Other
Now Reading
‘Sarjana Bangsa’ – Menyemarakkan Semula Kecintaan Terhadap Ilmu Tempatan
NOVEL-depan-Sarjana-Bangsa-350x485
271 1

‘Sarjana Bangsa’ – Menyemarakkan Semula Kecintaan Terhadap Ilmu Tempatan

by Anak DagangJune 26, 2015

Esei ini ditulis sebagai ulasan buku yang bertajuk Sarjana Bangsa yang dihasilkan oleh Hasanuddin Md Isa.


“Cendekiawan ibarat recik api yang membunga api daripada batu yang bertabrakan. Mereka menjagakan fikiran yang lena, mereka meransang semangat kebangkitan, mereka membangkitkan kesedaran dalam suatu zaman yang beku. Mereka menderaskan aliran darah yang lembam dan beku dalam urat nadi rakyat, dalam fikiran masyarakat, dalam agama turunan Ilahi, dan dalam aneka upacara. Mereka hadir untuk mengubah jalan sejarah dan mengarahkannya ke tujuan berbeza. Mereka menjadi penguasa, pencipta, dan pembangun masyarakat yang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Dalam sejarah ketamadunan Yunani, Mesopotamia, Inca, Hwang Ho, dan tamadun besar lain, golongan cendekiawanlah yang menunjangi pembinaan tamadun itu. Maka kita di sini, harus berada pada landasan ilmu demikian andai menginginkan negara-bangsa kita berdiri sama tinggi dengan negara maju.”

– Petikan daripada halaman belakang novel Sarjana Bangsa

Sastera yang dilihat sebagai medan persaingan nilai dan idea dan juga pada masa yang sama dilihat sebagai cerminan nurani bangsa. Tetapi sejak kebelakangan ini, citra sastera ataupun kepentingan sastera itu sendiri telah hilang; tidak lagi diperbincangkan dan semangat pembacaan itu hampir hilang dan tidak ada.

Mengapakah begitu? Adakah benar bahawa yang patut disalahkan adalah rakyat biasa yang tidak langsung punya usaha untuk memaksa diri membiasakan penglihatan mereka dengan bacaan tekstual itu sendiri? Ataupun ianya merupakan masalah setiap karya yang terhasil – tidak lagi mampu mencetuskan suatu keinginan agar anak-anak muda menjadi aktif dan progresif.

Tetapi turut juga terhasil persoalan yang lain, anak muda yang mana dibicarakan? Adakah anak-anak muda yang dibincangkan ini adalah anak muda yang hanya menjalani kehidupan mereka tanpa bimbingan ataupun dorongan ibu bapa? Anak muda seperti ini merangkumi hampir seluruh majoriti anak muda. Budaya kelesuan ini benar-benar jelas dikalangan anak muda dan apa yang dimaksudkan adalah sudut pandang yang merasakan bahawa buku itu ataupun ilmu yang bisa didapatkan melalui pembacaan buku ataupun sastera tidak mampu mengubah pandangan hidup mereka.

Jika ilmu merupakan jalan keluar dan yang paling utama bagi sesuatu bangsa untuk membangkitkan dan mencetuskan suatu ledakan tenaga yang aktif dan dinamik. Bagaimanakah caranya ia ingin dilakukan? Apakah isi-isi yang harus didukung dan digunakan untuk mencapai cita-cita tersebut?

“Lakukan sesuatu untuk mengembalikan maruah ummah,” begitulah akhir kata Prof. Dr. Saddiq sewaktu memberikan amanah kepada karakter utama novel ini, Isyraf Eilmy. Kisah novel ini yang diberi tajuk Sarjana Bangsa yang telah pun memenangi hadiah kedua untuk “Sayembara Penulisan ITBM – Berita Harian – Pena” menceritakan mengenai watak sarjana yang diberi tanggungjawab untuk menyampaikan suatu kandungan kertas kerja perihal pembangunan bangsa untuk Konvensyen Kebudayaan Melayu Antarabangsa. Isyraf Eilmy yang telah diberikan ijazah Kedoktoran sewaktu beliau berumur lewat 20an membawa watak yang heroik dengan matlamatnya untuk merumuskan suatu teori sosial yang baru untuk meneruskan konsep pembangunan negara-bangsa.

Watak heroik ini bertanggungjawab untuk melakukan suatu amanah yang dilihatnya sebagai sesuatu yang benar-benar penting. Maka dari pembacaan novel Sarjana Bangsa ini, adakah beliau berjaya melakukannya dan apakah impak signifikan karakter beliau? Adakah melalui novel ini penulis  mampu mencetuskan suatu perubahan kepada jiwa pembaca seperti saya?

“Novel Sarjana Bangsa mengemukakan tema kemasyarakatan. Masyarakat hanya dapat dibangunkan apabila setiap individu di dalam masyarakat itu memiliki rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu dan menghayati ajaran agamanya (Islam).” Begitulah secara umumnya tema yang ditekankan. Tetapi tema kemasyarakatan itu tidak jelas terlihat sepanjang pembacaan saya, mungkin bisa dikatakan ‘kemasyarakatan’ yang dipaparkan hanyalah hubungan yang terhasil diantara keluarga Papa Lee dan keluarga Cikgu Hassan.

Walaupun wujud beberapa babak dimana watak Isyraf Eilmy berbicara dan membincangkan sesuatu dengan watak yang lain, ianya tidak cukup untuk meletakkan tema kemasyarakatan sebagai tema yang utama. Sebaliknya, penekanan terhadap ilmu itu menurut saya lebih sesuai untuk diletakkan sebagai tema, bersesuaian dengan agenda ataupun matlamat karakter itu.

Apakah unsur-unsur yang mendukung karya ini? Hasanuddin melalui karyanya sebelum ini, “Mereka Yang Tertewas” telah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam pada tahun 1988 dan juga pada tahun 1990 dengan novelnya yang bertajuk “Halangan dan Rintangan”. Lalu timbul persoalan samada novel terbaru beliau ini turut juga dikirakan sebagai novel sastera berunsur Islam.

Apakah kriteria yang menentukan sesuatu karya itu berunsur Islam? Melalui makalah akademik yang ditulis oleh Mohammad Fadzeli Jaafar yang bertajuk “Aspek Gaya Bahasa dalam Teks Sastera Melayu Berunsur Islam”, beliau mengutip pandangan Shahnon Ahmad (dalam Nurazmi Kuntum 1991: 211) yang telah menekankan tiga garis asas bagi menentukan karya sastera Islam:

  1. Sastera Islam bukanlah hasil karya yang kabur kerana Islam menentang sebarang kekaburan dan ambiguiti.
  2. Penggunaan bahasa pula hendaklah mudah supaya maksudnya tepat dan tidak keliru.
  3. Teknik penceritaan tidak harus melampau atau berlebih-lebih kerana dalam Islam ia lebih membawa kemudaratan daripada kebaikan.

Perihal novel Sarjana Bangsa ini, unsur-unsur Islam yang universal jelas terhasil melalui novel ini seperti sifat kerendahan hati, pengukuhan prinsip dan keyakinan diri, sikap toleransi dan pengakuan terhadap kompleksiti budaya, dan juga mengakui keterbatasan individu dengan perbandingan alam. Diteruskan lagi dengan persoalan samada kekaburan karya itu adalah sesuatu yang secara jujurnya tidak dimengerti oleh saya. Kekaburannya dari segi apa – adakah ianya dari segi objektiviti sesuatu karya itu, cara perlaksanaannya ataupun metod penyampaiannya?

Bagi saya apa yang menariknya melalui novel ini adalah unsur romantisisme terhadap kepentingan ilmu dan perasaan nostalgik yang ada dikalangan orang Melayu pada suatu masa dulu. Ini jelas ternampak sewaktu Cikgu Hassan, bapa kepada sarjana Isyraf Eilmy mengimbau kembali kenangannya sewaktu menjadi mahasiswa pada tahun 70an dahulu.

Di sini penulis menekankan aspek romantisisme dan pada masa yang menjadi aktif untuk mencetuskan perihal kepentingan untuk mempersoalkan kembali beberapa akta drakonian yang masih diteruskan dan diguna pakai pada waktu ini (lihat m/s 36).

Selain daripada itu, penulis juga turut mempersoalkan beberapa kondisi pemikiran yang sudah dilihat sebagai sesuatu yang lumrah di negara kita, sesuatu yang juga jarang dipersoalkan oleh kita semua seperti jalan politik sebagai satu-satunya untuk memperjuangkan bangsa (lihat m/s 23).

Beberapa isu yang diutarakan di dalam novel ini tidak bersifat berat sebelah dan tidak terlalu radikal, malah melalui dialog yang dihasilkan penulis berjaya mengimbangi sesuatu isu itu dengan dua hujah yang bertentangan. Mungkin ianya adalah cara untuk mengelakkan imposisi terhadap pembaca ataupun pendekatan yang didaktik.

Sebagai contoh, perbalahan ataupun perdebatan yang berlaku diantara Isyraf Eilmy dan abangnya mengenai justifikasi untuk menggunakan sokongan parti “establishment” sebagai sarana untuk mendapatkan tender perniagaan. Dialog yang terhasil diimbangi dengan hujah bernas dari kedua-dua pihak yang bertentangan (lihat m/s 53).

Secara menyeluruhnya novel ini berjaya ditulis secara kemas dan jalan cerita yang mudah untuk dicerna. Malah novel yang ilmiah, berteraskan karakter sarjana juga turut dilihat sebagai novel yang mampu memupukkan semula semangat mencintakan ilmu tingkat tinggi dikalangan sarjana.

Tetapi kelemahan utama mengikut pendapat saya adalah kenaifan karakter-karakter ini. Jika ingin dikaitkan hubungan isi dengan konteks sosial, benar bahawa realisme itu wujud dan juga turut diselitkan dengan unsur romantisme yang aktif. Tetapi novel ini tidak diimbangkan dengan karakter-karakter yang berlawanan dengan watak utama. Tiada konflik yang mampu menunjukkan jalan penyelesaian yang sering difikirkan oleh Isyraf, seakan-akan pupukan ilmu melalui penyatuan nilai agama dan kemajuan masa kini itu tidak dapat langsung dipraktikkan melalui novel ini.

Yang kerap dibincangkan adalah bagaimana peribadi dan ilmu Isyraf Eilmy itu merupakan tonggak utama kemasyuran beliau dan keluarga beliau, tetapi alangkah sedihnya apabila satu-satunya “isu” yang mampu diselesaikan oleh beliau adalah pemelukan agama Islam oleh keluarga Papa Lee.

Praktikaliti ilmu yang ditekankan oleh beliau tidak langsung digunakan untuk menyelesaikan apa-apa pun masalah.

Segala kemelut ataupun keluhan pemikiran yang terhasil hanya berlegar di ruang perbicaraan orang-orang akademik, para sarjana dan para menteri, seakan-akan mereka hanya mampu mengulang kembali teori-teori akademik sahaja. Teori sosial yang dipersembahkan itu dihabiskan begitu sahaja. Ternyata bahawa sikap heroik sarjana Isyraf Eilmy tidak diberi peluang yang sebenar bagi dia untuk mempergunakan ilmu yang ada untuk masalah sosial yang sebenar.

Walaubagaimanapun, novel ini tetap menyajikan sedikit sebanyak pembentukan pemikiran karakter utama dan bagaimana daripada sudut pandangnya sebagai seorang sarjana muda, diberi amanah untuk membentuk suatu teori sosial yang baru. Suatu teori sosial yang menurutnya mampu mengubah secara drastik terhadap landskap sosial dan realiti di negara. Melalui penekanan ilmu itu beliau menjalani suatu proses intensif untuk mengemukakan suatu haluan yang baru. Novel ini berjaya menyatakan deskripsi keluhan watak utama dengan jelas. Manfaat bagi sesiapa yang membacanya tetap ada.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
1 Comments
  • HASANUDDIN MD ISA
    January 13, 2016 at 5:15 pm

    Terima kasih atas ulasan. Ini menyemarakkan semangat saya untuk menghasilkan karya yang dapat diterima umum

Leave a Response