Other
Now Reading
Sajaknya Melawan Kebisuan Yang Ada
Next
Prev
124 0

Sajaknya Melawan Kebisuan Yang Ada

by Anak DagangMay 19, 2015

Tulisan berikut diniatkan sebagai ulasan buku Aku Ingin Jadi Peluru yang ditulis oleh saudara Wiji Thukul.

Sajaknya melawan kebisuan. Istilah ‘melawan kebisuan’ itu sendiri merupakan kata yang diserahkan oleh si penyajak kepada khalayak ramai. Melawan kebisuan itu tidak harus kita bataskan hanya di bawah konteks politik, iaitu melawan rejim yang menindas sahaja; tetapi dilihat sebagai suatu percubaan yang jujur untuk menggarapi nilai sebenar disebalik kehidupan yang ada, iaitu usaha untuk mengenalpasti perasaan yang terlahir pada sesuatu saat lalu diwujudkan secara konkrit melalui susunan kata-kata.

Dan kemudiannya, mengukuhkan keberadaan kita di dunia sebagai individu yang aktif dan merasai dengan jelas akan ‘diri’-nya di bumi.

Susunan kata itu sendiri dilihat sebagai saksi yang tulus dan nyata. Ianya tidak diwujudkan sebagai alat semata-mata, tetapi sebagai ritual ataupun keperluan untuk penyair memahami dunia; iaitu memahami keadaan sekelilingnya.

“Belajar tidak harus di bangku kampus atau sekolah tetapi bisa di mana-mana dan kapan saja: di perpustakaan atau membaca gelagat lingkungan atau apa sajalah pokoknya yang bisa mempertajam kepekaan penyair terhadap gerak hidup dirinya dan hidup diluar dirinya juga.”

– dari petikan yang diambil dari catatan Wiji Thukul

Rasanya begitulah naluri penyair, yang memikirkan fungsi sebenar puisi itu. Penyair seperti Wiji Thukul yang hilang sejak Mei 1998, menggarapi keberadaannya sendiri dan itulah yang jarang benar disadari oleh kebanyakkan manusia.

Apa yang dihasilkan penyair bukan hanya sekadar merembeskan cetusan emosi yang berlebihan, tetapi menggunakan kewujudan dan kesedarannya dengan penuh tanggungjawab, menggunakan ‘mata ketiga’ ataupun ‘deria kelima’ untuk menyatakan hikmah kehidupan. Samada ianya berteraskan perlawanan terhadap rejim yang menindas atau mungkin sahaja pergelutan di dalam setiap diri manusia.

Barangkali penyair itu sendiri berusaha untuk mengenali cinta yang sebenar – cinta yang mampu mengurangkan rasa keterasingan sesama manusia.

Pasti ada yang akan mempersoalkan dan saya juga pernah terdetik memikirkan kenapa beliau dan puisi beliau masih lagi dibincangkan dan perlu diedarkan disini? Kenapa penyair Indonesia yang diberi perhatian dan bukan penyair Malaysia? Apakah hubungan signifikan yang dapat kita kaitkan di sini demi anak-anak muda kita di zaman ini?

Bayang-bayang jawabannya, menurut pemikiran saya – keikhlasan menulis dan penolakan terhadap benda yang kepura-puraan. Walaupun beliau dilabel sebagai aktivis, penyair yang melawan ketidakadilan, beliau dengan tegas mengingatkan kita semua bahawa beliau tetap jujur menghasilkan puisi; bukan untuk sesiapa tetapi untuk dirinya sendiri. Disini saya tuliskan semula jawaban beliau terhadap persoalan label beliau sebagai penyair kerakyatan:

“Dalam menulis puisi saya cenderung tak peduli apa pun. Yang menyebut saya penyair kerakyatan kan orang lain. Bukan saya. Kalau saya bilang begitu namanya takbur. Dan memang perlu diluruskan bahwa saya tidak membela rakyat. Saya sebenarnya membela diri saya sendiri. Saya tidak ingin disebut pahlawan kerana berjasa memperjuangkan nasib rakyat kecil. Sungguh saya hanya bicara soal diri saya sendiri. Lihatlah saya tukang pelitur, istri buruh jahit, bapak tukang becak, mertua pedagang barang rongsokan, dan lingkungan saya semuanya melarat. Mereka semua masuk dalam puisi saya. Jadi saya tidak membela siapa pun. Cuma secara kebetulan, dengan membela diri sendiri ternyata juga menyuarakan hak-hak orang lain yang sementara ini entah di mana.”

Kenyataan di atas sahaja sudah jelas dimana beliau berdiri. Bukan saya maksudkan bahawa beliau seseorang yang mementingkan diri sendiri di sini; beliau sekadar meletakkan dirinya sebagai fokus utama dan secara jujur melihat dan mengamati dunia beliau dari sudut naratifnya sendiri.

Rasa saya, saudara Wiji tidak mungkin akan banyak menulis fasal keseksaan petani desa jika beliau sendiri tidak dapat menjiwai keadaan eksistensial golongan petani; dan barangkali pasti juga beliau tidak langsung ingin menyentuh fasal kesusahan orang Palestin yang jauh disana.

Bagi saya kenyataan beliau di atas menunjukkan bahawa, apabila subjek yang ditulis itu tidak mempunyai hubungan yang kuat dengan sang penyair, maka apa yang terhasil adalah palsu semata-mata; ia hanyalah suatu esensi yang tercetus bukannya dari diri penyair sendiri.

Wiji Thukul berusaha keras untuk melawan kebisuan yang kerap ditindas oleh esensi luar. Dan ‘esensi luar’ itulah yang ingin dilawannya. Seperti manusia yang lain, apa yang benar-benar diinginkan adalah mempunyai kuasa untuk memaknakan dunia sebagai seorang individu yang aktif, dan tidak hanya mempergunakan kata untuk ideal yang tidak ikhlas, dipandu oleh suatu naratif yang tidak pernah difikirkannya secara jelas, dan malah, hanya didorong oleh sentimen mahupun kuasa yang membutakan.

Melalui temuramah yang dimuatkan di dalam buku ini beliau juga menyatakan bahawa bahasa yang berbunga itu, jika tidak dapat disampaikan kepada teman-teman sekelilingnya secara jelas tidak ada gunanya juga. Mesej yang ingin disampaikan itu harus jelas dan mudah agar nilai yang tersirat beserta empati mampu dihasilkan dan dirasakan oleh orang awam.

Konsep Kuasa dan Bakti, Menurut Saudara Wiji

Koleksi puisi beliau meliputi pelbagai tema dari tema kuasa, kedangkalan pembangunan kota, kesedihan orang yang miskin, dan yang paling intim bagi saya adalah puisi kepada sosok ibu itu sendiri, dimana ia, melalui puisi yang bertajuk “Ibu”, mempersoalkan definisi bakti itu semula.

Disini saya turunkan semula puisi beliau itu:

jika kau menagih baktiku
ini sudah kupersembahkan ibu
waktu hidup yang tak kubiarkan beku
itulah tanda baktiku kepadamu

gula dan teh memang belum kuberikan
tetapi nilai hidup adakah di dalam nasi semata

apakah anak adalah tabungan
bisa sesuka hati dipecah kapan saja
apakah kelahiran cuma urusan untung dan laba
tumpukan budi yang harus dibayar segera

jalan mana yang harus ditempuh anak
juga bukan yang biasa dan sudah dipilih
oleh yang berjalan sekali?

Persoalan bakti kepada ibu yang melahirkan kita sahaja sudah berjaya menangkap pembacaan saya. Persoalan ini adalah sesuatu yang difikirkan kita semua, lebih-lebih lagi oleh anak-anak muda yang hidupnya masih tidak menentu dimana kehidupan zaman kita yang ditentukan oleh kebolehan materi semata-mata dan waktu hidup yang tak kubiarkan beku adalah bakti yang tidak dapat diukur. Manusia aktif adalah manusia yang memberi makna kepada kehidupannya sendiri tanpa ketagih kepada mana-mana slogan picisan yang klise dan tidak jujur pada diri mereka sendiri.

Beliau memberi harapan ataupun ruang kepada kita, untuk melawan kebisuan itu melalui apa yang mampu digarap kita – samada ianya adalah puisi, lukisan, muzik ataupun mana-mana seni lain.

Itulah yang jarang dapat dilakukan oleh kita semua secara konsisten. Pengimbangan di antara persoalan yang intim dan juga persoalan melawan penguasa yang menindas. Selalunya kepada sesiapa yang mulai dibuai idea-idea murni, seringkali terkandas ke dalam naratif luar yang ditentukan oleh sentimen kolektif, fantasi kewiraan, dan mengagungkan sesuatu ideal tanpa mengukuhkan citra dirinya sendiri.

Jarang benar kita sedar bahawa apa yang sedang kuat bergelut di dalam hati itulah yang harus dikendalikan. Yang harus diselamatkan dan dibela adalah keluhan di dalam diri yang dikelolakan secara jujur dan penuh tanggungjawab. Pada masa yang sama berlaku aktif menghubung kaitkan dengan konteks di luar kita: institusi, negara, masyarakat, agama, dan juga bangsa. Hubungan dua hala inilah yang menurut saya seringkali ditekankan oleh beliau.

Dengan membacanya, saudara Wiji mengajar saya untuk jujur dengan perasaan saya, tanpa dicemari rasa bangga atau ideal yang mampu membutakan sudut pandang saya. Dan dengan kejujuran yang dikekalkan itu, bakal terlahir suatu keinginan untuk mengeluarkan apa yang dipendam. Apa yang dipendam itu – salah ataupun tidak adalah sesuatu yang kerap ditindas dan dipaksa diam oleh kuasa di luar. Esensi yang menidakkan saya untuk menjadi manusia yang seharusnya saya jadi.

Dan tulisan ini saya akhiri dengan sajaknya yang terakhir, diberi nama mudah:

“Sajak”

sajakku adalah kata-kata
yang mula-mula menyumpal di tenggorokan
lalu dilahirkan ketika kuucapkan

sajakku adalah kata-kata
yang mula-mula bergulung-gulung
dalam perasaan
lalu lahirlah ketika kuucapkan

sajakku
adalah kebisuan
yang sudah kuhancurkan
sehingga aku bisa mengucapkan
dan engkau mendengarkan

sajakku melawan kebisuan

*Aku Ingin Jadi Peluru oleh Wiji Thukul boleh didapatkan di Kedai Hitam Putih dan juga Obscura Malaysia.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response