Music
Now Reading
Previu: 5 Sebab Elok Layan Pop Kontemporari Melayu di Konsert ‘5 Divo’
IMG-20151222-WA0000
132 0

Previu: 5 Sebab Elok Layan Pop Kontemporari Melayu di Konsert ‘5 Divo’

by The Daily SeniDecember 27, 2015

MASIH ada lagi produksi tempatan mahu bikin konsert pop besar-besaran di kala ini. Salah satunya produksi ini diterajui bekas bintang realiti, Dafi, membawa satu persembahan eksklusif diberi jenama 5 Divo. Berikut lima cadangan mudah mengapa anda kena layan konsert yang bakal tiba Februari ini.

1. Memainkan Peranan Anda/Kita Dalam Memeriahkan Semula Suasana Muzik Berbayar Tanahair

Di kala ini tiada lagi gerenti laris tiket konsert walau sebesar manapun nama tarikan utama sebuah konsert itu. Dengan pengecualian kepada jenama-jenama seperti Yuna dan Faizal Tahir di mana kedua-duanya baru-baru ini telah mengadakan konsert tersendiri, mereka punyai ikutan masing-masing yang terbela dan terkini. Dua nama ini tidak terlalu bergantung pada infrastruktur media tempatan sahaja dan boleh dikatakan wujud dan berjalan secara independen dan autonomi sendiri dengan hubungan-hubungan dari luar arus perdana Malaysia.

Beza dengan nama-nama Malaysia yang tersenarai sebagai antara tarikan utama di konsert 5 Divo ini seperti Hafiz dan Hazama yang popular di hati audiens yang lebih luas sekitar Malaysia atas ihsan TV dan radio Melayu perdana, satu demografik yang biasa dengan konsert percuma dan oleh itu belum tentu lagi menjanjikan sambutan buat konsert eksklusif yang berbayar.

2. Membuktikan Bahawa Konsert Pop Lebih Gah Sambutannya Sekarang Berbanding Konsert Rock Di Malaysia?

Bagi tema aristokratik merangkap birokratik gabungan lima vokalis paling diva negara tetapi versi laki-laki untuk konsert 5 Divo, menarik juga kalau kita lihat nanti–melalui kehadiran dan keghairahan penonton, dan juga melalui koleksi tiket–dibuktikan secara umum nanti bahawa muzik pop masih berkobar-kobar sambutannya berbanding konsert-konsert rock.

Jenama-jenama rock besar tempatan termasuk Search, Amy, Wings, KembaraM. Nasir dan Ramli Sarip, semuanya rajin sejak kebelakangan ini mengadakan konsert besar dan ini dialu-alukan namun tidak laris sepenuhnya. Sekurang-kurangnya ada satu lagi genre muzik langsung di Malaysia yang kita tahu masih hidup sambutannya, berbayar atau tidak, di zaman internet, Jom Heboh/Jom Gegar dan sewaktu dengannya, serta program pertandingan menyanyi yang tetap hangat di tivi tempatan.

3. Mengukur Kualiti Pop Melayu Kita Dengan Versi Jiran-Jiran Kita 

Sentiasa sahaja menjadi satu tarikan buat sesiapa sahaja yang meminati muzik untuk mengukur kualiti artis kita dengan artis serumpun dari industri dan alam hiburan yang lain dari kita. Sekurang-kurangnya Februari nanti pembeli tiket yang menyambut 5 Divo ini dapat menyaksikan dan menilai sendiri kaliber penyanyi-penyanyi lelaki kita dengan kualiti yang dibawa Afgan dan Judika, yang menjadi kebanggaan Indonesia, serta Taufik Batisah (yang menariknya juga, memilih untuk kekal di Singapura).

Walau Hafiz dan Hazama boleh dikatakan dikasihi juga di seberang tambak, adakah sentimennya benar-benar sama di kalangan pendengar Indonesia?

4. Dapat Mengalami Muzik Sebenar Di Bawah Arahan Pengarah Muzik Pop Yang Paling Dipercayai Tanahair, Datuk Ramli MS

Kelima-lima vokalis dijangka akan menyerlahkan segala jiwa raga kebolehan dan bakat menyanyi dan mengawal persembahan dengan adanya bimbingan muzik dari pakar terbaik muzik pop negara iaitu Ramli MS. Mustahil jika Hafiz, Hazama, Afgan, Judika dan Taufik tidak dapat feel dengan sepenuhnya persembahan masing-masing di konsert ini kelak dengan adanya arahan muzik, pemain iringan dan pemuzik orkestra sebanyak 50 orang kelas dunia.

Lima artis nyanyian lelaki muda paling popular ini (seperti yang diyakinkan oleh pihak produksi dan penganjur)–yang dipilih, menurut sumber pihak penganjur, berdasarkan pencapaian masing-masing dari segi anugerah, juga status sebagai idola remaja bagi menepati tema muda konsert ini, di samping nama mereka di arena perdana Melayu–juga dapat lebih intim dengan kelompok peminat mereka masing-masing, mengikuti susunan aturcara khas untuk tujuan ini seperti yang dijanjikan Dafi dan syarikatnya juga.

Jadi apakah kontemporari-kontemporari lain dalam kategori ini seperti Aizat, Tomok, Noh Salleh dan Faizal Tahir juga tercalon untuk mewakili negara di konsert 5 Divo pada awalnya; dan apakah kriterianya? Renungan tepi yang menarik juga…

5. Peluang Menghayati Lagu Cinta Sepuas-puasnya Dalam Suasana Yang Eksklusif Dan Dari Pandangan Lelaki

Perkataan divo yang bermaksud “seorang penyanyi lelaki yang berwibawa”, adalah suatu pengertian yang agak panjang untuk istilah mudah iaitu diva versi lelaki. Di konsert 5 Divo, selain tema lelaki dan remaja, tema cinta juga bakal bermaharajalela sebagai repertoire utama. Jadi dapatlah dengan sepenuh semangat anda/kita sebagai pencinta muzik pop Melayu menikmati satu malam sempurna inshaaAllah untuk melayan balada-balada paling dekat di hati, tanpa segan silu dan perhatian pengunjung awam seperti yang selalunya di konsert percuma.

*Nantikan susulan butir-butir mengenai konsert yang ditaja Gerakan 1Malaysia ini yang sudah mula menawarkan tiket dari harga RM128 hingga ke RM1180 melalui Ticketpro dan semua cawangan Rock Corner negara. Busana rasmi pula adalah ihsan Rizman Ruzaini.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.