Reviews
Now Reading
Nico G dengan BLACK EDITION
BLACK EDITION FRONT COVER
53 0

Nico G dengan BLACK EDITION

by In house WriterOctober 11, 2019

NICO G tampil dengan album kolaborasi bersama produser underground

Perjuangan seni kumpulan NICO G terus rancak biarpun rentak industri hiburan masa kini jauh berbeza berbanding waktu awal kemunculan mereka hampir tiga dekad dahulu. Kelahiran album berjudul ‘Black Edition’, membuktikan perintis irama Hip Hop ini mempunyai ramuan dan strategi tersendiri untuk kekal relevan dan bersaing dengan pendatang-pendatang baharu industri seni tanpa gentar. Sebagai pengenalan kepada album baharu itu, NICO G telah mengadakan sebuah majlis pra-dengar dan pelancaran video muzik yang berlangsung dengan penuh meriah di Walimapuri, Jalan Damai, Kuala Lumpur.

Album ‘Black Edition’ merupakan album kelima bagi kumpulan NICO G dan buat pertama kalinya diterbitkan di bawah syarikat mereka sendiri iaitu NICO G Entertainment. ‘Black Edition’ memuatkan enam buah lagu kolaborasi antara NICO G dengan enam orang komposer menampilkan sisi NICO G yang lebih ‘gelap dan ghetto’ dengan rentak dan susunan muzik yang segar namun mengekalkan lirik berbentuk nasihat seperti lagu-lagu NICO G yang terdahulu. Sempena dengan album ini, NICO G turut tampil dengan imej yang menterjemahkan gaya pemakaian ‘gelap dan ghetto’ dan konsep ini juga diadaptasikan kepada strategi penjenamaan dan pemasaran album yang lebih agresif dan dramatik.

KGB, singkatan bagi Kampung Baru, dicipta secara bersama oleh ketiga-tiga ahli NICO G iaitu MD Nico, Dino G dan Affa, dengan seorang produser, komposer juga rapper bernama SXPH manakala lirik pula menggabungkan hasil kreativiti tulisan NICO G, SXPH dan seorang rapper baharu, Daniel Rafique yang menggunakan nama pena DelaFlare. Majlis yang pada asalnya mahu memperkenalkan sebuah lagu dan video muzik mengejutkan tetamu-tetamu yang hadir dengan persembahan lagu dan video muzik kedua dengan tajuk Siaga, yang bermaksud siap sedia, sebuah lagu ciptaan bersama NICO G dengan Sabbala, KC dan Muariffah, anggota kumpulan Hip Hop tempatan bernama Lawalah Familia.

Menurut salah seorang ahli kumpulan NICO G iaitu Dino G, idea menerbitkan Projek album ’Black Edition’ terinspirasi apabila NICO G menerima sambutan di luar jangkaan bagi pertunjukkan gig anjuran mereka iaitu ‘The Hip Hop Showcase by NICO G’. Menyedari begitu banyak bakat terpendam di kalangan pengikut dan penyokong komuniti Hip Hop, NICO G terpanggil untuk menggilap bakat-bakat sedia ada agar karya-karya mereka dapat diangkat ke pasaran yang lebih luas.

Selaku orang yang bertanggungjawab mengenalkan irama Hip Hop kepada penggemar-penggemar muzik tempatan sejak tahun 90an, MD Nico berkata perjuangan NICO G dalam mempertahankan irama Hip Hop harus diwarisi dan terus diperjuangkan di masa hadapan oleh generasi baharu. Seorang lagi ahli kumpulan NICO G iaitu Affa memberitahu bahawa projek album ‘Black Edition’ turut membuka ruang kepada syarikat-syarikat dan jenama-jenama tempatan terutamanya milik anak jati Kampung Baru untuk sama-sama berjaya di lapangan masing-masing bersama-sama NICO G menerusi album ini.

Majlis pelancaran petang Rabu itu gamat dengan persembahan daripada kumpulan NICO G yang terkenal dengan gimik persembahan yang penuh debaran dan kejutan. Selain rakan-rakan wartawan, majlis pelancaran kelolaan Didz Squad Studios itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti-selebriti tempatan, pengurus-pengurus artis yang pernah bekerja dengan NICO G serta wakil penaja-penaja yang telah menjayakan penggambaran kedua-dua video muzik serta majlis pelancaran antaranya Utama Motors, FS Bikes, Red by Sirocco Hotel, FR Blue Label, FR Black Market, Woodfire KL, Bon Zainal Boutique, Nasi Lemak Wanjo Kg. Baru, HDYT Streetwear, Warung Pak Hassan Kg. Baru, Restoran Nasi Padang Kg. Baru, Fam’ Fries Kitchen milik pelakon Aedy Ashraf dan banyak lagi.

About The Author
Profile photo of In house Writer
In house Writer

Leave a Response