Editorial
Now Reading
PUISI KITA – II
PUISI FEATURE
106 0

PUISI KITA – II

by Adnan QiyasApril 21, 2017

Dua minggu lalu kami menyenaraikan empat naskah antologi atau himpunan puisi sebagai permulaan untuk masyarakat umum diperkenalkan dan didekatkan dengan puisi. Naskah-naskah tersebut dipilih berdasarkan nilai-nilai kontemporari – atas sifatnya yang lebih umum, mudah didapati dan juga mutakhir.

Minggu ini kami kembali melengkapkan senarai tersebut dengan 8 lagi naskah yang kami harap dapat menarik perhatian dan minat anda akan seni puisi. Kami rasakan yang tulisan-tulisan (dan penulis-penulis) ini membawa ketulenan dan kehalusan pena sastera masing-masing, tulisan-tulisan yang mencerminkan jiwa dan kehidupan masyarakat Malaysia.

Setidak-tidaknya mereka menulis tentang isu-isu serta perihal masyarakat yang berkaitan dengan keadaan sosio-ekonomi atau sosio-budaya kita.


Karl Agan – Sekumpulan Epitaf & Surat-surat Yang Lewat
Buku ini adalah antara terbitan Sang Freud Press yang terlaris. Diterbitkan pada 2014, Epitaf (nama timangan-nya) sering menjadi rujukan penulis-penulis baru. Karl mempunyai penguasaan visual yang tinggi, dan ini jelas dalam penggunaan simile serta gubahan metaforanya. Pilihan imejnya juga halus, membuatkan metaforanya tampil halus dan jitu; mengesankan. Selain dari itu, Karl juga mirip T. Alias Taib dan Usman Awang, di mana pilihan kata-katanya amat ekonomi tanpa menjejaskan nilai puitis karya-karyanya. Buku ini penuh dengan kiasan-kiasan yang indah serta bait-bait dan rangkap-rangkap kata yang cekap-halus mengungkap apa yang tersirat di hati.

PUISI KITA - II 01

 

Warsan Shire – Teaching My Mother How To Give Birth
Warsan Shire adalah seorang penulis British yang berasal dari Kenya. Beliau bersama keluarganya telah berpindah ke UK pada usia 1 tahun. Sebagai seorang pendatang generasi pertama (first generation immigrant), penulisan Warsan dalam buku terbitan 2011 oleh Flipped Eye Publishing ini banyak berkisar tentang pengalaman-pengalaman dan peristiwa-peristiwa pendatang dan pelarian. Namun begitu penulisan beliau juga turut menitikberatkan nasib mereka yang terpinggir dan tertindas, dan di sini bakat dan ketajaman mata pena paling ketara. Penulisannya amat intim; kadangkala sensual disebabkan pilihan kata-katanya yang cermat dan jujur. Warsan gemar bercerita, dan sering merujuk kepada dirinya sebagai seorang yang berkongsi kisah-kisah hidup yang menyayat hati, sayu namun membawa harapan dan makna. Beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Muda London (Young Poet Laureate of London) yang pertama pada 2013.

PUISI KITA - II 02

 

Aan Mansyur – Kepalaku Kantor Paling Sibuk Di Dunia
Aan Mansyur adalah seorang penulis yang prolifik. Karyanya dikenali ramai, dan ianya bertambah popular setelah ianya digunakan dalam filem Ada Apa Dengan Cinta 2. Buku ini adalah antologi puisi yang diterbitkan khas untuk pembaca-pembaca Malaysia oleh Sang Freud Press pada 2014, dan ia memuatkan pilihan-pilihan puisi Aan yang dipilih baik, dan rata-rata ianya mempamerkan tulisan-tulisan yang cekap membuka pintu hati untuk membayangkan gambaran-gambaran serta visual yang digubah oleh ungkapan-ungkapan dan metafora Aan. Penulisannya jujur, dan tidak berpura-pura dalam usaha untuk menyuratkan isi hati yang tersirat. Penulisan Aan juga tegas, dan dia mempunyai kosa kata yang cukup baik untuk melapik ketegasannya dengan puitis.

PUISI KITA - II 03

 

Shirley Lim – Listening to the Singer
Shirley Lim (atau nama penuhnya Shirley Geok-lin Lim) adalah nama yang bukan asing lagi bagi pecinta puisi Bahasa Inggeris tanahair. Beliau adalah seorang penulis yang amat berpengalaman dan prolifik, dan ini menjadikannya pemenang Anugerah Puisi Komanwel serta American Book Award. Buku terbitan Maya Press pada 2007 ini menghimpun karya-kerya penulis kecil Melaka yang berjiwa besar, mencoretkan pengalaman-pengalaman, peristiwa-peristiwa serta sejarah hidup jiwa seorang yang rindukan tanahairnya. Buku ini adalah kajian sastera Inggeris tanahair yang padat – ianya penuh dengan penggunaan poetic devices yang cekap, tajam dan sesuai dalam usaha untuk mengungkap kerinduan, kepedihan, keasyikkan dan keriangan seorang yang menjelajah dunia; seolah-oleh beliau menulis surat cinta untuk hatinya yang menunggu jasadnya pulang.

PUISI KITA 04


Kami akan kembali lagi minggu hadapan dengan 4 lagi naskah puisi.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas

Leave a Response