Editorial
Now Reading
Kota Maya dalam Jiwa Penulis Muda
Next
Prev
50 0

Kota Maya dalam Jiwa Penulis Muda

by The Daily SeniAugust 21, 2014

Kota-kota lama yang ditempiaskan dengan cahaya zaman baharu sebenarnya sudah lama membisu. Seperti Kuala Lumpur yang berganjak kepada bandar raya buatan dan kini merangkak sedikit demi sedikit sebagai metropolis, sudah kehilangan cara untuk memahami dan mengenali anak-anaknya. Wajah-wajah watannya bertukar. Wajah-wajah asing. Membina kembali Kuala Lumpur dengan bahan binaan baharu.

Papan tanda jalan berubah dan menukar identiti. Dahulu, sepanjang jalan gah “orang Melayu membeli-belah” Jalan TAR (Tuanku atau Tunku? Pedulikah kita?) dikenali sebagai “Batu Road”. Pada era 1980-an hingga 1990-an, sesiapa yang menaiki bas mini atau Intrakota akan memberitahu konduktor bas, “Nak ke Globe”. Kini Jalan TAR itu hanya bingit di lorong belakangnya menjelang 10 malam terakhir Ramadan pada petang hingga tengah malam. Sudah adakah pengarang yang mengumpul perubahan-perubahan mendadak ini mengikut eranya dalam suatu retrospektif yang mantap? Sudah adakah para pendokumentasi susastera yang meneliti perubahan Kuala Lumpur yang dinukilkan oleh para pengarang, dahulu dan sekarang?

Ketidakmampuan kita melihat perubahan demi perubahan inilah yang membuatkan kita sentiasa melihat kembali ke belakang. Lalu bernostalgialah kita. Pengarang lama akan tertanya-tanya apa jadi dengan khalayak sastera sekarang, tidak beriang-ria bersama-sama seperti zaman-zaman dahulu di bucu menara pusat bahasa negara. Mereka tidak menyedari, khalayak sastera itu tetap ada dan kini terperosok dalam kotak-kotak maya tersendiri, dengan selesa, memintal bulan.

Era ini, kita membina kota kita sendiri.

            Era ini, kebanyakan penulis muda mula mencari jalan-jalan baharu. Jalan-jalan ini sebenarnya berkait rapat dengan bahasa. Dengan pembawaan bahasa yang baharu (langgam dan cara penyampaian) kita membina jalan-jalan baharu yang sofistikated. Namun begitu, dalam membinanya, adakah kita berani memanggil jalan itu presint atau avenue (yang kemudian dituduh pula sebagai meminjam dari Barat), atau mungkin soi dan souk? Tiang asasnya idealisme yang dibawa. Idea dan bahasa bercantum membina suatu bandar dengan jalan yang berselirat melalui beberapa bangunan kukuh. Bagaimanakah kita membina kota maya kita sendiri dalam ruang urban yang kita tinggal, atau kita masih lagi dalam ruang berhadapan dengan jelapang padi dan kelapa sawit sambil menukang kota maya kita di hadapan komputer? Kota yang tersedia itu, sastera, akan sentiasa berada di situ

            Penulis sekarang membina kota maya mereka dengan lurah dan jalan tertentu. Paling sedar sekali, sifat individualistik mereka merupakan sifat paling jelas terpancar jika dihitung daripada kalangan penulis yang sebelumnya. Mereka mempercayai, setiap insan itu (sang penulis) itu sebuah kerajaan, yang mana akalnya raja, jiwanya dewa yang tidur dan mohon dibangunkan, dengan inti emosi dan nafsu lain yang kadang-kadang menyerap, kadang-kadang menggolongkan penulis itu dalam bentuk tubuh kerajaan yang mereka mahu. Setiap kerajaan itu sendiri seperti suatu kota yang sendiri. Mungkin ya, mereka berhubung dalam keadaan maya, melihat wajah dan video dalam ruang sosial atau telefon bimbit masing-masing, tetapi jiwa mereka tidak pernah menyatu dalam kefahaman untuk suatu perkongsian kebersamaan, masing-masing dengan falsafahnya, perjuangannya. Mereka memahami alam maya (media sosial) dan sekutunya (dahulu ruang blog, kini entah apa-apa lagi, termasuk foto), sama seperti ruang persatuan sebagai alatan. Ya, alat untuk diperalatkan. Dan pasar mayang yang dihunuskan segala karya yang ada, hanya alatan pasaran (kecil-kecilan) yang memang suatu hari nanti berharap berselisih bahu di PWTC.

            Kemayaan yang sendiri-sendiri dalam kota yang sendiri, mengaku tuan dan raja dalam ruangnya ini memberi suatu fenomena dan persepsi yang menarik walaupun dilihat salah, malah sebagai antikomuniti oleh golongan lama. Kota-kota maya ini yang ditadbir sendiri oleh kalangan mereka ini menyedari hal ini: mereka tidak ditadbir oleh sesiapa. Mereka tidak terperangkap dalam kata-kata manis (janji-janji manis) sebuah persatuan yang mereka sedar kosong dan tidak ke mana-mana. Mereka tidak mahu dibaluti oleh suatu doktrin yang mungkin “tua” dan “lapuk” buat mereka, yang memandangnya pun membuatkan mereka terasa “mandul” (maka hal ini membuka persoalan, bolehkah suatu dasar dalam suatu persatuan berubah mengikut zaman? Sudah tentu tidak, bukan? Bagaimanakah kita menepati suatu matlamat sarwajagat yang sarwazaman?). Ya, mereka akan mendekatinya, tetapi seperti hal tadi, sebagai alatan, sesuatu untuk diperalatkan. Contohnya, kadangkala, persatuan-persatuan lama ini akan menjalankan suatu kegiatan sastera yang menarik mereka, lalu mereka akan menghampirinya, mereka akan bersua dalam ruang masa itu untuk seketika, dan itu sahaja. Mereka sudah tentu tidak mahu didaktikkan oleh orang-orang lama tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan dalam dunia kepengarangan. Mereka lebih bebas daripada itu. Mereka lebih sesuai dalam hal ini: mereka ialah pelayar yang terus-menerus melakukan perjalanan, mereka melakukan pencarian yang tidak pernah akan habis, tidak akan ada noktahnya, terus sahaja bergerak dan berjalan (membaca, menonton, dan menulis). Segala yang kelihatan mengikat mereka (mereka melihat persatuan sebagai mengikat mereka, lalu mereka cipta kolektif atau gagasan mereka yang tersendiri, dalam kalangan kecil dan se”kepala”) akan mereka tepis kerana memberi “masalah” terhadap perjalanan itu. Begitulah mereka bergerak dalam kota maya mereka, untuk bertemu (tetapi tidak bercantum) dengan kota maya yang lain.

            Kota maya ini kini sedang membesar, jika mereka bersatu dan menunjukkan solidariti. Menariknya, kini, suaranya sudah ada yang kedengaran dalam beberapa ruang kontemporari. Mungkin ya, tidak mungkin ada suara yang besar dan gah, seperti mana awal-awal kita menyedari kehadiran Usman Awang pada awalnya, atau Hizairi Othman selepas Minggu Penulis Remaja. Tetapi kota maya ini sedang membina, dan menghampiri ruang-ruang kontemporari yang berada dalam sosiobudaya yang bergerak mengikut alaf: ekonomi, politik, wayang, teater, televisyen dan pelbagai karya budaya popular. Bagaimanakah sastera kontemporari dapat menghadapi kemaraan ini? Adakah dengan memohon kota-kota maya ini berhenti berjalan sendiri, atau keluar daripada kota itu dan tunjukkan diri dalam kota sebenar yang berpijak pada bumi yang nyata? Adakah kota-kota maya ini akan diketuk daripada luar, agar diajar sedikit sebanyak tentang etika dan tatacara “menulis” yang betul lagi bermaruah?

            Setiap penulis tetap mempunyai perjalanannya, dan sebenarnya, semuanya, Sasterawan Negara sekali pun, mempunyai jalan rayanya yang sendiri, berjalan sahaja menuju ke sesuatu (sasterawan seperti Shahnon Ahmad sudah jelas, melakukannya untuk keredaan Tuhan, sasterawan seperti A. Samad Said pun sudah jelas, melakukannya untuk detik kesedaran anak watannya). Jalanlah, tempa jejak itu dengan bersungguh-sungguh. Jangan terpelanting dalam perangkap politik sastera dan bisikan kuasa, seperti yang berlaku pada beberapa sasterawan, yang kini tidak sanggup dipanggil sasterawan tetapi masih mahu dilihat sebagai sasterawan dengan menampilkan dan menjajakan buku terbitan walaupun banyak typo yang salah, dan masih berbangga-bangga dicalit wajah sebagai Jebat walaupun sudah duduk empuk dalam bersendeng mahogani dan pendingin hawa, melihat dari atas masyarakat yang masih masyarakat, tidak ambil pusing pun dengan keajaiban sastera terhadap mereka.

Ditulis oleh Fadli Al-Akiti

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
Comments

    Leave a Response