Film & TV
Now Reading
OlaBola – Filem Yang Memikul Tanggungjawab Perpaduan
Ola Bola
273 0

OlaBola – Filem Yang Memikul Tanggungjawab Perpaduan

by The Daily SeniOctober 23, 2015

SUKAN bola sepak adalah sukan yang diraikan oleh semua lapisan masyarakat. Siapa sahaja yang dapat menafikan bahawa sukan itu sendiri merupakan salah satu landasan utama kepada kita semua untuk mengenal apa itu erti kerjasama.

Albert Camus, seorang novelis dan penulis esei yang menulis esei falsafah The Myth Of Sisyphus dan juga The Rebel, sendiri menyatakan bahawa beliau memahami akan citra nilai kemanusiaan melalui sukan bola sepak itu sendiri. Sukan yang mampu menjangkaui batas perbezaan, ianya berjaya mengangkat nilai-nilai universal yang bisa dibicarakan sesama teman-teman sekeliling dan itu adalah suatu aset yang paling berharga sekali.

Mungkin sahaja atas dasar inilah Chiu Keng Guan, yang sebelum ini berjaya mencipta fenomena tersendiri menerusi filem The Journey, sekali lagi dengan hasil kerjasama Astro Shaw mempersembahkan karyanya yang terbaru, OlaBola.

01

Barisan-barisan pelakon dan juga individu-individu yang berbabit. Atas dari kiri: Marianne Tan, Pengarah Chiu Keng Guan, En. Henry Tan selaku Ketua Pegawai Operasi Astro, Najwa Abu Bakar selaku Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Eksekutif Produser OlaBola dan Frankie Lee. Bawah dari kiri: Muhd Luqman Hafidz, JC Chee, Saran Kumar A/L Manokaran, dan Bront Palarae.

Filem fiksyen yang bertemakan bola sepak ini merupakan hasil inspirasi terhadap sejarah sukan bola sepak pada era 1970-an. OlaBola merupakan kisah kejayaan tentang keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit dari kekecewaan dan muncul menjadi wira negara.

Bagi meninggalkan kesan pada hati penonton, Chiu telah memberi sentuhan ajaib pada setiap watak terutamanya watak utama, Tauke yang digambarkan dalam OlaBola, yang mana dia terpaksa meninggalkan pasukannya disebabkan masalah kewangan.

Begitu juga dengan watak Rahman, seorang pengulas sukan yang begitu bersemangat ketika membuat liputan. Kehilangan tunggak utama membuatkan pasukan kebangsaan berdepan dengan pelbagai masalah di perlawanan kejohanan pertamanya. Namun, pasukannya bangkit dengan bersatu padu untuk mencapai kemenangan.

Filem yang mengambil masa selama satu tahun untuk proses produksi ini menggunakan khidmat professional dalam bidang khusus teknikal seperti pakar kesan khas visual dari Argentina yang mempunyai pengalaman luas di Hollywood. Begitu juga dengan sinematografi udara terbaik dari Australia, pasca produksi dan pemenang anugerah audio dari Taiwan, Tu Duu-Chih. Malah, mereka turut menggunakan khidmat Chin Ting Chang seorang pengarah fotografi dari filem Kana.

Filem bergenre drama ini menampilkan pelakon hebat, Bront Palarae dan penampilan istimewa oleh Frankie Lee. Menariknya, OlaBola turut dibarisi pelakon baru yang bakal menyinar seperti JC Chee (Kwok Keong atau Tauke), Luqman Hafidz (Ali), Saran Kumar (Muthu) dan Marianne Tan (Marianne).

Menarik untuk diperhatikan, bahawa filem ini seperti mana filem-filem yang sepatutnya menyatakan realiti sebenar kehidupan di Malaysia, menggunakan kesemua bahasa iaitu Bahasa Melayu, Tamil, Inggeris, Mandarin, Kantonis, dan juga Hokkien. Dan itu sahaja sudah berjaya memaparkan sedikit elemen realisme ke dalam karya yang bakal ditayangkan pada tahun 2016 akan datang. Kami dari pihak Daily Seni mengharapkan bahawa filem ini pada akhirnya berjaya memberi impak yang signifikan dan turut mempengaruhi keadaan sosial yang semakin lama semakin tegang.

Filem terbitan Astro Shaw ini menampilkan produksi Woo Hoo Pictures. Selain OlaBola, Astro Shaw pernah menerbitkan filem blockbuster seperti The Journey, Suamiku Encik Perfect 10!, Pilot Cafe, Ombak Rindu, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan terbaru adalah Polis Evo.

Untuk mendapat info terkini tentang OlaBola, sila layari lawan web www.olabola.tv serta ikuti akaun instagram di olabola.tv.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.

Leave a Response