Other
Now Reading
Majalah Gila-Gila Dan Kematian Satira
LLGG
705 0

Majalah Gila-Gila Dan Kematian Satira

by The Daily SeniJune 1, 2015

Pameran yang memberi penghormatan kepada majalah humor nasional yang pertama di negara, Gila-Gila telah berlangsung selama sebulan dan bakal berakhir pada 15hb Julai 2015 di Galeri Petronas yang terletak di Suria KLCC.

Majalah Gila-Gila yang bermula secara rasmi pada 1978 pernah mencecah edaran sebanyak 200,000 naskah dalam satu-satu penerbitan berjaya membentuk suatu naratif humor yang dominan di kalangan masyarakat tempatan.

Majalah yang menekankan unsur satira – suatu gaya yang membesarkan suatu isu secara berlebihan ataupun menekankan ironi sebagai elemen utama dilihat sebagai salah satu cara bagi kartunis tempatan untuk melakukan kritik terhadap ketempangan yang berlaku di dalam masyarakat mereka.

LAGI-LAGI GILA -GILA @ Galeri PETRONAS

Langsung ianya sedikit sebanyak diakui oleh para pembaca yang turut bersetuju dan terhibur oleh adegan ataupun idea-idea yang dinyatakan oleh mereka.

Pameran “LAGI-LAGI GILA-GILA” ini memaparkan lebih daripada 200 karya asal yang dihasilkan oleh beberapa kartunis majalah tersebut seperti “Jungle Jokes” dan “Kalau” oleh Jaafar Taib, “Perwira Mat Gila” oleh Rejabhad, “From Taiping With Love” oleh Rasyid Asmawi, “Lagak A. Mahmud” oleh Fatah Ngah, “Falsampah Gila Gila”, “Soal Jawab PST” dan banyak lagi.

Ikon kartunis nasional, Dato’ Lat sewaktu berucap di majlis perasmian menyatakan rasa penghargaan kepada pihak Galeri Petronas kerana menyediakan landasan galeri mereka sebagai pendokong dan penyokong kepada bakat kartunis tempatan untuk mempamerkan hasil kerja kreatif masing-masing.

“Hasil nukilan kartun dalam majalah Gila-Gila tidak pernah gagal dalam usaha membangkit deria satira dan lawak jenaka. Namun di sebalik lakaran humor tersebut terdapat mesej sosial yang sangat penting, yang mampu mempengaruhi minda massa. Majalah Gila-Gila menggambarkan identiti warga Malaysia serta gaya hidup tempatan.” ujar Dato’Lat ataupun dengan nama sebenarnya, Dato’ Muhammad Nor Khalid.

Beliau dengan nada yang selesa kerana turut ditemani teman-teman perjuangan di dalam arena kartun yang lebih daripada beberapa dekad turut meneruskan, “Kebanyakan lakaran pemandangan dan latar belakang yang terdapat pada karya-karya berkenaan merupakan kelaziman tentang budaya yang popular suatu masa dahulu, yang kekal dalam ingatan kolektif kita.”

“Kesungguhan dan ketekunan untuk mengekal prinsip teras bagi mempromosi seni kartun, dengan cara yang paling mudah dan berjenaka serta mencanai daya kefahaman mendalam serta aras intelektual yang tinggi, seharusnya diberi puncak penghargaan.”

LAGI-LAGI GILA -GILA @ Galeri PETRONAS_4

Apabila dinyatakan kepada pihak media bahawa pameran ini telah menerima lebih 15,000 pelawat sejak pembukaannya, tentu timbul persoalan kenapa ianya disambut dengan begitu meriah. Di laman sosial pula, lebih daripada 1,600 paparan foto menggunakan hastag #LagiLagiGilaGila di Instagram. Adakah rakyat Malaysia seluruhnya mendambakan humor seperti ini? Adakah ianya jelas sudah hilang di kalangan industri seni tempatan?

Humor sebagai harapan kepada golongan muda

Majalah Gila-Gila diterbitkan setiap bulan oleh Creative Enterprise. Ia merupakan novelti yang diterima ramai serta sebuah nukilan penting dalam sejarah tanah air yang mengungkap kecemerlangan berlawak dan jenaka oleh barisan kartunis tersohor Malaysia.

LAGI-LAGI GILA -GILA @ Galeri PETRONAS_Lipat Lepat corner

Sepanjang 20 tahun yang lalu, Gila-Gila telah mengekai reputasi sebagai bahan bacaan paling ramai pembaca di Malaysia dan berjaya menemui audien dengan memapar pelbagai isu budaya, sosial, ekonomi, dan politik dengan cara yang paling kelakar dan menyeronokkan. Sehingga kini, Gila-Gila telah diterbitkan sebanyak 770 keluaran.

Pameran ini berjaya mengungkapkan suatu keinginan yang jelas – iaitu jenis humor yang dikongsi dan dipersetujui oleh khalayak tempatan. Dambaan terhadap humor yang menekankan aspek kehidupan sosial, yang jelas seringkali bercanggah dengan keadaan sepatutnya itu sudah berkurangan ataupun sudah lekang.

LAGI-LAGI GILA -GILA @ Galeri PETRONAS_Gila-Gila Cover Page

Dengan keadaan budaya dan politik yang merisaukan, persoalan mengenai kemampuan humor seperti ini diangkat semula mulai berlegar di benak pemikiran rakyat. Dengan bukti kunjungan dan tindak balas yang positif, adakah humor merupakan elemen utama yang kita benar-benar inginkan selama ini? Adakah ianya dilihat sebagai penyelamat yang berjaya mendukung dan menukarkan keresahan kita agar menjadi sesuatu yang aktif, memaksa kita memikirkan sesuatu isu dengan pendekatan humor seperti apa yang pernah ditawarkan oleh majalah Gila-Gila?

LAGI-LAGI GILA -GILA @ Galeri PETRONAS_Comic Strips

Bagaimana dengan golongan muda di kala ini? Semestinya majalah ini berjaya membentuk naratif para pembaca yang lepas, terutama golongan veteran ataupun golongan yang lebih tua. Wujudkah impak secara tidak sedar yang bisa diharapkan oleh kurator pameran ini? Adakah humor ataupun isi-isi yang dipaparkan ini mampu mencetuskan secebis harapan kepada anak muda bahawa negara kita pada suatu masa tidak pernah kekeringan humor yang bagus dan penuh dengan kebolehan intelek?

Apa yang jelas pameran ini berjaya membuka ruang, hala tuju dan juga perspektif yang baru bagi anak-anak muda yang inginkan pendekatan yang baru mengenai sesuatu isu. Barangkali humor seperti ini adalah landasan yang harus diberikan keutamaan agar golongan anak muda tidak mudah terjerumus ke dalam kancah pesimisme yang ekstrem.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.

Leave a Response