Other
Now Reading
Pendekatan Seni Partisipatif Di Dalam Seni Kontemporari
674 0

Pendekatan Seni Partisipatif Di Dalam Seni Kontemporari

by Anak DagangApril 22, 2015

*Tulisan ini dihasilkan sebagai reviu kepada buku “Art-Led Participative Processes – Dialogue & Subjectivity within Performance in the Everyday” oleh seniman dan aktivis En. Jay Koh

Seni moden dan hubung kaitannya dengan konteks negara kita seperti biasa pasti akan menimbulkan beberapa persoalan yang tidak akan berhenti. Apakah fungsi seni sebenarnya? Adakah ianya hanya bersandarkan sesuatu yang indah-indah belaka melalui pengamatan deria semata-mata? Atau adakah ianya merupakan suatu tatacara yang dinamik, mampu berubah mengikut keperluan dan kebolehan para pencipta yang berada di zaman pascamoden? Adakah estetika yang telah beratus tahun diperdebatkan itu mampu dicabar semula dan proses untuk merungkaikan semula definisi itu mampu memberi nafas baru bagi seni itu sendiri?

Bagi penulis pendekatan seni itu sendiri, secara realitinya – jikalau ingin diikutkan definisi konvensional telah lama menemui jalan yang buntu. Seni secara menyeluruh tidak lagi mampu mempengaruhi kerangka pemikiran individu (walaupun isu ini masih boleh dibincangkan – misalnya tingkat pemahaman seseorang mengikut pengalamannya dalam menanggapi karya seni).

Individu yang menjalani kehidupan yang biasa, yang terasing daripada elit ataupun budayawan tidak langsung memikirkan lagi tentang kepentingan seni di dalam kehidupan mereka, mungkin juga keadaan ini disebabkan realiti objektif yang dibentuk oleh setiap individu itu tidak lagi memasukkan nilai ataupun kepentingan seni di dalam kerangka pemikiran mereka. Ada yang merasakan bahawa keistimewaan untuk menghargai sesuatu karya itu adalah suatu jenis kemewahan yang tidak langsung dapat dikecapi oleh golongan yang terlalu sibuk untuk mencari sumber kehidupan mereka. Maka definisi seni itu terjerumus ke dalam ruang definisi yang benar-benar cetek dan tidak lagi memainkan peranan yang besar untuk mendorong setiap individu menjadi subjek yang aktif untuk mengubah hidup mereka sendiri.

Oleh itu wacana mengenai seni kontemporari dan debat mengenai pilihan pendekatan yang mampu mempengaruhi dan mengubah naratif masyarakat secara radikal mulai diperdebatkan dan menjadi rancak di seluruh dunia. Definisi keindahan ataupun estetik mulai digugah dan disuntik agar ianya benar-benar mampu mengubah sesuatu secara konkrit. Lebih-lebih lagi di zaman pascamoden dimana ilmu itu tidak lagi bertakuk di satu landasan yang sama, kesemuanya bertingkah dan bersilang diantara satu sama lain untuk melihat sesuatu masalah secara holistik dan tidak lagi terasing sesama sendiri.

Dan dikala inilah munculnya praktis seni yang dinamakan ALPP (Art-Led Participative Processes), sebuah konsep yang dirumuskan oleh Jay Koh, pengamal seni yang menetap di Jerman melalui bukunya yang bertajuk “Art-Led Participative Process – Dialogues & Subjectivity within Performance in the Everyday”. Ianya merupakan teori praktis yang lebih mengutamakan penglibatan orang ramai dan tidak hanya berteraskan pengkarya sebagai pembimbing utama.

Teori yang diperjelaskan oleh beliau dapat dilihat sebagai suatu percubaan bagi beliau sendiri sebagai penggiat seni untuk menulis pendekatan seni kontemporari daripada sudut pandang yang berlainan dan semestinya berbeza daripada konsep estetik yang biasa.

Biasa disini bermaksud pendekatan seni yang tidak melibatkan para audien, dimana suatu garisan jelas dibina dan fenomena menghargai seni itu berteraskan proses pengamatan satu hala, dimana para audien hanya selaku penerima nilai keindahan yang telah diusahakan oleh pencipta karya seni. Proses interaktif satu hala ini adalah seperti mana yang kita semua tahu, adalah suatu pendekatan dimana lukisan ataupun instalasi yang diletakkan di dalam galeri yang mampu menentukan keadaan ataupun kondisi fizikal karya dan berjaya mengongkong kreativiti para audien.

Berbeza dengan konsep praktis seni yang berlandaskan tanggapan daripada pemandangan audien, karya yang berteraskan penglibatan orang ramai ini mengutamakan empat faktor iaitu dialog, penyertaan, pembentukan kesubjektifan, dan persembahan harian manusia. Sekali lagi, matlamat yang diutamakan melalui praktis ini tidak lagi tertumpu kepada karya seni visual sebagai produk, tetapi sebaliknya perubahan naratif individu terhadap realiti yang dibentuk oleh keluarga, masyarakat, negara, tempat tinggalnya, agama dan juga sejarah kehidupannya sendiri. Matlamat yang ingin dikecapi dibimbing melalui pelbagai jenis aktiviti yang berteraskan seni sebagai sarana utama. Dipengaruhi oleh pendekatan etika Mikhail Bakhtin, Jay Koh memberi ruang yang secukupnya kepada individu yang terlibat dengan sentiasa menegaskan otonomi mereka untuk membuat keputusan secara mandiri.

Maka ruang wacana seni kontemporari dirancakkan lagi dengan teori lanjutan mengenai seni yang berlandaskan proses serta sama. Proses serta sama ini sekali lagi diberikan nafas yang baru dan secara jelas diterangkan mengenai batas ataupun kesilapan mengenai definisi serta sama di dalam konteks seni partisipatif. Wacana yang terhasil sebelum ini, meletakkan peranan audien di dalam ruang peserta yang pasif tanpa memikirkan cara untuk mengenal pasti dan mengatasi kompleksiti identiti setiap peserta.

Barangkali pendekatan seperti ini sukar benar untuk diterima oleh orang ramai, kerana produk yang dihasilkan beralih tumpuannya kepada sesuatu yang lebih abstrak, lebih ideal dan tidak dapat diukur melalui nilai pasaran. Ianya lebih kepada penghasilan jangka lama, suatu idea yang berterusan tanpa kehadiran pengkarya – oleh itu ianya adalah sesuatu yang masih belum dapat diterima oleh kebanyakkan orang. Seperti apa yang dinyatakan oleh Grant Kester melalui tulisannya sebagai pengenalan buku ini, “Untuk mengikuti Koh bersama analisis mengenai projek-projeknya memerlukan proses rungkaian semula konsep estetik yang mengenal pasti kebenaran melalui imej dan simbol. Lebih elok lagi, kita harus meluaskan pemahaman kita mengenai estetik agar ianya mencakupi maksud aslinya, iaitu pengalaman berteraskan deria yang membentuk kerangka pemikiran melalui tubuh fizikal kita.”  

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response