Film & TV
Now Reading
Pemaparan Elemen Moraliti & Spiritual Dalam Filem ‘Pendekar Bujang Lapok’
1952 0

Pemaparan Elemen Moraliti & Spiritual Dalam Filem ‘Pendekar Bujang Lapok’

by The Daily SeniJune 2, 2014

Oleh Hassan Abd Muthalib

Karya seni yang mantap akan sentiasa diperkatakan serta menjadi rujukan. Karya sebegini tergolong dalam senarai karya-karya klasik di mana subjek, tema dan isu semasa akan menjadi relevan pada setiap zaman. Beberapa karya filem Tan Sri Dr. P. Ramlee juga tergolong ke dalam kategori ini. Di dalam konteks sinema Malaysia, P. Ramlee adalah seorang karyawan yang unik. Dia melihat filem sebagai satu medium seni yang amat berkesan untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada bangsa dan agama. P. Ramlee membuat pelbagai kritikan, sindiran dan teguran yang berkaitan dengan aspek moral dan spiritual yang dibuat dengan gaya dan cara yang lembut dan amat tersirat yang sesuai dengan tuntutan agama dan budaya bangsanya. Dari sudut naratif dan narration, karya-karya P. Ramlee bersandarkan ilmu firasat, ia itu, penggunaan tanda, petanda, kiasan dan metafora untuk menyampaikan cerita dan tujuannya. Ilmu firasat mempunyai beberapa persamaan dengan film design, ia itu, gaya penyusunan, organisasi dan penstrukturan yang digunakan di dalam penulisan serta perancangan visual sesebuah filem.

Artikel ini meneliti babak-babak tertentu di dalam filem Pendekar Bujang Lapok arahan P. Ramlee, bagi melihat bagaimana beliau menggunakan ilmu firasat untuk menyampaikan saranan dan kiasan secara halus kepada orang Melayu yang berhadapan dengan pelbagai cabaran di zaman moden. P. Ramlee mengajak audiensnya agar tidak melupakan peradaban dan akhlak murni yang terdapat di dalam budaya Melayu dan warisan walaupun sudah maju dari segi material. Segala-galanya disampaikan dengan pendekatan hiburan, namun diisi dengan mutiara ilmu berkaitan dengan aspek moral dan spiritual yang ditaburkan di sana dan di sini untuk dikutip oleh mereka yang jauhari. P. Ramlee sudah lebih awal lagi membawa kesedaran serta mengajak kepada transformasi dalam gaya penceritaan  Karyawan dan sarjana filem akan kagum dengan kebolehan luar biasa dan kebijaksanaan P. Ramlee yang mampu menyampaikan maksud melalui penguasaan ilmu yang terdapat dalam bidang film design yang membuatkan karya-karyanya diminati sehingga ke hari ini.

PENGENALAN

Tujuan sebuah karya seni adalah untuk menyampaikan informasi dan menghiburkan khalayak. Kemudian, bila direnungi, akan terlihat bahawa ianya juga memperkatakan tentang keadaan di sesuatu negara dari aspek sosial, moral dan politik. Kesemuanya ini pula perlu disampaikan dengan menampakkan gaya hidup dan norma yang terdapat di dalam budaya sesuatu bangsa pada sesuatu masa. Penglibat seni persembahan tradisional Melayu yang terdiri daripada penglipur lara, tok selampit, dalang wayang kulit dan pemain makyong telah berperanan sebagai penghibur dan guru dari zaman ke zaman. Di tangan pengkarya-pengkarya yang sejati, sebuah karya seni akan berfungsi menyampaikan ketiga-tiga perkara yang tersebut di atas. Golongan yang melakukan semua ini adalah sebahagian dari mereka yang menyeru kepada kebaikan. Inilah yang patut ada pada orang-orang Muslim yang sudah diiktiraf sebagai khalifah di bumi Allah.

Pada tahun 1940-an dan 1950-an, orang-orang Melayu di Singapura sudah berpindah penglibatan mereka dalam seni hiburan seperti bangsawan dan melangkah masuk ke bidang filem. Seni persembahan tradisional seperti wayang kulit, makyong dan bangsawan mula kehilangan penonton and kemudian lenyap sama sekali apabila medium filem menjadi popular – dan seterusnya dengan kemunculan televisyen pada tahun 1960-an. Namun begitu, kaedah persembahan yang tersirat di dalam seni persembahan tradisional muncul semula di dalam filem. Dan hanya seorang sahaja dari sebegitu ramai pengarah di era 1950-an sehingga 1970-an yang menjelmakannya di dalam karya filem. Bentuk karyanya juga sesuai dengan tuntutan medium filem itu sendiri yang bergantung kepada film design. Karyawan yang dimaksudkan ialah Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee, seorang penglipur lara di zaman moden. P. Ramlee, sehingga ke hari ini, tidak mempunyai saingan walaupun terdapat begitu ramai yang berpendidikan formal dalam bidang filem.

P. Ramlee adalah seorang ahli fikir yang melihat kelemahan dan kemunduran yang terdapat pada bangsanya. Namun, beliau melihat dirinya juga sebagai manusia biasa yang mempunyai kelemahan, maka beliau tidak mahu menegur, mengajar atau pun mendidik secara terang-terangan. Dengan kata lain, beliau menggunakan gaya persembahan lakonan, kata bual dan visual bersahaja yang penuh dengan makna dengan menggunakan seni estetika Melayu. Zakaria Ali dalam bukunya Seni dan Seniman: Esei-Esei Seni Halus (1989), menggariskan beberapa prinsip yang merujuk kepada estetika Melayu. Di antaranya ialah seni Melayu itu halus, berguna, berlambang dan bermakna. Halus merujuk kepada cara pengolahan cerita, pemakaian bahasa dan cara pemaparan idea atau peristiwa. Berguna merujuk kepada nilai-nilai yang boleh dijadikan teladan. Lambang menentukan penyatuan di antara isi dengan bentuk. Bermakna merujuk kepada setiap satu digunakan secara bermanfaat. Prinsip-prinsip ini dapat dilihat dalam naratif dan narration (teknik)Pendekar Bujang Lapok (1959) sekiranya diteliti dan ditafsir dengan menggunakan prinsip-prinsip di dalam ilmu firasat atau pun film design.

Maniyamin Ibrahim dalam bukunya Konteks Sastera & Budaya Melayu (2009), mengatakan bahawa berestetika (estetik + etika) bermakna, nilai-nilai dalam karya seni yang dapat memberi kebaikan kepada manusia… [E]stetik merujuk rasa penghargaan terhadap keindahan, manakala etika pula berkenaan dengan (1) prinsip-prinsip akhlak atau moral; (2) nilai akhlak yang menjadi pegangan individu atau kumpulan atau masyarakat atau etnik. Disebabkan P. Ramlee tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang filem, maka ia bersandar kepada ilmu yang sedia wujud di dalam budaya sendiri dan kefahamannya sendiri dalam ilmu firsat. Ilmu ini sememangnya mempunyai bamyak persamaan dengan prinsip-prinsip yang berada di dalam bidang film design.

Film Design

Pada dasarnya, filem terbahagi kepada dua, ia itu, naratif dan narration. Naratif merangkumi idea, premis, tema, cerita, profail watak, treatment, penulisan kata bual dan skrip (atau lakonlayar).Narration pula terdiri daripada teknik-teknik yang digunakan untuk menyampaikan naratif sepertimise-en-scene (susunatur segala elemen di dalam frem), lakonan, senireka produksi, sinematografi, suntingan, musik dan kesan bunyi. Film design bermaksud bagaimana pelbagai elemen yang terdapat di dalam filem disusunatur dan distrukturkan agar dapat menyampaikan cerita dengan mudah dan berkesan serta bermakna bagi audiens. Segala-galanya bermula di peringkat merangka cerita yang kemudian distrukturkan menjadi babak-babak bersama detik-detik plot dan elemen-elemen dramatik. Visual dirangka berdasarkan cabang-cabang di dalam empat bidang seperti arketaip, binary opposition, semiotik dan beberapa prinsip persepsi dalam psikologi gestalt. Kempat-empat teori ini dipergunakan oleh pembikin filem di seluruh dunia dalam setiap karya seni yang berbentuk visual dan audio.

Arketaip

Watak-watak direka mengikut fungsi mereka di dalam sesuatu cerita. Apabila pengarah filem memilih sesuatu pelakon, rupa pelakon itu harus menepati persepsi audiens terhadap sesuatu watak. Rupa paras adalah tanda yang akan menjadi petanda tentang diri dan kelakuan watak. Inilah perkara asas dalam ilmu firasat. Tanda-tanda yang ada pada seseorang pelakon membolehkan audiens menerima kenyataan bahawa sesuatu watak itu boleh menjadi baik atau pun jahat. Ini menepati teori arketaip dari Carl Jung, seorang ahli psikonalisis, yang mengatakan ianya adalah elemen dalam diri manusia (samada baik atau buruk) yang harus difahami dan perlu didepani agar hidup menjadi lebih harmonis. Watak anti-arketaip pula bertentangan dengan norma manusia biasa tetapi ia tidak semestinya jahat, cuma berlainan di segi rupa dan kelakuan. Kamus Dewan mendefinasikan arketaip sebagai sesuatu yang berbentuk asli. Ini bermakna, arketaip juga berkaitan dengan sesuatu ritual atau peristiwa yang berulang sebagaimana ianya berlaku di zaman dahulu

Binary Opposition

Untuk penyampaian visual yang berkesan, binary opposition, antara lain, memainkan peranan yang penting. Dua watak, kumpulan, warna, ritual atau peristiwa diperbandingkan bagi memperlihatkan perbezaan di antara mereka. Ini berdasarkan teori Ferdinand de Saussure, seorang ahli antropologi, yang melihat penggunaannya dalam kesemua penceritaan tradisional dalam pelbagai budaya di merata dunia. Tanda-tanda pada dua watak, kumpulan, ritual dan peristiwa yang berbeza menjadi petunjuk kepada sesuatu perkara yang ingin disampaikan.

Semiotik

Semiotik adalah bahasa perlambangan yang melihat ikon (tanda), indeksikal (petanda) dan simbol sebagai penyampai maksud atau yang mendatangkan makna dalam sesuatu masyarakat. Ini berdasarkan teori Charles Pierce mengenai ikon, indeksikal dan simbol. Menurutnya, ikon mudah dikenali dan menyerupai apa yang diperkatakan, manakala indeksikal pula menjadi petunjuk tentang sesuatu. Sesuatu yang simbolik bersifat ambiguous dan memerlukan tafsiran ke atasnya kerana ia tidak menyerupai apa yang diperkatakan.

Prinsip-prinsip Persepsi dalam Psikologi Gestalt

Prinsip-prinsip persepsi dalam psikologi gestalt adalah penemuan berdasarkan kajian oleh beberapa ahli psikologi dan pelukis di negara Jerman sekitar tahun 1912. Mereka ini mendapati bahawa apabila audiens berhadapan dengan sesuatu karya seni, yang mula akan dirasai adalah gestalt atau bentuk keseluruhannya. Kemudian barulah audiens akan meneliti elemen-elemen pada karya seni itu yang memberikan bentuk kepadanya, Antara prinsip yang akan diperkatakan di dalam kertas kerja ini ialah kedekatan (proximity), persamaan (similarity) dan perhubungan di antara subjek dan latar (figure and ground relationships).

Ilmu Firasat

Salah satu aspek psikologi orang Melayu yang belum diberi perhatian yang serius ialah ilmu firasat. Ilmu firasat sudah lama wujud di dalam budaya Melayu yang berkaitan dengan kebolehan membaca tanda-tanda tertentu yang ada pada jasad manusia. Kamus Bahasa Melayu menyebutnya sebagai bidang ilmu pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka dan bahagian badan yang lainnya untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang . Ia juga dikaitkan dengan perasaan hati tentang apa yang bakal berlaku pada seseorang. Melalui artikel Ilmu Firasat dalam Penghayatan Sastera dalam buku Naratif Baru Sastera Melayu Tradisional (Dewan Bahasa & Pustaka, 2010), Jelani Harun mengatakan bahawa ilmu firasat disebut di dalam beberapa karya sastera tradisional seperti Hikayat Hang Tuah, Taj al-Salatin dan Bustan al-Salatin, dan kitab-kitab sepertiTajul Muluk dan Syair Firasat Perempuan. Di zaman moden, beberapa penulis turut memperkatakannya dalam penulisan mereka. Jelani Harun menamakan: (1) Halim Othman dalamPsikologi Melayu (1993); (2) Syed Hussein al-Attas dalam Rahsia Mengenal Diri (1969); (3) Mohd. Affandi Hassan dalam Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu (1994), dan (4) Hashim Awang dengan artikel-artikelnya, Kaedah Kritikan Firasat dalam majalah Dewan Sastera (Disember 1989 dan Februari 1992).

Hashim Awang melihat firasat sebagai kaedah memahami dan menafsir sifat-sifat zahir dan batin, yang berunsur tersurat dan tersirat atau pun satu sistem tanda dan lambang bagi menemukan makna dalam masyarakat Melayu. Jelani Harun meringkaskan ilmu firasat kepada dua, ia itu, (1) ilmu tentang manusia dan (2) ilmu tentang alam. Ini mempunyai persamaan dengan dua perkara utama yang terdapat dalam filem, ia itu, (1) watak dan perwatakan (merujuk kepada manusia),dan (2) latar fisikal (merujuk kepada alam, termasuk latar zaman). Jika dikaitkan dengan tanda-tanda yang boleh dibaca, ianya berkaitan pula dengan film design melalui susunan segala sesuatu di dalam frem (mise-en-scene). yang membolehkan audiens mentafsir maknanya Kaedah inilah yang digunakan oleh P. Ramlee di dalam beberapa filemnya, terutama di dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Dalam senarai karya filem-filem P. Ramlee, Pendekar Bujang Lapok merupakan karya yang sangat unik kerana naratifnya tidak langsung menyampaikan sesuatu yang bersifat filosofik atau pun bermesej. Sebaliknya, kiasan dan saranan dari P. Ramlee disampaikan melalui tanda-tanda (yang menjadi petunjuk) yang diperlihatkan di sana sini melalui firasat (yang merangkumi bidang-bidang seperti arketaip, binary opposition, semiotik dan prinsip-prinsip persepsi dalam psikologigestalt).

 

FILM DESIGN DALAM PENDEKAR BUJANG LAPOK

Pendekar Bujang Lapok (PBL) boleh dianggap sebagai sebuah karya sastera-filem yang besandarkan konvensi-konvensi seperti yang terdapat di dalam hikayat, syair dan pantun. Pendekatan yang diambil oleh P. Ramlee untuk memberi kiasan dan saranan begitu indah, lembut dan sederhana dan sama seperti yang terdapat di dalam sastera tradisional yang direka oleh pengarang-pengarang Melayu di zaman dahulu. Ini dapat dilihat pada penggunaan tanda, petanda dan simbol di dalam PBL melalui kata bual, kostum dan perilaku watak-watak protagonis, susunan imejan di dalam frem (mise-en-scene), musik dan lagu, serta penstrukturan dan perjalanan cerita.

 

Sinopsis PBL

Tema utama filem PBL ialah yang berkaitan dengan pendidikan: hanya pendidikan yang dapat mengangkat martabat bangsa tetapi nilai-nilai dan peradaban bangsa dan agama tidak sepatutnya diketepikan.  Tiga pemuda bujang, Ramli (P. Ramlee), Ajis (Aziz Sattar) dan Sudin (S. Shamsuddin) tiba di jeti di  sebuah sungai untuk ke seberang dalam usaha mencari seorang guru yang boleh mengajar mereka ilmu persilatan. Mereka bertiga berhadapan dengan sekumpulan pekerja feri yang bersifat kasar dan berperangai buruk. Wak Mustar (Mustarjo), seorang guru silat, juga dimaki hamun mereka. Kemunculan taukeh feri (Ahmad Nesfu) mengeruhkan keadaan lagi kerana dia juga bersifat angkuh. Wak Mustar berjaya mengalahkan pekerja-pekerja feri yang diarah untuk memukulnya. Tiga pemuda tadi kagum dan bersemangat untuk menjadi murid-muridnya. Berlaku kekecohan di jeti sehingga pekerja-pekerja feri dipukul dan taukeh feri dibuang ke dalam sungai. Wak Mustar menerima tiga pemuda itu sebagai murid-murid, namun apabila menyedari mereka tidak tahu membaca dan menulis, dipaksa mereka ke sekolah dewasa di mana anaknya Ros (Roseyatimah) menjadi salah seorang guru. Taukeh feri tiba dan meminta wang pampasan kerana kerosakan yang berlaku di jeti akibat kekecohan. Apabila permintaannya ditolak, taukeh feri menyuruh pekerja-pekerjanya menculik Ros. Tiga pemuda itu menyerang rumah taukeh feri dan berjaya membebaskan Ros.

 

Ilmu Firasat dalam Penyampaian Elemen Moral dan Spiritual

Watak dan perwatakan serta beberapa peristiwa dalam hampir kesemua filem P. Ramlee terdiri daripada arketaip, ia itu, yang memainkan peranan tertentu agar cerita mudah difahami. Sebagai contoh, rupa dan kostum protagonis dan antagonis dalam PBL jelas menggambarkan perwatakan serta perbezaan di antara mereka. Wak Mustar dan tiga pemuda memakai baju yang menjadi petanda bahawa mereka adalah dari kaum Melayu dan juga mereka terdiri dari kelas pekerja. Pemilik feri memakai baju dan topi putih serta memegang tongkat yang menunjukkan statusnya sebagai orang kaya dan ada kedudukan. Ia juga menampakkan sifat kapitalis dan keBaratannya (yang merujuk kepada penjajah British di Singapura semasa itu). Pekerja-pekerjanya mengenakan pakaian seragam yang tidak menampakkan ciri-ciri keMelayuan. Dua watak utama wanita dalam PBL adalah arketaip ibu dan anak yang dilihat bertindak sebagai wanita-wanita dalam masyarakat tradisional. Ini dilihat melalui babak-babak berlainan di mana ibu dan anak (Ros) dilihat sedang menjahit. Ternyata ibu sudah mengajar anaknya ilmu rumahtangga kerana dia akan menjadi seorang isteri dan kemudian ibu. Itulah takdir baginya walaupun berkerja menjadi seorang guru.

Wak Mustar adalah arketaip seorang guru. Dalam masyarakat tradisional, guru dipandang tinggi kerana dianggap berilmu, mempunyai kesabaran dan tentunya mendapat hidayat daripada Tuhan. Kerana mempunyai sifat-sifat ini, Wak Mustar tidak membelasah pekerja-pekerja feri semasa ia ditolak dan diherdik di jeti. Kemudian, walaupun dia tidak mengenali tiga pemuda yang datang ke rumahnya, diterima mereka dengan hati terbuka. Sikap dan kelakuannya amat berbeza dengan taukeh feri dan pekerja-pekerjanya. Taukeh feri sebagai pemilik feri seharusnya bersopan dan syukur di atas kekayaan yang diberikan Tuhan. Sebaliknya dia angkuh dan menunjukkan sifat buruknya dengan menyuruh pekerja-pekerja membelasah Wak Mustar, dan kemudian menculik Ros untuk dijadikan mangsa nafsunya. Sifat buruk taukehh feri tercermin pada perangai pekerja-pekerjanya. Jelas taukeh feri adalah guru bagi mereka itu. Sebagai mengukuh sifat buruknya, P. Ramlee menampakkan watak Ramli memegang jam taukeh dan bertanya apakah itu emas. Menurut hukum agama, lelaki dilarang memakai emas dan jelah, taukeh feri sudah melanggar hukum syarak.

Seperti yang disebut oleh Zakaria Ali, bahawa seni seharusnya berlambang dan bermakna, ini jelas dapat dilihat pada sekuen pengenalan filem yang berdurasi 16 minit (yang merupakan sesuatu yang luar biasa dalam produksi filem). Sekuen ini memberikan latarbelakang kepada subjek, isu dan konflik dalam PBL. Sekuen bermula dengan beberapa orang yang menaikki sampan yang dipandu seorang pekerja feri yang datang dari kiri (Malaya) dan menuju ke jeti di sebelah kanan (Singapura). Tujuan mereka ialah untuk mencari nafkah (di Singapura) yang jauh lebih maju dari Malaya. Di jeti pula, ramai yang menunggu untuk pulang semula (ke Malaya). Walaupun mereka sudah lama menunggu, pekerja-pekerja feri tidak menghiraukan rungutan mereka dan mendahulukan gadis-gadis cantik yang baru saja tiba. Kelakuan dan perangai buruk pekerja-pekerja feri diperlihatkan lagi melalui babak mereka mencuri pisang yang dipegang seorang wanita, cubaan mencuri buah epal, mencuri duit majikan sendiri dan menolak dan memaki hamun mereka yang sedang beratur menunggu feri.

Dalam ilmu film design, penggunaan ruang di sebelah kanan dan kiri mempunyai makna tertentu. Ruang kiri adalah dominan atau kuat dan yang di sebelah kanan itu lemah atau kurang sempurna. Meletakkan kampung di sebelah kiri menjadikannya lambang tentang kelebihan di Malaya (yang merujuk kepada peradaban dan kemanusiaan), dan jeti di sebelah kanan melambangkan orang-orang Melayu di Singapura yang sudah hilang kesopanan dan kemanusiaan. Binary opposition menampakkan kelakuan Wak Mustar yang sabar dibanding dengan pekerja-pekerja feri. Ia menampakkan ketinggian moral dan spiritualnya sebagai seorang guru silat dan seorang yang lebih tua.

Aspek spiritual dilihat lagi melalui semiotik semasa Ajis mencuri duit di mana awan begitu dominan di belakangnya. Dalam ilmu semiotik, awan adalah lambang tentang ketuhanan. Adegan ini membawa maksud bahawa Tuhan melihat dan tidak menyukai perbuatan Ajis yang mempunyai persamaan (similarity) dengan kelakuan pekerja-pekerja feri yang juga mencuri duit. Mise-en-sceneadegan ini dikaitkan dengan adegan tiga pemuda bila tiba di tanah seberang. Mereka dapati poket Ajis berlubang dan duit yang dicuri keciciran. Ini bermaksud bahawa mereka tidak sepatutnya membawa sesuatu yang haram jika mahu menuntut ilmu yang boleh membawa mereka ke jalan yang benar. Menyeberangi sungai pula menjadi metafora tentang penghijrahan dari satu milieu yang buruk kepada sesuatu yang lebih baik.

Binary opposition dilihat sekali lagi dengan suasana kampung yang dipenuhi pokok dibanding dengan suasana jeti yang digambarkan begitu buruk melalui rekaan set dan kelakuan manusia-manusia yang menggunakanya (perhubungan subjek dan latar). Jelas diperlihatkan bahawa suasana sekeliling (ia itu, kampung yang aman dan kelihatan subur) banyak memberi pengaruh ke atas psikologi manusia. Di sini, di peringkat awal lagi dalam PBL, sifat dan perangai manusia (di Malaya) diperlihatkan penuh dengan peradaban dan bersifat spiritual. Tiga pemuda memandang Ros yang kembali ke rumah selepas mengajar di sekolah dewasa. Semasa Ros berjalan pulang dan melalui mereka, dia tidak sesekali memandang kepada mereka. Gayanya adalah sesuai dengan tuntutan budaya Melayu dan ajaran agama. Ini menjadi petanda yang ibu bapa sudah memainkan peranan yang sepatutnya dalam proses membesarkan anak.

Melalui persamaan (similarity) dan binary opposition, diperlihatkan babak di mana tiga pemuda (1) cuba membaca papan tanda yang menunjuk arah ke Kampung Pinang Sebatang, (2) tiga pekerja feri membaca papan tanda yang sama, dan (3) taukeh feri membaca senarai tuntutan ganti rugi di hadapan Wak Mustar (akibat kekecohan di jeti). Tiga pemuda adalah buta huruf tetapi berperangai sopan dan beradab. Sebaliknya, lawan mereka yang tahu membaca dan menulis tetapi tidak berkelakuan seperti orang-orang yang mempunyai pendidikan. Sifat buruk mereka diperlihatkan lagi dalam babak seorang pekerja feri melarikan Ros. Aksinya tidak ubah seperti lanun-lanun di zaman silam yang memasuki kampung untuk mencari perempuan. Bila taukeh feri menghampiri Ros di rumahnya, ia seakan seekor binatang buas yang mahu menelan mangsanya. Adegan-adegan ini begitu berbeza dengan babak Ramli berdua-duaan dengan Ros dalam bilik di rumahnya. Kata bual menampakkan bagaimana Ros suka pada Ramli tetapi ia menjaga peradaban dan bermula dengan kata-kata pujian: Abang Ramli, malam tu Ros dengar suara abang Ramli sedap sekali, tau. Nyanyilah satu lagu, abang Ramli. Kerana nyanyian itu juga datang dari rakan-rakannya, Ramli merendahkan diri dan mengatakan secara bersahaja: Saya tak pandai nyanyilah. Maka Ros menzahirkan minatnya pada Ramli dengan kata-kata kias: Ala, ada orang nak beli, tak nak jual. Mereka kemudian berduet, bernyanyi dengan kata-kata yang penuh dengan kiasan yang menggunakan elemen-elemen yang terdapat pada alam (bulan dan bintang).

Melalui PBL, P. Ramlee menyatakan bahawa orang tua wajar dihormati tetapi orang tua yang biadab wajar ditegur. Tiga pemuda begitu bersopan santun di hadapan Wak Mustar. Mereka juga tidak biadab bila berhadapan dengan taukeh feri. Namun Ros memarahi taukeh feri dengan kata-kata: Tua tak sedar diri dan kemudian di rumah taukeh feri yang sudah pengsan, dia mengetuk kepalanya dengan tongkat. Melalui film design, kita diyakinkan bahawa seorang perempuan muda boleh berbuat demikian kepada seorang tua. Apabila Ros memarahi taukeh feri, Wak Mustar berdiri di sebelahnya (proximity), yang secara visual, menyatakan sokongannya. Selepas Ramli sudah mengalahkan lawannya, Sharif, dan menyelamatkan Ros di rumah taukeh feri, Ramli mengetuk kepala Sharif dengan tongkat seperti dibuat Ros sebelum itu pada taukeh feri. Persamaan ini (similarity) membuatkan audiens merestui tindakan Ros tadi.

 

KESIMPULAN

Satu perkara unik di dalam filem Pendekar Bujang Lapok ialah, tidak ada adegan bersolat atau pun ucapan salam atau pun bertahmid. Juga tidak ada kata bual berbentuk filosofik atau pun yang boleh menjadi petunjuk tentang tema filem. Segala-galanya dibuat dengan bersahaja seakan apa yang mahu disampaikan hanyalah sebuah cerita dan tidak lebih dari itu. Dalam hal ini, penguasaan ilmu firasat atau pun film design oleh P. Ramlee adalah secara total. Kerana itu, filem-filemnya dapat bertahan sehingga ke hari ini dan mampu dikaji oleh para sarjana. Di samping itu, P. Ramlee tidak memburuk-burukan bangsa atau agamanya di dalam cerita filem seperti yang dilakukan oleh beberapa penerbit dan pengarah filem tempatan sekarang. Hampir kesemua mereka ini juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyampaikan naratif dan narration seperti yang dibuat oleh P. Ramlee. Apa yang lebih digemari sekarang adalah watak-watak dan cerita fantasi yang disampaikan melalui elemen-elemen sensasi. Semua ini pula disampaikan dengan adegan-adegan lawan, stunt dan kesan khas yang melibatkan aksi watak-watak samseng, mat rempit atau hantu. Hasil kerja-kerja mereka jelas tidak bertujuan untuk meningkatkan penghayatan atau pun ilmu ummah sedikit demi sedikit agar dapat dilahirkan audiens yang film literate.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ayat-ayat Quran dan laungan takbir digunakan dalam filem melalui penampilan bomoh dan ustaz yang menghalau hantu atau pontianak. Apa yang berlaku sekarang ialah reality flashback pada zaman kepercayaan benda-benda tahyol satu masa dahulu. Dan kini muncul pula satu genre baru yang pelik, ia itu, Filem Romantik Islamik. Agama terus digunakan untuk mengaut keuntungan tanpa menyampaikan sesuatu yang benar-benar manfaat kepada bangsa dan ummah. Malangnya, ada di antara filem-filem sebegini yang diterbitkan oleh produser bukan Islam yang menggunakan khidmat orang-orang Melayu Islam sepenuhnya! Lebih malang lagi, pembikin-pembikin filem ini tidak mengenali ilmu firasat (atau film design) yang ada dalam budaya sendiri walaupun ada di antara mereka berpendidikan tinggi dan menjadi pensyarah perfileman. Negara-negara seperti Indonesia dan Iran yang menghasilkan beberapa filem hebat berunsur agama tidak pernah menggelarkan filem mereka sebagai Islamik. Namun, filem-filem mereka ini mampu memikat hati penonton di seluruh dunia. Mereka ini bijak menggunakan film design, sesuatu yang bersifat sejagat. Gaya P. Ramlee dan karyawan filem dari Iran dan Indonesia seharusnya menjadi teladan untuk para pembikin filem Melayu agar membawa naratif dan gaya penceritaan yang mencerminkan diri mereka sebagai bangsa yang mempunyai warisan dan peradaban sesuai dengan kehendak agama.

Dunia hari ini penuh dengan pelbagai kepincangan dan pergolakan di mana manusia begitu materialistik dan menyanjungi kapitalisme. Dalam mengejar kekayaan, pangkat dan kuasa, mereka semakin jauh dari ajaran-ajaran yang boleh menjadikan manusia lebih bermoral dan spiritual. P. Ramlee sudah menunjukkan jalan melalui filem-filemnya. Karya-karya beliau sudah mempunyai pengisian yang begitu mantap serta memberi petunjuk tentang gaya penceritaan yang bertamadun. Beliau sudah lebih awal lagi mengajak kepada transformasi naratif dan narration yang begitu berbeza dari apa yang dibawa oleh pengarah-pengarah India dan Filipina dalam era 1950-an.

Mesej di dalam naratif dan narration PBL adalah jelas dan ianya masih relevan sehingga ke hari ini, ia itu, walaupun kita sudah maju secara material tetapi jangan diabaikan warisan moral dan spiritual yang mempunyai akar yang melingkar jauh ke dalam tamadun bangsa dan juga agama. Sebagai khalifah di bumi Allah dan tergolong dalam kumpulan yang mengajak kepada kebaikan, para karyawan Muslim di Malaysia harus memainkan peranan yang sewajarnya. Mampukah mereka melakukan transformasi dalam bercerita dan penceritaan sebagaimana ianya sudah dilakukan oleh P. Ramlee terhadap bangsa dan ummah hampir lima puluh lima tahun dahulu?

 

RUJUKAN

Hamsan Mohamed (2004), Pengarahan & Sinematografi P. Ramlee & Hussein Haniff, Puniversiti Malaya, KL

Harun Jelani (2010),  Ilmu Firasat dalam Penghayatan Sastera dlm. Naratif Baru Sastera Melayu Tradisional, KL, DBP

Jurnal Teorisastera – http://jurnalteori.webs.com/kamusteori.htm diakses pada 18 Okt 2012.

Maniyamin Ibrahim (2009), Konteks Sastera & Budaya Melayu, Shah Alam, Karisma Publications

Mitry, Jean (2000), Cinema & Language dlm. The Aesthetics & Psychology of the Cinema,Bloomington & Indianapolis,  Indiana University Press,

Stam, Robert & Miller, Toby, Eds., (2000), “For a Semio-Pragmatics of Film dlm. Film & Theory An Anthology. Oxford, Blackwell Publishers, Inc.

Zakia, Richard D. (1997), Perception and Imaging, USA, Focal Press.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
Comments

    Leave a Response