Editorial
Now Reading
Sarkas Mimpi di Taman Mutiara Damansara
211 0

Sarkas Mimpi di Taman Mutiara Damansara

by Pribade Abdullah BongkokMay 27, 2015

TIDAK memerlukan gerombolan yang besar – tanpa haiwan-haiwan liar yang terlatih seperti gajah, singa, harimau, monyet dan anjing laut; tanpa khemah yang banyak, tanpa pancaragam malah tanpa sekumpulan badut – Swiss Dream Circus berjaya membawa era kegemilangan sarkas di Asia dalam menempuhi alaf baharu, dengan kualiti yang tinggi dan unggul.

Pertunjukan sarkas bukanlah sesuatu yang baharu dan asing bagi warga Malaysia. Kehadirannya pasti dinanti-nantikan kerana konsep hiburan dari salah satu cabang seni persembahan ini amat berbeza dengan seni persembahan yang lain (ya, sarkas adalah seni persembahan; penuntut seni persembahan, sila ambil nota).

Aksi akrobatik tangan oleh X-Treme Brothers dari Romania

Aksi akrobatik tangan oleh X-Treme Brothers dari Romania.

Pertunjukan sarkas sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat – baik kanak-kanak mahupun dewasa, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, bahasa dan budaya. Oleh demikian, artis-artis yang bernaung di bawah Swiss Dream Circus berasal dari negara pelbagai seperti Ukraine, Rusia, Kanada, Romania, Colombia dan dari Switzerland sendiri. Tidak dinafikan mereka seperti sebuah keluarga yang besar dan begitu-lah resam sarkas di seluruh dunia – bersaudara.

Lihat, bagaimana sarkas telah menyatukan umat manusia di bawah satu khemah! Para penonton sebulat hati masuk ke Big Top (istilah kepada khemah sarkas) sepertimana bulatnya gelanggang (ring) permainan sarkas. Hah, inilah konsep sebenarnya seni persembahan – bulatan! Dari sudut mana pun ditonton, penonton akan menerima rasa yang sama; dan pemainnya akan bermain dengan ghairah, jujur dan sepenuh hati, menyampaikan rasa ikatan insan kepada setiap penonton yang hadir.

Kesilapan pasti berlaku ketika persembahan berlangsung, tetapi dimaafkan kerana tanpa perlu diberitahu, penonton sedia maklum bahawa permainannya itu bukanlah sesuatu yang mudah dan lebih cantiknya, penonton memberi tepukan semangat, memberitahu pemain supaya jangan berputus asa. Penonton juga tahu bahawa pekerjaan sebagai artis sarkas, di mana-mana pun bukan-lah sebuah kerjaya yang mewah dan skeptiknya – tiada masa depan.

Persembahan Los Ortitz

Persembahan Los Ortitz.

Tiada dialog, baik ditutur atau dilagukan. Aksi-aksi dari akrobat dan stunt yang ditampilkan sudah cukup menimbulkan drama. Sebagai contoh, aksi Rola-Rola oleh Vladimir Omelchenko dari Ukraine dan aksi Wheel of Death oleh Los Ortitz (gambar) dari Colombia, sudah tentu bisa memuncakkan adrenalin.

Tidak lengkap jika sarkas tanpa badut. Lazimnya, kita akan lihat sesebuah sarkas yang mega akan menampilkan sekumpulan badut untuk menghiburkan penonton. Bagi Swiss Dream Circus, cukup hanya seorang badut sudah mampu menggamatkan Big Top dengan gelak tawa waima mengenakan solekan dan busana yang minimal. Sesungguhnya Andre (gambar) adalah badut yang berpengalaman dan terkenal di seluruh Eropah bersama rombongan sarkas terkenal Perancis, Arlette Gruss.

Andre si badut

Andre si badut.

 

 

 

Swiss Dream Circus telah diasaskan pada tahun 2000 oleh Marco Baumgartner, di mana lingkungan keluarganya adalah pemain sarkas. Julung kali pertunjukan Swiss Dream Circus dipersembahkan di Singapura.

Le Tresor kepunyaan Ismail Stork merupakan penganjur yang bertanggungjawab membawa Swiss Dream Circus ke Kuala Lumpur. Marco dan Ismail bersahabat baik sejak dari mereka berkhidmat di Swissair sebagai pramugara.

Pengasas dan penganjur Swiss Dream Circus, Marco dan Ismail

Pengasas dan penganjur Swiss Dream Circus, Marco dan Ismail.

Mutiara Damansara Park cuma bersebelahan dengan Ikea dan Kidzania. Bersempena musim cuti sekolah ini, apa kata para ibubapa, cikgu-cikgi dan pensyarah seni persembahan sekalian, lupakan sejenak membeli-belah di Ikea, tetapi apa salahnya jika sekali-sekali belanja anak-anak dan murid-murid menonton sarkas. Nyata, sarkas oleh Swiss Dream Circus ini minimal tetapi gempak!

*Sarkas ini berlangsung selama 15 hari, bermula 23 Mei 2015 dan berakhir pada 7 Jun 2015. 

Tiket berharga RM48, RM58, RM63, RM73, RM103, RM123, RM153, RM183, RM233, RM 243 dan RM253; boleh didapati di myticket.com atau hubungi HOTLINE di talian +603.8080.8700 (waktu pejabat sahaja). Untuk tempahan berkumpulan dan jualan korporat, sila hubungi: +603.2241.9503 / 9504 atau emel kami di info@letresor.com

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.

Leave a Response