Reviews
Now Reading
OBJEK TAK CANTIK PUN BOLEH JADI CANTK JUGA!!!
258 0

OBJEK TAK CANTIK PUN BOLEH JADI CANTK JUGA!!!

by Guest WriterJune 11, 2017

BendAsing oleh Bukan Seni-man merupakan pameran sulung buat sebuah kolektif seni yang ditubuhkan oleh 7 individu yang menggelarkan diri mereka sebagai Bukan Seni-man. percaya bahawa seni boleh menjadi apa-apa sahaja namun bukan kesemuanya. Berbekalkan niat untuk menjentik ide-ide ‘baharu’ tentang seni dalam kalangan masyarakat Seni Rupa Malaysia (SERUM). Ide-ide ‘baharu’ ini pada dasarnya tidaklah baharu sebaliknya diangkat semula setelah sekian lama tertimbus dalam lipatan sejarah SERUM.

merupakan gerak pertama yang terhasil daripada keinginan Bukan Seni-man untuk mempersoalkan mengenai seni itu sendiri (Nature of Art), permasalahan definisi seni dan halatuju seni di Malaysia? Kenapa dewasa ini, karya-karya yang mendapat tempat di ruang-ruang galeri hanyalah karya-karya yang terdiri daripada catan, arca, cetakan dan lain-lain karya konvensional? Sedangkan pada tahun 1974, SERUM dikejutkan dengan sebuah pameran yang berjaya menggoncangkan dunia seni Malaysia. Pameran tersebut tidak lain dan tidak bukan, Towards a Mystical Reality (TAMR) oleh dua orang seniman sohor SERUM; Allahyarham Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa. TAMR didorong oleh keinginan dua seniman sohor ini untuk mengangkat persoalan tentang halatuju dan ke manakah seni di Malaysia akan berkembang. TAMR merupakan antara pameran penting yang menjadi katalis kepada perubahan dan penerimaan karya konsepsual dalam praktis seni SERUM. TAMR juga menjadi kunci utama dalam percubaan Allahyarham Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa untuk merubah perspektif seniman-seniman Malaysia semasa itu.

BendAsing dihasilkan dengan semangat untuk mengetengahkan persoalan-persoalan berhubung definisi dan maksud seni itu sendiri serta mewujudkan kemungkinan untuk mengatakan sesuatu yang dilihat sebagai ‘bukan objek seni’ sebagai objek seni. Bukan Seni-man bukanlah semata sebuah kumpulan seniman yang berkumpul dan menghasilkan karya bersama sebaliknya memfokuskan kepada proses diskusi dan rencana serta wacana berkait sesuatu karya. Proses melahirkan sesuatu persoalan,

hujah dan premis ide itu dilihat lebih penting daripada proses pembuatan dan karya itu sendiri. Dalam BendAsing, Bukan Seni-man cuba untuk meletakkan maksud kepada sesuatu ‘objek’ atau ‘subjek’ serta mengetengahkan bagaimana ‘objek’ atau ‘subjek’ ini diangkat sebagai sebuah karya.

BendAsing jika dilihat dari satu sudut seolah-olah menampakkan elemen pemberontakan. Pemberontakan dalam erti kata Bukan Seni-man seperti memberontak dan cuba untuk pecah daripada kelompok kebiasaan seni di SERUM. Menurut Azizan Rahman Paiman (2016), pameran BendAsing oleh Bukan Seni-man ini seolah-olah ‘mengganggu’. Mengganggu yang bagaimana di maksudkan? Mengganggu dalam erti kata berada di luar kebiasaan atau normaliti setempat – jika ianya di luar kebiasaan, pada hematnya ianya merupakan suatu gangguan. Dari situ (mungkin) wujud istilah mengganggu. Jika dilihat kembali pada dekad 70an, di mana pameran TAMR yang dilihat sebagai suatu bentuk provokasi dan ianya di anggap sebagai satu ‘gangguan’ pada dunia seni ketika itu (era Modernisme).

Seorang seniman bukanlah semata menghasilkan karya yang cantik, sebaliknya seniman itu adalah seorang intelektual dan pemikir masyarakat (S.O Husain, 2016). Pemikir masyarakat ialah golongan yang mampu (atau cuba) untuk mengubah persepsi masyarakat. Mungkin mengubah stigma SENI MESTI CANTIK sekaligus mengangkat semula martabat seorang seniman sebagai seorang pemikir masyarakat. Dewasa kini kebanyakan seniman kurang atau ‘terlepas pandang’ akan satu aspek penting sesebuah karya iaitu kandungan karya (content). Mereka lebih menekankan kepada rupa sesebuah karya – karya yang baik adalah karya yang sempurna daripada sudut estetika dan formalistik. Manifesto bagi TAMR yang dikarang oleh Allahyarham Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa ada menekankan mengenai sesetengah seniman-seniman pada dekad itu yang terlalu menekankan kepada kecantikan karya sahaja. Harus diingatkan semula yang BendAsing oleh Bukan Seni-man bukanlah mahu menjadi sebuah pameran yang kritikal mahupun intelektual sebaliknya mencuba untuk mengajak para audien untuk bersama-sama mencabar, mengancam dan membuka minda mereka untuk melihat sebuah karya yang tidak terlalu menekankan kepada unsur formalistik serta menerima

bahawa wujudnya karya-karya ‘tidak cantik’ sebegini dalam lipatan sejarah SENI RUPA MALAYSIA.

BendAsing oleh Bukan Seni-man menampilkan 10 buah karya yang dihasilkan oleh 7 orang seniman. Setiap karya mempunyai cerita atau ide tersendiri namun kesemua 10 buah karya diikat dengan satu premis ide yang sama iaitu penggunaan objek banal. Apakah itu objek Banal? Pertama sekali merujuk kepada definisi, Banal menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud biasa atau perkara sehari-hari. Menurut Webster’s New World College Dictionary Fifth Edition, banal bermaksud biasa atau (objek) yang digunakan dalam kehidupan seharian. BendAsing oleh Bukan Seni-man mengetengahkan ide-ide yang dilihat ‘asing’ dalam SERUM, di mana Bukan Seni-man ingin memberi penekanan terhadap seni-seni yang bersifat tidak konvensional.

Dalam SERUM, Bukan Seni-man melihat objek-objek banal ini seperti dilupakan atau ‘dilepas pandang’ oleh masyarakat. Objek banal ini seolah-oleh dilepas pandang atas dasar ianya selalu digunakan atau hampir digunakan dalam perkara-perkara harian. Penggunaan objek-objek banal ini dilihat mampu mencetuskan kepada sebuah diskusi yang menarik di mana ianya dapat mengangkat paradigma SERUM ke peringkat lebih tinggi. Objek-objek banal ini pada kebiasaannya dilihat norma dalam kehidupan seharian namun ianya dilihat TIDAK NORMA DI DALAM RUANG GALERI. Atas dasar objek-objek banal yang tidak norma di dalam ruang galeri, menjadi titik tolak kepada pameran BendAsing yang cuba mencabar normaliti sesebuah galeri. Adakah mereka bersedia atau tidak untuk menerima objek-objek ini.

Jika dilihat kembali kepada objek banal, pasti audien akan beranggapan ianya objek biasa yang tidak punya nilai yang tinggi dalam seni malahan mungkin juga dilihat sebagai sebuah seni yang TIDAK CANTIK. Antara stigma yang cuba diubah oleh Bukan Seni-man ialah SENI MESTI CANTIK. Ianya sebuah stigma yang mengelirukan, kerana cantik itu sesuatu yang subjektif dan setiap individu ada standard kecantikan mereka sendiri. Apa yang audien A rasakan cantik, mungkin tidak di mata audien B – jadi bagaimana boleh berlaku standardisasi sedangkan cantik itu subjektif. Sebaliknya masyarakat SERUM perlu menerima SENI ITU BUKAN SEMATA CANTIK.

Bukan Seni-man berpegang bahawa BendAsing adalah untuk meraikan kepelbagaian dalam seni – dadaisme, realisme, surrealisme dan lain-lain. Begitu juga dengan penggunaan objek-objek banal ini juga seperti penggunaan cat air mahupun cat minyak dalam penghasilan sesuatu karya seni. Apa yang Bukan Seni-man rasakan lebih penting adalah meraikan serta merayakannya. Selain itu, BendAsing yang mengetengahkan karya-karya konsepsual juga diharapkan dapat melahirkan audien dan seniman yang berfikiran kritis dan terbuka untuk kepelbagaian dan tidaklah rigid dalam melihat sesuatu karya seni (atau terkejut melihat mangkuk tandas dalam ruang galeri).

Pameran ini mempersoalkan tentang apa itu seni sebenarnya dan bagaimana seseorang itu melihat sesuatu karya? Adakah secara kritikal atau melihat berasaskan kepada estetika semata. Adakah sesuatu objek seni itu dilihat berjaya jika ianya cantik dan akan dikatakan tidak berjaya kerana seniman hanya meletakkan objek banal di atas sebuah pedestal? Jika dilihat dalam pameran ini, dapatkah kita dengar suara-suara seniman ataupun karya-karya ini sendiri bertutur dengan audien? BendAsing mengangkat premis ide objek-objek banal ini juga adalah sebuah karya seni meskipun tiada penglibatan ‘tangan-tangan ajaib’ (membuat – memateri, mencatan dan sebagainya) dalam karya ini sekaligus hanya memfokuskan kepada karya konsepsual yang lebih mengutamakan konsep dan ide dalam menghasilkan sesebuah karya.

NOTA KAKI
Esei ini ditulis pada April 2016, sebagai satu respons kepada pameran BendAsing oleh Bukan Seni-Man. Ia telah diterbitkan dalam naskhah ke 2 zine #ProjekZineSENI, terbitan ARTO Movement.


This is piece from Seni on Sunday, a weekly column where we invite guest writers to share their two sens about art. As an art advocate, we believe the public must be empowered to appreciate and express the arts. This is a safe space for sharing, in hopes that it would encourage and initiate arts discourse within contemporary Malaysia. The views and opinions expressed does not necessarily reflect Daily Seni’s stand on the matter.

This week we feature Tuk Kura – an art lover; an experienced UiTM art graduate that has a burgeoning CV as an artist and activist of visual arts. He is of the founding members of ARTO Movement, a collective of young independent visual artists enriching our visual arts landscape. Follow him and his collective at @tukkura91 and @ARTOMOVEMENT on Twitter.

About The Author
Profile photo of Guest Writer
Guest Writer
Comments

    Leave a Response