Other
Now Reading
KHAS: Natijah ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’
keranda152-791026
404 0

KHAS: Natijah ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’

by Pribade Abdullah BongkokOctober 30, 2015

SECARA masuk akalnya, setiap pelusuk benua yang membahagikan suku-suku bangsa di dunia ini punyai bahasa tersendiri, menandakan ia kawasan daulah suku bangsa tersebut dan juga menyatakan secara tidak langsung bahawa Tuhan itu Maha Kaya.

Khususnya di Tanah Melayu, Bahasa Melayu sepatutnya bukan untuk dimalukan, tetapi mesti disegani; kerana Bahasa Melayu adalah milik rantau ini.

Malu hendak berbahasa Melayu seolah-olah bahasa ini sudah alah dengan bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa ‘kejayaan’, telah mencipta noda atau stigma terhadap Bahasa Melayu itu sendiri yang diibaratkan seperti katak di bawah tempurung.

Bahasa Inggeris menjadi pilihan utama, terutama warga bukan Melayu, urban dan elitis. Bahkan golongan ini juga (termasuk politikus) telah cuba menghasut warga luar bandar untuk menyokong Bahasa Inggeris di dalam pendidikan.

Maka itu, The Daily Seni bersama-sama DurianNusantara telah mengatur pertemuan dengan Encik Mohd. Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan saudara Khalid Salleh, seniman tegar berbahasa Melayu dan beliau juga pemikir yang menghasilkan buku Melayu Hilang Di Dunia.


Keranda 152

Tanah Melayu bukan sahaja telah dijajah dan dijarah hasil bumi dan khazanah ilmunya, bahkan pemikiran dan budaya Melayu termasuklah bahasa juga cuba dihapuskan oleh Inggeris.

Politikus yang bertanggungjawab menerajui negara ini setelah merdeka adalah politikus yang berkepentingan, berkiblatkan Inggeris.

Ini terbukti apabila kerajaan yang mengakui bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan (Fasal 152), telah memperlekehkan penggunaannya di dalam urusan rasmi kerajaan dan perundangan sehingga mencetuskan kemarahan para pejuang Melayu tulen dan sasterawan.

Pada 3 Mac 1967, sebuah keranda diarak di Kuala Lumpur sebagai simbol kematian Bahasa Melayu di Tanah Melayu! Peristiwa bersejarah ini dikenali sebagai Keranda 152.

Kemudian keranda ini diarak sekali lagi pada 7 Mac 2009, demi membantah dasar Pembelajaran & Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Terbaru, kerajaan telah mencadangkan pula penggunaan dwi-bahasa di dalam pendidikan, yakni penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di 900 buah sekolah. Nampaknya, cubaan membunuh Bahasa Melayu ini seperti tidak akan berhenti.

“Isu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah isu yang telah tuntas. Tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia termaktub dalam perundangan tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan,” jelas Mohd. Khair Ngadiron.

MKN“Kita sebagai warganegara yang mematuhi Rukun NegaraKeluhuran Perlembagaan, dan Kedaulatan Undang-undang; maka perundangan tertinggi kita ialah Perlembagaan Persekutuan, dan di dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Tiada pertikaian lagi.

“Kegagalan penguasaan Bahasa Melayu menjadikan bangsa Melayu tidak yakin diri dan semakin hilang jatidiri. Kita dimomokkan bahawa untuk berjaya mesti menguasai Bahasa Inggeris kerana ia kononnya bahasa ilmu. Sekarang, kita dimomokkan pula bahawa Bahasa Mandarin dianggap sebagai bahasa ekonomi.

“Kita lihat negara India yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di sekolah-sekolah, tetapi ironinya India bukanlah bangsa pencipta malah berapa ramai pula penduduknya yang miskin, tidak dapat bersekolah?

“Tindakan kerajaan memansuhkan PPSMI adalah tepat kerana ketidak-upayaan pelajar luar bandar menguasai Bahasa Inggeris. Apapun, bergantung pada keinginan politik dalam meyakinkan masyarakat bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa akademik dan bahasa ekonomi.

“Di sini, saya lihat pemerintah gagal meyakinkan masyarakat bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa ekonomi 500 tahun lalu di mana Zaman Kesultanan Melayu Melaka, kita ada Undang-undang Laut Melaka di dalam Bahasa Melayu. Apakah pedagang-pedagang dari seluruh dunia yang datang ke Melaka ketika itu tidak berbahasa Melayu?

“Tidak salah menguasai bahasa lain selain Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Jika tidak ada bahasa kedua, di sinilah peri pentingnya peranan penterjemah,” kata Mohd. Khair lagi.


Jawi

Jawi, samalah dengan Melayu. Jawi itu Melayu, Melayu itu Jawi. Sama sahaja. Oleh kerana peradaban Jawi berasaskan Islam yang berpandukan kitab suci al-Quran, maka bangsa Jawi telah meminjam tulisan Arab lalu mempraktikkannya ke dalam peradaban tulisan Jawi.

Bukanlah maksudnya bangsa Jawi tidak mempunyai identiti kerana meminjam tulisan Arab dan bahasa yang dari pelbagai sumber seperti Sanskrit, Arab, Parsi, China dan Inggeris.

Menurut Mohd. Khair, meminjam perkataan bahasa lain itu lumrah kerana Bahasa Inggeris sendiri banyak meminjam tulisan dan perkataan Roman-Latin. Apabila sesuatu istilah itu tiada di dalam bahasa sendiri, maka meminjam dari bahasa lain adalah dibenarkan di samping mengeratkan lagi hubungan.

Pun begitu, Khalid Salleh mempunyai sudut pemikiran tersendiri. Pemansuhan tulisan Jawi ibaratnya mengkebirikan bahasa Melayu.

“Bayangkan, suatu ketika dahulu bangsa Cina di Kelantan bukan sahaja fasih berbahasa Melayu malah boleh membaca dan menulis Jawi,” jelas Khalid Salleh.

Sambungnya lagi, “Apa sebenarnya yang terkandung dalam perjanjian UMNO dengan Inggeris sehingga Inggeris menyarankan supaya Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan Indian Congress (MIC) turut serta di dalam rundingan menuntut kemerdekaan; sedangkan kedua-dua bangsa ini tiada kena-mengena dengan perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.”

217Penyataan Khalid Salleh ini mengingatkan kita pada novel karangan A. Samad IsmailPatah Sayap Terbang Jua, di mana dalam salah satu bab ia bercerita mengenai semangat bangsa India di Tanah Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan negara India.

Apabila perkataan ‘air pasang Keling’ digunakan oleh akhbar Warta Malai, rombongan bangsa India yang diketuai oleh Dr. Menon telah membuat bantahan dengan alasan menghina bangsa dan perjuangan kemerdekaan India.

Sedangkan, ‘air pasang Keling’ adalah istilah Melayu yang bermaksud ‘banjir besar’, telah dipertikaikan oleh bangsa India di Tanah Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan India, bukan kemerdekaan Tanah Melayu.

Kemerdekaan Tanah Melayu selayaknya dijuangkan oleh bangsa Melayu, bukan bangsa lain. Tetapi Inggeris tidak mahu menanggung kos untuk membawa pulang kerahan-kerahan tenaga mereka yang menjarah hasil bumi Tanah Melayu ini yakni Cina dan India lalu merencanakan kemasukan dua bangsa ini di dalam syarat rundingan kemerdekaan.

“Agenda sulit politik-lah yang mengaturkan Bahasa Melayu terpaksa mengalah demi menjaga hati bangsa-bangsa lain,” jelas Khalid Salleh lagi.

Khalid Salleh juga bersetuju dengan pendapat penulis bahawa pemansuhan tulisan Jawi bertujuan memutuskan generasi Melayu akan datang dengan kitab-kitab ilmu alam Melayu di mana rata-ratanya di dalam tulisan Jawi dan diajar di sekolah-sekolah pondok.

Maka itu, bangsa Melayu akan terikat dengan pendidikan Inggeris yang telah disemai bersama pokok getah di Kuala Kangsar dan sekolah pondok mula dilencongkan maksudnya.

Usaha Inggeris ini terbukti telah berjaya menjadikan bangsa Melayu lemah apabila generasi Melayu hari ini ibarat lebih sudu dari kuah, generasi yang tidak berbudaya, berbangga dengan banyaknya pengetahuan, bukan pamerkan keluhuran budi pekerti.

Budaya di sini ditafsirkan sebagai BUDI, diambil dari ejaan Jawi: Ba, Wau, Dal, Ya. Inilah intipati bangsa Melayu yang dizahirkan melalui bahasa dan kesenian: BUDI; lantas menjadi budaya (cara hidup) Melayu — orang berbudi, kita berbahasa.


DBP

“Bayangkan jika tiada kempen Bulan Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu tentu langsung tidak diambil peduli,” kata Mohd. Khair.

Dewan Bahasa Dan PustakaMenurut beliau lagi, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) tidak boleh dipersalahkan atas kegagalan kempen. DBP ibarat angkatan perang yang tidak dibekalkan senjata, maka penguatkuasaan ke atas penggunaan Bahasa Melayu terus dilemahkan. Tanggungjawab penuh wajib dipikul oleh setiap individu warganegara.

Khalid Salleh pula menambah, “Orang yang diamanahkan duduk di DBP juga mesti sedar akan peranannya. Jika tiada senjata dibekalkan, maka sudah menjadi tugasnya untuk memohon. Jika kerajaan tidak melayani permintaannya, maka timbang kembali kedudukannya di  situ masih untuk apa?”

Persoalannya kini, jika pejuang-pejuang Bahasa Melayu membantah penggunaan dwi-bahasa dalam pendidikan, apakah masih relevan perbuatan mengarak keranda itu? Bukankah ‘jenazah 152’ itu sudah menjadi ‘mumia 152’?


Wawancara penuh boleh didengarkan di pautan ini: DurianNusantara

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.

Leave a Response