Music
Now Reading
Menyelami Istilah Muzik Sinkretik
701 0

Menyelami Istilah Muzik Sinkretik

by Anak DagangMay 6, 2015

Pada hujung tahun 1960-an, terlahirnya suatu muzik popular yang berjaya menguasai kepulauan Tanah Melayu, merangkumi Brunei, Singapura sampailah ke Riau. Muzik itu dinamakan Pop Yeh Yeh dan ia berjaya bertahan selama enam tahun sahaja.

Kemudiannya pada awal tahun 70an, muzik yang dilihat sebagai irama Melayu yang disaduri instrumen Barat ini semakin hilang kekuatannya, dan tidak lagi wujud usaha untuk meneruskan gaya yang ada, sebaliknya ia tenggelam sealiran zaman yang berlalu.

Suatu fenomena muzik itu tidak mungkin kekal jika ianya hanya sekadar saduran. Langsung, timbul beberapa persoalan yang penting – apakah hakikat seni muzik itu? Apakah yang membuat seni muzik itu bertahan lama dan berterusan hampir seratus tahun, seperti muzik jazz yang telah berjaya mengalami pelbagai jenis evolusi sejak awal abad ke-20?

Seni sepertimana yang kita semua tahu adalah sebuah proses pembentukan benda yang membawa nilai-nilai keindahan, dimana nilai keindahan itu sendiri berkait rapat dengan konteks para pengkarya. Seni yang kian terhasil melalui pelbagai medium kemudiannya berjaya ditentukan keberkesanannya melalui pengalaman inderawi para pengamat karya.

Secara tidak langsung, seni itu sendiri berjaya membentuk sudut pandang dan landasan pemikiran para pengamat karya.

Di sini saya akan cuba sedaya upaya agar tidak tersasar jauh dari berbicara secara spesifik tentang seni muzik, dan juga keadaan kugiran-kugiran mandiri di kota Kuala Lumpur. Yang dimaksudkan mandiri adalah kekuatan kugiran itu membentuk gaya muziknya yang tersendiri, walaupun sedikit sebanyak gaya-gaya yang wujud dapat dikenal pasti.

Secara ringkas, perkembangan muzik di negara kita jikalau ingin diambil kira jangka waktu – contohnya, 60 tahun – sudahpun melalui pelbagai jenis perubahan. Terhasilnya muzik sinkretik, iaitu muzik yang menggabungkan pelbagai unsur budaya yang lebih terkenal (contohnya ronggeng, dondang sayang, keroncong, ghazal, dikir barat, dll.) yang berbeza dengan muzik etnik (contoh: muzik wayang kulit, gamelan, zapin, tarian ngajat, dan sebagainya), ia kebanyakkannya ditentukan oleh perubahan faktor keadaan sekeliling, daripada aktiviti berdagang, penjajahan dan juga proses globalisasi.

Dalam jangka waktu yang diberi, perubahan mendadak ini tidak hanya mengubah lanskap seni muzik di Malaysia, tetapi turut juga mengubah keadaan pemikiran kita, lebih-lebih lagi pemikiran anak muda yang membesar sewaktu globalisasi berlangsung dengan lancar.

Jadi berdasarkan konteks muzik massa bagaimana kita ataupun lebih spesifik lingkungan peminat muzik mandiri, meletakkan nilai keberadaannya? Mungkin persoalan ini harus dibatasi skopnya hanya kepada keadaan muzik mandiri di Malaysia. Apakah muzik-muzik yang selama ini dihasilkan sesuai benar dengan keadaan psikologikal kita sendiri, atau adakah ianya hanya sekadar saluran eskapisme yang secara asasnya tidak pernah kukuh?

Adakah perubahan-perubahan yang sedang kita usahakan dengan penuh nada optimistik ini, seperti apa yang dinyatakan oleh Suka Hardjana, seorang penulis muzik dari Indonesia adalah perubahan yang dogmatis dan tanpa konsepsi?

Beliau menyatakan suatu keadaan budaya seni muzik di kota Jakarta, yang lebih kurang dapat dihubung kaitkan dengan kota Kuala Lumpur. Beliau mencatat, “Kota Jakarta: Pusat urban penuh muzik yang tanpa muzik. Kecuali fenomena dagang dan hiburan, kota ini tidak punya watak muzik sama sekali.” Beliau meneruskan lagi di dalam esei yang sama, “Bakat budaya dan lingkungan alamnya terlalu terusik dan teralienasi oleh kepentingan urban yang berlebihan dan tidak terkontrol.”

Secara peribadi saya tidak menafikan bahawa wujudnya suatu krisis kota yang turut mempengaruhi keadaan seni muzik kita. Lebih-lebih lagi dengan terwujudnya jurang diantara para pihak yang meneruskan tradisi lama dan juga pihak yang ingin berganjak ke hadapan, meneruskan kebudayaan dunia yang lebih kurang tidak dapat diukur nilai universalnya, sebaliknya lebih tempang dan tersasar ke arah lapangan komoditi.

Intipati muzik telah hilang nilai sucinya dan rasa yang menggetarkan jiwa manusia itu sendiri sudah semakin kabur, dan bagi saya dan anak muda yang terdesak mencari nilai itu – beralih mencari muzik yang jauh terpinggir; hanya tersorok di sebalik kelompok yang terlalu puas dengan keberadaan mereka sendiri.

Kualiti emosi dan signifikan rasa kesegeraan

Muzik itu sendiri meraikan perasaan segara, suatu nilai abstrak dan subjektif yang hanya dapat diraikan secara langsung tatkala alunan muzik itu dilontarkan di sekitar ruang pendengar. Kesegeraan itu adalah sesuatu keadaan yang harus kita sedari, mungkin dapat dikirakan sebagai semangat zaman. Semangat zaman bukan di dalam erti kata nasionalisme yang melulu dan buta, tetapi turut termasuk keadaan sekarang yang kelam, perasaan gelisah dan hilang haluan, atau mungkin juga rasa keinginan yang tidak kesampaian. Kesemua perasaan yang deskriptif ini adalah suatu usaha refleksi individu terhadap zaman yang sedang dilaluinya.

Tetapi kesedaran ataupun kebolehan untuk mengecapi sesuatu konsep tentang zaman yang sedang dilalui oleh kita semua juga adalah sesuatu yang kompleks, dan ianya harus difikirkan secara teratur, berobjektif, mengakui batas individu, dan juga tidak mudah terjebak dengan sentimen perasaan yang melulu. Melalui tatanan ritma, tempo dan melodi yang tertentu – ianya berjaya membuka ruang kepada pendengar, membimbing mereka ke arah suatu sudut perasaan yang sedikit sebanyak menentu atau tidak.

Emosi yang terhasil melalui tindak balas muzik juga tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang tidak rasional, kerana terdapat pelbagai kategori emosi yang tidak bersandarkan emosi yang bersifat sementara seperti suasana-suasana hati (perasaan yang tidak bersandarkan objek tetapi lebih kepada keadaan yang wujud di sekeliling individu tersebut), emosi moral (perasaan setuju atau tidak yang berdasarkan gerak hati moral atau prinsipal), emosi tenaga, dan juga afektif komitmen (perasaan yang secara relatifnya stabil).

Jadi penghasilan karya seni muzik, yang lebih kurang bermula dari dua unsur, iaitu unsur untuk menggerakkan emosi yang betul (peribadi atau kolektif) dan juga mencetuskan perasaan kesegaraan yang sedia diakui oleh pendengar. Itu menurut saya adalah muzik yang dihasilkan secara objektif, tetapi berbeza pula dengan muzik yang terhasil atas alasan ekspresi sahaja. Kekuatan penghasilan isi sebegini adalah sesuatu yang jarang benar dihasilkan, ataupun mungkin sahaja ianya terlalu subjektif untuk diperbincangkan, mungkin.

Medium muzik sebagai ekspresi, dan terhasil hanya berdasarkan ekspresi yang reflektif tidak berjaya menghasilkan karya seni mengikut tingkat yang sepatutnya.

Sebaliknya, karya yang ada itu sendiri ditenggelami oleh perasaan yang sedang menguasai pencipta karya itu sendiri. Manakala karya yang dihasilkan secara objektif itu juga turut memuatkan cebisan ekspresinya sendiri, tetapi dengan pengelolaan yang elok dan mengikut teknis yang telah dipelajari oleh para pengkarya.

Signifikannya nilai kesegeraan itu berjaya membimbing perasaan para pendengar untuk mengakuri keberadaan kewujudan mereka di dunia ini. Di sini definisi muzik yang saya nyatakan adalah bertunjangkan sesuatu yang dekat dengan ritual, muzik yang lebih bersifat fungsional dan spiritual.

Muzik seperti ini, jikalau dilihat secara berkecuali menyatakan bahawa intipati muzik itu dihasilkan bukan untuk mencetuskan nilai sensual ataupun keghairahan, dan sebaliknya lebih ke arah bimbingan alam, suatu kecenderungan manusia terhadap kerinduan yang tidak pernah kunjung tiba.

Ke arah muzik sinkretik yang baru?

Muzik di kala ini telah berubah secara mendadak dan muzik telah mengukuhkan bahasanya sendiri. Dengan bermulanya kewujudan radio dan gramophone, muzik telah berjaya memadatkan jarak ruang dan waktu di dunia kita. Tetapi kandungan muzik itu yang senantiasa dipersoalkan, bukan secara jelas tetapi tidak dapat dinafikan bahawa wujudnya suatu keinginan untuk mempunyai landasan intipati muzik yang benar-benar kukuh.

Nilai muzik yang bakal diwujudkan harus mengenal pasti kedua-dua pola yang bertentangan, tradisi dan moden. Di sini saya tidak ingin menyatakan tentang penggunaan instrumen (yang turut mempengaruhi nada muzik yang ada) sebaliknya menegaskan suatu keinginan yang deskriptif. Keinginan itu sendiri turut berhubung rapat dengan keadaan pemikiran anak muda secara am, serta dapat dikaitkan juga dengan keadaan politikal dan sosio budaya negara kita.

Tradisi ataupun kesinambungan muzik yang pernah wujud di negara kita harus diakui dan dipelajari agar terbentuknya suatu muzik sinkretik yang baru dan mampu untuk bertahan lama. Dan walaupun tradisi itu seringkali dipilih secara selektif, tidak dapat dinafikan bahawa naratif itu sendiri adalah warisan, dan pemahaman akan naratif yang sedia ada secara utuh mampu menguatkan kesedaran para seniman untuk menjangkaui batasan yang ada. Dan batasan itulah yang harus dikenalpasti dan dirungkai semula agar kualiti yang terhasil itu senantiasa relevan.

Kepentingan tradisi sebagai faktor utama yang menentukan karya seni itu sendiri, menurut pemahaman Jakob Sumardjo, di dalam bukunya yang bertajuk ‘Filsafat Seni’ telah menyatakan bahawa;

“Sebuah karya seni lahir berupa kumpulan hasil pengutipan dan peminjaman dari sejumlah karya seni yang nilai-nilainya dikagumi oleh si pencipta. Jadi, setiap karya seni yang baru akan lahir berdasarkan tradisi seni yang ada.”

Beliau menjelaskan bahawa wujudnya tiga jenis karya seni yang terhasil daripada tradisi seni.

Pertama, yang menerima nilai-nilai tradisi. Kedua, yang melihat nilai baru di dalam tradisi. Ketiga, yang menolak penuh nilai-nilai yang ada dan merombak semula.

Jadi walau apapun yang terhasil, karya seni baru ini tetap akan dilihat sebagai pohon baru yang terpucuk dan bercambah di dalam hutan belantara tradisi seni muzik yang pernah ada di rantau ini.

Jakob Sumardjo turut mencatat, “Setiap calon seniman yang tidak mengenal tradisinya tak akan mampu menciptakan karya seni yang baru, kerana ia tidak mengenal apa yang disebut lama dalam tradisi.”

Muzik sinkretik yang bakal terhasil bukan sahaja dilihat sebagai suatu arus ataupun cabang yang baru, tetapi penghasilannya harus dilihat sebagai sesuatu yang benar-benar penting. Setiap muzik yang terlahir secara organik ini harus mempunyai kekuatannya sendiri untuk menempa landasan kepada muzik-muzik yang bakal mengikuti ataupun berevolusi melaluinya.

Muzik sinkretik turut memainkan peranan sebagai salah satu medium utama bagi memaknakan realiti masyarakat kota, ia turut mampu menyatakan segala aspek emosi dan keadaan pemikiran anak-anak muda yang wujud di Kuala Lumpur, dari pemikiran yang jelik sehingga keadaan pemikiran yang optimistik. Seni muzik itu berjaya untuk bertahan lama jika ianya mampu mengendalikan suatu semangat dengan tulus dan jujur, dan dengan pendekatan dan gaya estetik yang benar-benar memungkinkan para pendengar untuk mengolah langkah yang lebih positif dan bukannya muzik yang memandulkan pemikiran yang sudah ada.

Akhir kata, hakikat seni muzik itu sendiri, jika kita melihatnya sebagai tujuan utama dan bukan sebagai sarana, harus mengenalpasti dan mengukuhkan landasan muzik itu sendiri. Segala jenis muzik yang terhasil dan pernah dihasilkan tidak dapat bertahan lama jika prinsipal utama yang mendasari pemilihan muzik itu tidak langsung dipersoalkan.

Walaupun pada akhirnya para pendengar yang akan menentukan muzik yang benar-benar bagus, kita juga sebagai pencipta dan pemikir mampu merungkaikan semula dan memulakan wacana tentang keperluan mencari asas seni muzik itu dan juga mempersoalkan kerangka nilai muzik yang selama ini begitu dominan mengutamakan pasaran dan nilai guna.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.
Comments

    Leave a Response