Editorial
Now Reading
Melihat Melayu dari Mata Burung Syed Alwi
sdr
83 0

Melihat Melayu dari Mata Burung Syed Alwi

by In house WriterDecember 28, 2018

Mereka menzahirkan pembawaan penulisan Syed Alwi tentang sikap melayu itu sendiri. Membawa ke setiap ruang tentang sikap melayu yang kalau jelek dipandang, maka jelek yang patut dihadam.

 

Teater Yeop: Tribute To Syed Alwi bermula dari luar pintu. Aksi Tok Perak menjual ayat dan ubat membuatkan khalayak sudah berada dalam semangat pentas sejak dari awal.
Melangkah masuk ke rumah di alamat Pentas 2, KLPAC, penonton bukan sahaja menyaksikan tetapi juga menjadi tetamu istimewa pembawa acara atau tuan rumah bertujuh kaitan.
Berinteraktif dan menghiburkan dengan cara tersendiri, barisan nama hebat dalam tanah teater tempatan iaitu Nadia Aqilah, Taiyuddin Bakar, Amar Asyraf, Yusmar Affendi, Dr.Norzizi, Naque Ariffin malah tuan pengarah Dr. Rosdeen Suboh sendiri memang ‘nakal’ di pentas selesa mereka.
Membawa masuk dalam setiap penceritaan dan situasi, isi penting dalam sejarah budaya Melayu dan revolusinya dibawakan dengan jelas dalam naskhah-naskhah Syed Alwi.
Mereka menzahirkan pembawaan penulisan Syed Alwi tentang sikap melayu itu sendiri. Membawa ke setiap ruang tentang sikap melayu yang kalau jelek dipandang, maka jelek yang patut dihadam.
Sikap-sikap Melayu yang dinukilkan dari mata burung Syed Alwi ini jelas. Sikap judgemental, batu api, cepat percaya, kuat cemburu ini kalau dilihat dari mata yang dalam sepatutnya menjadi tauladan dan sempadan untuk jambatan hidup seterusnya. Bukan panutan dan penerusan.
Lalu dipamerkan juga bagaimana anak muda mahu membawa revolusi dalam bidang seni dan pembelajaran, tanpa melupakan elemen cinta yang merupakan satu kesan damai untuk jiwa-jiwa yang panas.
Jelas,pemain-pemain acara ini semuanya masak dengan apa yang mereka bawakan. Tiada canggung dalam pembawaan mereka.
Untuk mereka yang menolak naskhah-naskhah Melayu yang sesetengahnya menganggap bukan seni kelas pertama, cuba-cubalah memberanikan diri menonton teater ini untuk melihat sejauh mana Melayu mengalir dalam pembuluh darah kalian. Sikap yang dipamerkan dalam teater ini pasti tersangkut dalam penolakan sesetengah golongan yang kononnya ‘I don’t watch Malay movies’. Cubalah.
Menariknya juga, mereka yang pernah berurusan secara terus menerus,melimpahkan pengalaman dan momen bersama Syed Alwi. Dato Ahmad Tarmimi Serigar dan Faridah Merican antara yang berkongsi rasa dan ketika sewaktu pernah berurusan dengan Syed Alwi yang meninggalkan kita pada 1 Disember 2008. Cerita 1st degree’ yang mahal ini dikongsi agar menjadi salah sebuah pengamatan buat generasi baru yang kurang mengenali seniman ini.
Juga perkongsian cerita anaknya tentang pemergian ayah yang tercinta sekaligus melaraskan semula cerita dan membersihkan spekulasi yang pernah timbul tentang pemergian tokoh terkemuka yang merupakan pengasas kumpulan Teater Seni Malaya pada tahun 1951 tersebut.
Masih berbaki tiga hari, Teater Yeop ini akan berakhir 30 Disember 2018 di Pentas 2 KLPAC. Projek Teater Yeop Tribute Syed Alwi ini merupakan sebuah persembahan yang bertujuan memperingati jasa dan mengenang sumbangan seniman Negara ke 5 Allahyarham Dato’ Syed Alwi Syed Hassan terhadap perkembanagn seni drama Malaysia.

Persembahan mengangkat tiga naskhah terpilih iaitu Alang Rentak Seribu, Tok Perak dan Going North dan dipentaskan dalam konsep forum teater.
Tiket-tiket beharga RM60 dan RM50 boleh didapati di proticket atau boleh beli terus di KLPAC Box Ofifice.
Di kala surutnya minat dan penghayatan khalayak terhadap budaya membaca satera Melayu atau tempatan, pementasan ini membuktikan karya sastera kita memang kuat dan senantiasa menghembus semangat. Semoga menjadi nafas buat generasi muda untuk datang menonton dan menghayatinya kerana karya sastera merupakan salah satu cara untuk megetahui sejarah dan peradaban sesebuah bangsa.
Jangan malu mengaku melayu!

IMG-20181227-WA0030

About The Author
Profile photo of In house Writer
In house Writer

Leave a Response