Editorial
Now Reading
PASAR KARAT, SASTERAWAN NEGARA DAN KERIS MAS
378 0

PASAR KARAT, SASTERAWAN NEGARA DAN KERIS MAS

by Adnan QiyasMay 30, 2017

Dua minggu lalu aku bersama beberapa rakan karib mengunjungi flea market di Amcorp Mall, Petaling Jaya selepas bersarapan di Raju’s, sebuah restoran daun pisang yang berhampiran. Seperti Raju’s, flea market ini sudah lama bertapak di Petaling Jaya dan merupakan satu tarikan tetap baik untuk mereka yang sudah bermastautin mahupun warga luar.

Flea market di Amcorp Mall ini adalah antara flea market yang paling lama bertahan di Kuala Lumpur. Ia dianjurkan setiap hujung minggu dan hari Ahad adalah hari yang paling sibuk. Aku kira ia sudah bertapak sekurang-kurangnya dua dekad, dan sepanjang hayatnya ia makin rancak berkembang.

Pada awalnya hingga sekitar sedekad lalu, sambutan terhadap flea market ini hanya bertumpu kepada golongan pencari barangan lama dan perabot antik. Tapaknya hanya di aras LG bangunan. Namun sejak dekad kebelakangan ini hampir setiap aras bangunan akan dipenuhi gerai-gerai yang menjual bermacam-macam barangan yang biasanya barangan hobi dan pengumpul.

PASAR KARAT, SASTERAWAN NEGARA DAN KERIS MAS 01

Lazimnya, aku mengunjungi flea market (atau istilah Melayunya pasar karat) ini sekadar mencuci mata namun jiwa sastera dan muzik aku sering saja menangkap buku-buku, alat-alat muzik dan CD-CD lama yang menarik minat aku. Dan dua Ahad lalu aku membawa pulang sebuah buku lama yang menambah kesedaran baru tentang menulis dan penulisan – Koleksi Terpilih Keris Mas, Edisi Khas Sasterawan Negara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.


“Sasterawan Negara yang pertama ini pernah dianggap sebagai penulis cerita pendek terpenting selepas Perang Dunia Kedua selepas A. Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad.”

Itu ayat pertama buku ini, memulakan bab pengenalannya yang bertajuk “Keris Mas: Intelektualisme dan Persepsi Sosialnya”. Memang tabiat aku apabila membaca mana-mana buku, terutama sekali buku ilmiah yang bukan cereka (non-fiction) untuk menghabiskan sebarang prakata, pengenalan ataupun mukhadimmah yang terkandung. Sebagai seorang pembaca, ianya penting untuk menyingkap sedikit latar belakang sesebuah terbitan itu dan juga merangka satu tanggapan, jangkaan ataupun persoalan untuk membantu membentuk pengalaman pembacaan kita.

Dan ayat di atas sedikit menggegar aku.

Sasterawan Negara pertama? Penulis cerita pendek terpenting selepas Perang Dunia Kedua? Aku tersentak seketika.

Aku mengaku yang aku tidak seakrab dengan sasterawan-sasterawan negara dan karya-karya mereka, biarpun aku sepatutnya begitu. Sasterawan-sasterawan negara yang aku baca dan kumpul hanyalah SN Usman Awang, SN A. Samad Said, SN Muhammad Haji Salleh dan SN Nordin Hassan. Aku fikir ini mungkin disebabkan puisi dan teater; mereka-mereka ini lebih dikenali dengan puisi-puisi atau skrip-skirp teater mereka dan aku ketika itu amat aktif bergiat dalam kedua-dua cabang seni itu.

Namun dua-dua perkara itu yang betul-betul menyedarkan; aku langsung tesuntik minat dan semangat untuk meneruskan bacaan.

PASAR KARAT, SASTERAWAN NEGARA DAN KERIS MAS 03

Aku gemar dan sanjung Anugerah Sasterawan Negara. Pada hemat aku sebuah tamadun dan peradaban perlu mengiktiraf dan meraikan perwira-perwiranya, dan anugerah ini mengabadikan wira-wira penulisan kita. Dokumentasi adalah satu perkara yang jarang dihargai masyarakat umum, dan hanya bangsa-bangsa atau budaya-budaya yang matang dan dewasa sahaja menyedari hakikat ini. Kita masih lagi sedikit mentah dan remaja dalam perkara ini dan biarpun sudah ada kesedaran dan usaha untuk merekod sejarah dan pencapaian, sikap kita masih lagi acuh tak acuh.

Namun setelah membaca pengenalan Koleksi Terpilih Keris Mas ini, aku sedar yang aku tidak betul-betul mengenali anugerah Sasterawan Negara ini. Aku tidak memahami asal-usulnya, adabnya dan prosesnya. Apatah lagi Keris Mas.

Aku terasa kesal.

Kerana sebagai seorang warganegara Melaysia, seorang pencinta Bahasa Melayu yang berhemah aku tidak memenuhi tanggungjawab dan peranan aku sebagai seorang yang menjaga martabat diri dan bangsanya.

Jadi aku amat-amat berterima kasih kepada rakan-rakan karibku yang menemaniku pada hari itu, kepada pasar karat Amcorp mall, kepada buku ini. Kerana ia menyedarkan aku akan kekuranganku, akan perkara-perkara yang telah kita lupa dan perkara-perkara yang kita ambil mudah – warisan kita dan wira-wira kita.

Jika tidak kerana buku ini, aku tidak akan (atau mungkin lewat) tahu yang Keris Mas adalah antara ahli asal yang menubuhkan Asas 50, bersama-sama Usman Awang, A. Samad Ismail dan lain-lain guru, wartawan dan penulis; aku tidak akan tahu yang dialah antara suara yang menulis bab pertama dalam dunia penulisan dan kesusasteraan Melayu Malaysia (selepas Pendita Zaba menulis mukhadimmahnya).


Asas 50 masih lagi berdaftar hingga ke hari ini. Motto asalnya “Seni Untuk Masyarakat” yang dipilih ketika penubuhan telah bertukar mengikut peredaran zaman ke “Seni Bina Manusia”.

Sebagai seorang penulis, kita sentiasa mencari. Dan aku dalam kerisauan dan kehilangan aku seringkali mengutarakan soalan “Why do you write?” sebagai peringatan kepada pencarian ini. Keris Mas dalam rencananya “Meneruskan Penerokaan Sastera Nasional: Mencari dan Menemui” (Dewan Sastera, Januari 1976) ada menyebut tentang penyelarasan emosi kebangsaan sebagai satu asas pembinaan bangsa dan kesusasteraan memikul fungsi kegiatan kebudayaan yang terpenting.

Sudah tiba masanya kita mula bertanya kepada diri sendiri mengapa kita berkarya, mengapa kita menulis. Lari dari retorik sastera dan penulisan yang mengagungkan, dan mula menyedari yang seni itu satu anugerah dan bukan satu hadiah – ia punya fungsi dan perlu dikongsi, dan bukan setakat dipuja dan dipuji; untuk siapa kita menulis, dan apa yang cuba kita bina (dengan berkarya).

Jika tidak, sia-sia sahaja penulisan Keris Mas dan penganugerahannya – tersorok dan tertinggal, lapuk dan dilupakan dalam keusangan pasar karat peredaran zaman.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas

Leave a Response