Other
Now Reading
Reviu Forum: Ke Arah Revolusi Budaya
Poster Mimbar Gerak Budaya
108 0

Reviu Forum: Ke Arah Revolusi Budaya

by Anak DagangApril 19, 2015

Nilai kata ‘Revolusi’ itu adalah sesuatu yang benar-benar berat – penuh dengan kekaburan dan kompleksiti dimana khalayak awam tidak dapat menentukan secara pasti revolusi apa yang ingin dicapai. Perubahan melalui revolusi selalunya dan tepat hanya menggantikan suatu elemen utama dengan elemen yang lain. Esensinya tetap sama, ia tetap mengawal dan struktur yang menguasai dari atas ke bawah tetap ada dan tetap diteruskan dan dipaksakan tanpa diberikan peluang untuk kemandirian individu.

Begitulah tanggapan saya terhadap nilai kata Revolusi. Ia dilihat sebagai bapa yang mengongkong dan mengarah anak-anaknya ke sesuatu matlamat yang tidak pasti dan hasilnya terlalu ideal, samada berteraskan ego seseorang – disaduri kata-kata murni ataupun merupakan sesuatu yang dihasilkan untuk jangka panjang.

Minggu lepas saya berkesempatan menghadiri forum Mimbar Gerak Budaya yang diadakan di Dewan Gerakbudaya. Forum yang bertajuk “ Ke Arah Revolusi Budaya” merupakan sesuatu yang harus diberi perhatian, dan saya sebagai anak muda ingin benar mengetahui apakah revolusi budaya itu, apakah yang ingin dikecapi, apakah masalahnya dan apakah realiti yang menghalang revolusi itu daripada berlaku. Forum itu disertai oleh dua panel iaitu Dinsman, seorang budayawan dan aktivis, dan juga Amirudin Shari – exco kerajaan negeri Selangor yang dipertanggungjawabkan menjaga pembangunan usahawan. Forum ini dianjurkan sempena pelancaran buku terbaru Dinsman – “Jelajah Budaya”.

Pemberian nafas baru kepada definisi budaya

Saudara Dinsman menunjukkan keprihatinan beliau terhadap definisi budaya itu sendiri dan beliau menegaskan bahawa definisi itu harus dinilai semula menurut konteks dan diberikan nafas yang baru. Apa yang dimaksudkan oleh beliau dengan kata Revolusi itu sendiri adalah mengambil kembali hak berbudaya di dalam masyarakat. Beliau menyatakan keresahan beliau mengenai realiti keadaan budaya (mungkin budaya disini lebih dekat ke arah seni) kita akibat praktis berpolitik yang berlebihan. Begitu juga dengan saudara Amiruddin Shari yang melihat aktiviti seni budaya itu hanya sebagai perhiasan dan diwujudkan hanya untuk memenuhkan suatu acara. Beliau meneruskan lagi, pihak penguasa ataupun orang-orang besar tidak melihat seni budaya itu sebagai sesuatu yang melebihi definisi hiburan dan tidak melihatnya sebagai faktor ekonomi yang signifikan dan cukup besar.

Mereka menyatakan lagi, disebabkan acara berpolitik yang penuh dengan sentimen dan retorik semata-mata – aspek kerohanian dan kelembutan naluri manusia itu tidak lagi dikendalikan dengan cermat dan secara tidak langsung menghasilkan keadaan masyarakat yang tidak lagi berharmoni dengan lentur dan pergerakan tubuh badannya. Kita tidak lagi menyentuh aspek intuisi yang menghasilkan karya yang berkualiti dan meninggalkan tanggapan yang indah dan mampu mengubah naratif para penonton ke haluan yang lebih elok. Seni menjadi basi dan tidak lagi mampu diangkat menjadi sesuatu yang benar-benar signifikan bagi kita semua.

Daya yang konsisten – Cultural Will / Tekad Budaya

Saudara Dinsman tidak menyamakan revolusi budaya itu dengan peristiwa revolusi kebudayaan negara lain yang dayanya hampir penuh didukungi oleh pihak yang berkuasa seperti Revolusi Kebudayaan Cina, Iran dan Libya. Sebaliknya beliau menekankan perubahan besar yang dibimbing oleh para budayawan yang mempunyai tekad budaya yang tinggi. Tekad budaya dilihat sebagai suatu tenaga yang ikhlas, didorong oleh keinginan untuk membentuk semula definisi seni dari kalangan rakyat dan tidak ditenggelami oleh niat kekuasaan ataupun pengaruh yang hanya menggunakan seni budaya sebagai sarana semata-mata.

Beliau meneruskan lagi, pihak kerajaan tidak perlu membawa peranan seolah-olah ruang seni dan budaya itu adalah keistimewaan yang hanya mampu diberikan oleh pihak atas kerana berdasarkan pengalaman beliau menghadapi pihak birokrasi selama 40 tahun adalah sama sahaja, mereka diberi kuasa untuk menentukan hala tuju kebudayaan tanpa keinginan yang kukuh untuk mengangkat nilai kebudayaan ke tahap yang sepatutnya. Sebaliknya apa ingin yang beri hanyalah pertolongan berbentuk ehsan dan tidak lebih daripada itu.

Oleh itu, penekanan terhadap tekad budaya itu menurut saudara Dinsman adalah sesuatu yang benar-benar penting dan harus diberikan perhatian yang sepenuhnya. Golongan budayawan adalah golongan yang bertanggungjawab untuk membimbing dan mencetuskan semula minat yang mendalam di dalam hati rakyat. Golongan budayawan harus berhenti menyalahkan para pihak penguasa sebaliknya dengan penuh tekad berusaha untuk melakukan perubahan besar itu sendiri. Revolusi budaya dilihat sebagai suatu perubahan yang besar dan usaha yang benar-benar konsisten untuk merancakkan dan memperkayakan lagi aktiviti kebudayaan.

Memupuk budaya intelektualisme

Beberapa dekad yang lalu perkataan ‘intelektual’ telah mula diberi perhatian oleh segelintir rakyat negara. Golongan intelektual merupakan golongan yang menggunakan ilmu yang diperoleh untuk mengubah keadaan fizikal dan mental rakyat massa seluruhnya. Walaupun golongan intelektual seringkali dikaitkan dengan golongan yang mempunyai kelebihan untuk melanjutkan pelajaran dan menguasai satu cabang ilmu, ianya harus dibezakan dengan nilai intelektualisme itu sendiri, iaitu keberaniannya untuk berfikir secara mandiri dan konsep yang mampu ditadbir oleh semua individu.

Konsep intelektualisme itu adalah suatu sikap keterbukaan yang mampu meningkatkan cara untuk kita menghargai seni itu semula. Barangkali wujudnya suatu naratif di dalam masyarakat kita yang keras mengalihkan pandangan rakyat untuk senang menerima suatu sudut pandang baru dan original. Sudut pandang baru yang terhasil daripada konsep intelektualisme itu mampu mencetuskan kreaviti yang bakal menyerlahkan setiap individu di negara kita. Aktiviti Jelajah Budaya yang dimulakan oleh kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dapat dilihat sebagai salah satu contoh yang turut memainkan peranan mencetus kreativiti dan semangat intelektualisme di kalangan penduduk negara.

Kuasa kreativiti yang terasing?

Apakah cabaran ataupun faktor manakah yang dapat dilihat sebagai masalah utama? Adakah masalah ini hanya membelenggu isu seni-budaya ataupun isu rakyat secara keseluruhan? Apakah punca utama kehilangan daya kreativiti dan sikap menghargai ilmu?

Jikalau kita hanya ingin meneruskan perbicaraan mengenai cabaran ini dengan mengambil kira aspek seni-budaya sahaja. Salah satu faktor kemunduran ataupun kemampuan untuk menjayakan nilai seni itu adalah disebabkan kesinambungan tradisi feudal. Kondisi pemikiran feudal ini mungkin sedikit sebanyak melibatkan tradisi yang telah lama membimbing rakyat negara untuk sentiasa tunduk dibawah naungan suatu esensi yang suci. Ianya tidak semestinya ditujukan kepada golongan monarki sahaja, tetapi tradisi feudal itu menghasilkan suatu kerangka pemikiran yang mengongkong kreativiti setiap manusia.

Konsep wira seperti Hang Tuah ataupun Hang Jebat, dan penerusan penekanan terhadap karakter-karakter seperti ini menguatkan lagi mentaliti feudal dikalangan orang ramai. Kita secara tidak sedar dibentuk oleh konsep wira di dalam masyarakat dan mencerminkan nilai-nilai yang diterapi melalui medium-medium seni yang wujud. Hasil daripada kesinambungan keadaan seperti ini, rakyat negara ataupun pihak majoriti secara am telah lumpuh untuk menghasilkan karya yang segar malah tidak berjaya untuk menggerakkan orang ramai ke arah peningkatan daya kreativiti. Kita semua dibelenggu konsep kuasa yang dominan mengongkong dari atas, dan bukannya mengangkat setiap individu untuk berjaya dengan kebolehan idea sendiri.

Proses yang menjayakan Revolusi Budaya

Selalunya kita dengan penuh kelemahan dibuai dan dibutakan oleh prospek kuasa, didukungi lagi oleh kelebihan material dan sokongan orang ramai – seringkali merasakan dengan yakin bahawa revolusi mampu terhasil dan diwujudkan sewaktu jangka hayat kita. Jarang benar pihak berkuasa mulai memberi keutamaan kepada proses untuk mencapai matlamat, dan melihatnya sebagai sesuatu matlamat yang sentiasa dinamik dan tidak akan habis. Lalu proses itu adalah elemen utama untuk ke arah revolusi.

Proses itu sendiri adalah harapan yang berulang kali memberi cahaya kepada anak-anak muda untuk meneruskan karya mereka, dan ada yang tidak sedar bahawa kebanyakkannya mereka sendiri sedang melakar kehidupan mereka melalui naratif yang dibinanya sejak dari kecil. Setiap cetusan keberanian yang ada masih menunggu untuk kembali ke tuannya dan mengangkat darjat kewujudan mereka dengan lebih tinggi, mengagungi setiap butiran dirinya dan kebolehan pergerakan badannya yang lembut dan keupayaan fikirannya untuk turut sama menjadi subjek yang aktif dan mengubah dunia di sekelilingnya.

Yang hanya diharapkan oleh saya sebagai anak muda adalah usaha yang dijayakan oleh kumpulan PAKSI mampu dilihat sebagai salah satu haluan utama yang mampu secara konkrit mengubah keadaan masyarakat. Dan pada masa yang sama turut memberanikan diri untuk mencipta naratif dan idea yang baru agar pendekatan untuk menjadikan seni-budaya sebagai sendi utama di dalam masyarakat.

*Forum Mimbar Gerak Budaya merupakan suatu program diskusi mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan budaya, seni, sosial, dan politik.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response