Other
Now Reading
PUISI KITA – III
PUISI FEATURE
212 0

PUISI KITA – III

by Adnan QiyasApril 30, 2017

Sepanjang April kami telah mencadangkan lapan naskah puisi (setakat ini) untuk memperkenalkan puisi kepada masyarakat umum. Dari antologi-antologi dan himpunan-himpunan dari sasterawan negara ke Sasterawan Muda London, kami telah memilih baris-baris yang diharapkan akan membuka minda pembaca terhadap puisi secara amnya.

Minggu ini kami kembali dengan 4 naskah lagi untuk menutup sambutan NaPoWriMo 2017 kami sepanjang tahun 2017 ini.


Cerita Cinta Bohongan – Mimi Morticia
Mimi Morticia adalah seorang penulis yang tidak asing lagi kepada kalangan pembaca yang mengikuti ledakan penerbitan indie pada lewat dekad 2000. Buku ketiga beliau ini merupakan penulisan beliau yang paling matang dan padat. Diterbitkan pada 2016 oleh Selut Press, edisi pertama buku ini diterbitkan dengan kulit tebal (hardcover) khas yang berwarna kelabu (malam) dan putih (siang) sebelum ianya dicetak dalam format paperback lazim Selut Press dalam cetakan keduanya. Mimi Morticia adalah seorang penulis visual yang halus, menjadikan karya-karnya sensual dan suggestive. Beliau mahir dan cekap menggunakan bahasa untuk menggambarkan imej-imej dan visual-visual dalam sanubari pembacanya. Mimi juga menulis dengan sedikit pengaruh sastera Indonesia dan itu menjadikan karya-karyanya mengasyikkan; metaforanya segar dan baharu, memberikan nafas baru kepada isu-isu dan topik peribadi yang lazimnya memerangkap penulis-penulis baru. Edisi pertama yang ada dua versi (malam dan siang) adalah cetakan collector’s edition; seni reka buku tersebut menggunakan beberapa jenis kertas untuk merangsang deria sentuhan kita sewaktu memegang dan menelaah buku itu, dan mempamerkan seni kraftangan unik yang amat jarang dilakukan oleh mana-mana penerbit buku tempatan.

PUISI KITA - III 02

Stiletto Scars – Pooja Nansi
Pooja Nansi adalah seorang penulis Singapura yang berbangsa India. Beliau pada awalnya adalah seorang penulis Word Forward, sebuah syarikat penerbitan dan latihan penulisan Singapura yang telah memperkenalkan poetry slam di Singapura. Buku terbitan 2007 adalah buku pertama Pooja, dan penulisan beliau masih lagi segar, relevan dan mengesakan biarpun umurnya sudah sedekad. Penulisannya mirip Warsan Shire, Mimi Morticia dan Karl Agan, di mana ianya evocative; mahir menggunakan visual baik dari metafora mahupun gambaran untuk berkongsi impian dan penyesalan.Pooja Nansi boleh dianggap sebagai salah seorang penyair muda generasi pertama Singapura dalam alaf baru ini, dan selain menulis beliau juga biasa membuat persembahan. Jika anda menyukai buku ini, dapatkan buku keduanya Love Is An Empty Barstool”.

PUISI KITA - III 01

Sajak-sajak Gustavo – Mohd Jayzuan
Jayzuan ada nama yang tidak asing lagi dalam arena india tempatan. Berasal dari Ipoh, Jayzuan adalah seorang seniman yang aktif – baik sebagai pemuzik, penulis mahupun sebagai penganjur, penggerak dan penerbit. Beliau adalah pengasas Rabak, sebuah kolektif indie dari Ipoh yang mempunyai jaringan usahawan yang lengkap – Khizanat (sebuah event space), Rumah Khizanat (bed & breakfast yang mengandungi event space serta perpustakaan buku-buku rare), Rabak-Lit (sebuah syarikat penerbitan) serta Ipoh Kreatif (sebuah festival seni kreatif yang berpusat di Ipoh). Jayzuan adalah seorang penulis yang prolifik – beliau sudah menerbitkan 10 buku sejak 2010 dan Sajak-sajak Gustavo adalah karya terbarunya. Karya-karya dalam antologi ini ditulis sepanjang perjalanannya di sekitar Eropah dan Asia. Penulisan Jayzuan matang, dan jiwa ‘avant-garde’nya yang sentiasa cuba merungkai estetik dan norma seni menjadikan Sajak-sajak Gustavo sebuah pengalaman bacaan yang mengujakan. Jayzuan tidak segan mahupun serik menggunakan nada mencabar dan mengherdik dalam karya-karyanya, dan ini menjadikan naskah ini satu bacaan yang menyegarkan minda.

PUISI KITA - III 03

Taboo – Melizarani T. Selva
Melizarani adalah antara penulis dan penyair spoken word yang terbaik di KL, jika tidak di Malaysia. Penulisan beliau garang dan tegas bersalut kelembutan wanita yang nyata dari kehalusan dan ketajaman metaforanya. Buku Taboo terbitan Perfect Binding pada 2015 ini mengandungi puisi-puisi yang enak, baik dihadam di atas kertas mahupun di atas pentas. Penulisan beliau sarat dengan subteks-subteks yang menjadikan puisi-puisinya satu kisah yang melucukan, menyayat hati dan menggegar. Beliau juga tidak segan dengan identiti Indianya, dan penulisan yang hampir irreverentnya (jika kita tertumpu dengan humornya) menyembunyikan daya pengamatan penulis yang tinggi. Jika anda menyukai naskah-naskah Warsan Shire, Pooja Nansi dan Rupi Kaur anda barangkali akan menyenangi naskah ini.

PUISI KITA - III 04


Puisi adalah bentuk penulisan sastera yang paling mudah didekati namun ia juga adalah (antara) yang paling kompleks. Ianya adalah satu seni penulisan yang memerlukan penulis-penulisnya mengungkap kisah-kisah, teladan-teladan atau buah-buah fikiran yang berdekad-dekad usianya ke dalam satu bentuk penulisan yang sangat mampat (condensed). Selain itu, ia juga antara bentuk penulisan sastera yang paling peribadi, dan sifatnya yang lebih menyiratkan dari menyatakan menjadikannya satu seni yang makin masak ditelan usia. Seorang penghadam dan pecinta puisi tidak sukar jatuh hukum (judgemental) terhadap karya-karya puitis kelilingnya semakin lama dia akrab dengan puisi.

Sifat ini menjadikan puisi sebuah enigma – ianya tampak ringkas dan mudah namun pada masa yang sama ianya terlalu terbuka dan abstrak. Inilah yang menyukarkan masyarakat umum mendekatinya, kerana apabila bahasa yang digunakan mula menghalus dan meninggi, jurangnya dengan pembaca akan bertambah.

Namun disitu terletak keindahan seni puisi itu – keupayaan penulisnya mengungkap sesuatu perasaan yang unik namun masih mudah disenangi masyarakat umum, dan mewakili segenap lapisan masyarakat.

Diharap siri cadangan puisi ini telah membantu mendekat anda dengan puisi sedikit sebanyak, tanpa menambah lagi kepada apa-apa jurang yang sedia ada. Semoga anda membaca dengan akal, dan mengupas dengan hati.

Salam Puisi, Malaysia.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas

Leave a Response