Editorial
Now Reading
Peranan Cendekiawan, Media, ‘Haji 10%’ dan Bimbo dalam Teater
362 2

Peranan Cendekiawan, Media, ‘Haji 10%’ dan Bimbo dalam Teater

by Pribade Abdullah BongkokApril 25, 2015

MEMBACA ulasan Ku Seman mengenai teater Kena Main dalam Mingguan Malaysia dua minggu lalu, sebagai peminat teater saya rasa sedikit terpukul oleh kenyataannya:

“Di Kuala Lumpur sudah tidak ada pementasan teater seperti ini. Yang ada pementasan teater rambu-ramba oleh entah siapa-siapa dan entah apa-apa.”

Perenggan di atas merujuk kepada perenggan sebelumnya iaitu berkenaan naskah-naskah besar yang pernah dipentaskan di Kuala Lumpur sekitar 80-an hingga 90-an seperti A Street Car Named Desire, The Enemy of the People, Salina, Tamu Di Bukit Kenny dan Atap Genting Atap Rumbia. Kemudian, di perenggan lain pula, beliau menulis:

“Banyak peminat teater era kegemilangan 1980 atau 1990-an bukan sahaja sudah hilang keseronokan menonton teater malah kecewa dengan rendahnya seni teater. Padahal sepatutnya menjadi lebih baik dengan prasarana yang jauh lebih hebat berbanding dulu.”

Sepintas lalu membaca tulisan ini, nampaknya Ku Seman tidak pernah peka dengan kewujudan teater yang diusahakan oleh generasi baharu. Jika maksud tulisannya itu bertujuan sarkastik terhadap Istana Budaya, saya berpendapat bahawa Ku Seman tidak pernah menonton pementasan teater selain dari di Istana Budaya. Sedangkan teater di Malaysia ini bukanlah hanya bertumpu di Istana Budaya semata-mata dan ditegaskan bahawa Panggung Sari Istana Budaya itu rekaan akustiknya memang khusus untuk persembahan muzikal, bukan untuk pementasan teater.

Jika tahap penilaian Ku Seman terhadap perkembangan seni teater hari ini hanya berkisar di Istana Budaya sahaja, saya berani katakan – beliau silap. Dan penggiat teater yang hebat bukan sahaja lahir dari era 70-an sehingga 90-an. Penggiat teater sentiasa lahir dari generasi ke generasi. Kembang-kuncupnya kesenian ini pula bergantung pada penerimaan dan penilaian khalayak serta cendekiawan dan media yang bertindak sebagai jambatan menghubungkan naskah dan khalayak, yang lama dan yang baharu.

Saya yakin bahawa Ku Seman juga tahu, terdapat banyak panggung lain selain Istana Budaya. Antaranya ialah The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac), Damansara Performing Arts Centre (DPAC), PJ Live Arts, MAP Publika dan tempat yang paling dinanti-nantikan kelahiran semulanya – Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka.

Di tempat-tempat ini, telah menyaksikan usaha menyemarakkan teater oleh generasi baharu seperti Nam Ron, Fasyali Fadzli, Aloy Paradoks, Christopher Ling, Khairunazwan Rodzy, Wan Azli, Khairil Ridzuan K’n, Ayam Fared dan ramai lagi. Kewujudan mereka ini pula tidak lagi dengan kelab atau persatuan teater. Kemunculan mereka kali ini dengan syarikat dan cuba menjadikan kesenian teater sebagai tanggungjawab industri (walaupun cita-cita ini masih lagi fantasi kerana kesenian teater masih lagi bergantung pada Tanggungjawab Sosial Korporat, tajaan dan dana kerajaan).

Rumah Anak Teater, Ayaq Hangat Entertainment, theatrethreesixty, Paradoks Production, Revolution Stage, Seni Suri Jawi, Cube Art Stage dan banyak lagi – syarikat-syarikat ini merupakan penyambung hayat teater di Malaysia dan karya-karya yang dihasilkan pula lebih bersifat generasi hari ini. Jangan diharapkan mereka akan pentaskan karya-karya Henrik Ibsen atau Tennessee Williams kerana mereka lebih gemar menghasilkan karya-karya tempatan yang baharu, yang lebih sesuai dengan jiwa mereka. Generasi baharu ini juga bercita-cita mahu menghasilkan karya berjiwa besar seperti yang pernah mereka pelajari dan rujuk ketika menuntut di universiti.

Bahkan, penggiat teater di luar Kuala Lumpur juga rancak menghasilkan naskah-naskah baharu, seperti Bakawalee di Pulau Pinang dan Akrab di Kedah.

Era kegemilangan teater di Auditorium Tuanku Abdul Rahman MATIC sudah berakhir. Auditorium DBKL kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) menghidangkan persembahan bangsawan pada setiap bulan. Panggung Bandaraya yang kononnya pernah diangan-angankan oleh penggiat teater (sama ada baharu atau lama kerana panggung ini antara panggung yang terbaik dari segi saiz dan akustik), kini sudah ditakluki oleh Enfiniti Vision Media dengan pementasan harian muzikal pelancongan berjudul Mud KL. Taman Budaya Kuala Lumpur pula hanya ada pentas kiri sahaja untuk keluar masuk pelakon ke ruang pentas.

Oleh demikian, penggiat teater hari ini sangat memerlukan kapital kerana penyediaan panggung pada hari ini telah menetapkan kadar sewaan – dengan kadar minima RM15 ribu untuk sewaan selama seminggu. Ia amat jauh berbeza dengan era 80-an dan 90-an di mana panggung boleh didapati secara percuma malah pihak kerajaan membantu dengan berian kapital tetapi mesti berhadapan dengan pegawai ‘Haji 10%’ terlebih dahulu – nah, korupsi inilah yang dibenci oleh penggiat teater baik yang lama mahupun yang baharu.

Hari ini, mungkin tiada lagi enemy of the people yakni ‘Haji 10%’ (tinggal cuma ‘Kulup 6%’ – GST). Pihak JKKN telah menyediakan agensi-agensinya seperti Kakiseni dan My Performing Arts Agency (MyPAA) untuk penggiat teater memohon dana. Sayangnya, agensi-agensi ini seperti tidak mengenali akar umbi budaya dan tiada kefahaman apa itu yang dikatakan pentas lakon. Kedua-dua agensi ini lebih memberi perhatian lebih kepada penutur bahasa Inggeris dan membawa khalayak kepada dunia glamour. MyPAA sebagai contoh, lebih memandang West End dari kumpulan teater yang berada di Hulu Terengganu. Agensi-agensi ini lebih teruja untuk pergi ke peringkat antarabangsa, sedangkan pemantapan teater di peringkat akar umbi – tiada!

Bukanlah saya hendak mengajar Ku Seman atau penggiat teater yang lebih lama bergelumang di pentas lakon – siapalah saya. Tetapi, maaf cakap – saya sebagai peminat teater generasi baharu sangat memerlukan sokongan daripada generasi sebelum. Bukan sahaja penggiat, karyawan, cendekiawan bahkan daripada pihak media.

Ku Seman antara pengkritik yang kian lama bertahan dan amat saya hormati. Naskah baharu perlukan sokongan daripada pengkritik yang berkaliber agar tidak dilabel sebagai ‘teater rambu-ramba oleh entah siapa-siapa dan entah apa-apa’. Persembahan muzikal di Istana Budaya – biarkanlah mereka jika itu kehendak-‘nya’. Kembang-kuncup teater mesti diteruskan – show must go on – walaupun pementasannya cuma di halaman rumah ketua kampung.

Namun dalam pada itu, terdapat juga penggiat teater era 80-an dan 90-an yang masih aktif hingga ke hari ini seperti STEFANI Events, Instant Cafe Theatre dan Five Arts Centre. Lama dan baharu mesti saling bergembelingan demi memantapkan akar umbi budaya masyarakat Malaysia. Bukan saling kondem-mengondem.

Jika Ku Seman bersetuju, saya ternanti-nanti di mana cendekiawan teater yang muda-muda, yang bergelar Sarjana dan Doktor untuk turun ke gelanggang – sekurang-kurangnya mencipta kesefahaman yang bulat antara penggiat dengan kerajaan dan media. Takkan selesa duduk di kerusi pensyarah kut?

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
2 Comments

Leave a Response