Editorial
Now Reading
Penunu Bunsen, Hitler dan Penulis
217 0

Penunu Bunsen, Hitler dan Penulis

by Nazir HarithApril 25, 2017

“Kenapa bukan dipanggil sahaja pembakar Bunsen, dan membiarkan budak-budak sekolah keliru dengan perkataan penunu yang sebelum ini tak pernah mereka gunakan?”

“Sama sahaja kan penggunaannya? Membakar.”

Itulah yang kami debatkan pada petang itu. Adakah perkataan bahasa harus mengikut masyarakat atau hakikat, kemudahan atau ketepatan? Dan penunu Bunsen ini medan pertempuran di mana kami masing-masing mengemukan hujah.

Hari ini kita berdepan dengan satu krisis yang amat mustahak. Dunia ternyata gementar dengan bibit-bibit peperangan besar. Di Timur Tengah api perang masih lagi tidak padam. Pembunuh besar-besaran berlaku tidak jauh daripada Malaysia dan dunia masih lagi senyap.

Di arena politik, pemimpin-pemimpin gila diangkat mengemudi bahtera negara. Tempias ini terasa pada ruang ekonomi dan sosial. Dan media memainkan peranannya mengemudi arena cerita dengan kepentingan masing-masing.

Zaman ini zaman post-truth. Pada ungkapan inilah ternyata banyak masalah kita merahim. Post-truth satu kata zahirnya tiada kejelikan tapi menggambarkan intipati penipuan dan ilusi kebenaran. Bahasa yang sepatutnya mempertajamkan akal ternyata digunakan untuk mengkaburkan pemikiran.

Bahasa adalah suatu organisma hidup. Ianya mampu menyerap apa-apa sahaja kedalam dirinya dan dalam masa yang sama merubah tindak-laku manusia secara tidak sedara. Banyak kajian telah dilakukan memperkaitkan bahasa dengan pemikiran (yang akhirnya terzahir dengan tindakan). Dalam filem Arrival, kita dapat lihat intipati ini yang cuba dibawa.

Dalam satu esei oleh George Steiner dalam “Language and Silence”, dia mengatakan bahawa Nazi menemui sesuatu dalam bahasa German, suara yang ia boleh gunakan untuk kekejaman yang dilakukan. Setiap kekejaman yang dilakukan di bawah pemerintahan Hitler tidak dilakukan dalam senyap tapi dimarakan bersama dengan segala perkataan untuk menjustifikasikan tindakan. Di ceritakan dalam setiap siksaan kem tahanan punya rekod terperinci yang ditulis tanpa ada perasaan mahu menyembunyikan tindakan. Setiap momen dirakam secara terperinci dengan perkataan.

Sullivan, William Holmes; 'Julius Caesar', Act III, Scene 2, Marc Antony's Oration; Royal Shakespeare Company Collection; http://www.artuk.org/artworks/julius-caesar-act-iii-scene-2-marc-antonys-oration-54989

Julius Caesar’, Act III, Scene 2, Marc Antony’s Oration – William Holmes Sullivan

Lihat sahaja di surat khabar tempatan bagaimana bahasa digunakan untuk menggambarkan kepentingan surat khabar masing-masing yang ternyata sarat dengan agenda. Dan lebih malang lagi kita sebagai pembaca terbuai dengan kata-kata ini. Fundemantalis agama sendiri menggunakan bahasa untuk mengabsahkan tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

Bila mana ini semua berlaku, makna kata-kata akan lambat laun mengambil makna yang keji dan jelik dalam pengalaman manusia.

“No poetry after Auschwitz” kata Adorno. Pun begitu untuk diam dalam lembah kata-kata nista jelik dan hollow bukan pilihan. Di sini pentingnya penulis dalam mengambalikan makna sebenar kata.

Lambakan buku-buku yang menggunakan bahasa dengan semberono ternyata mengesankan kita sebagai pembaca. Perubahan-perubahan makna yang terputus daripada makna sebenar, pengunaan kata-kata kosong, metefora nazak, semangat zaman yang celaru, pengenalan perkataan asing yang tidak cocok dalam luluh nadi bahasa mengaburi minda kita dan ternyata mengelirukan. Bukanlah hendak dihadkan potensi perkataan atau bahasa itu untuk berkembang tapi ia harus disuntik dengan kebenaran dan pencitraan telus semangat manusia. Bila bahasa ini mati; bukan dalam erti kata percakapan tapi roh bahasa kebenaran, ia akan berpaling pada kejelikan, penipuan dan kekeliruan.

Situasi ternyata mendesak. Buat penulis permainannya dengan kata-kata bukan lagi permainan untuk keseronokan yang bebas risiko. Di hujung rantainya, akan ada akibat yang akhirnya akan mengesankan kembali bahasa yang akan digunakan sama ada oleh dia sendiri atau oleh penulis akan datang tapi kali ini mungkin bersamanya mengalir darah merah.

About The Author
Profile photo of Nazir Harith
Nazir Harith

Leave a Response