersik Tiga ini bukan sahaja dilihat untuk mengangkat dan mengumpul kembali karya-karya hebat SN Usman Awang, tetapi secara tidak langsung menjadi sebuah dokumentasi pengikat keharmonian antara kaum di Malaysia. Dan pelancaran yang dilakukan pada tarikh penubuhan negara Malaysia ini adalah saksi kepada proses kematangan rakyat negara kita untuk menjadikan toleransi kaum sebagai kekuatan utama yang harus diutamakan sebagai nilai signifikan bagi Malaysia.

Malah dengan adanya Dr. Lim Swee Tin dan Dr. Siti Zainon Ismail, Gemersik Tiga menjadi sebuah antologi yang patut dimiliki bukan sahaja kepada pencinta sastera, malahan kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar dan bangsa. Sastera sememangnya sebuah elemen yang cukup kuat untuk menjadi alat penghubung, pembaharuan gagasan dan identiti ketamadunan bangsa.

Buku antologi puisi Gemersik Tiga dijual dengan harga RM 30 (RM 35 bagi Sabah dan Sarawak) dan boleh didapati di rangkaian kedai buku utama seluruh Malaysia dan Kedai Buku 1Malaysia. Selain itu juga karya ini boleh dibeli melalui laman web ITBM di ecommerce.itbm.com.my.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
Comments

    Leave a Response