Other
Now Reading
Kedai DVD Paralel – Ruang Untuk Segala Kemungkinan
138 0

Kedai DVD Paralel – Ruang Untuk Segala Kemungkinan

by Anak DagangJune 5, 2015

*Tulisan ini diniatkan sebagai reviu kepada pementasan teater ‘Kedai DVD Paralel’ yang  berlangsung daripada 29hb sehingga 31hb Mei yang lepas di DPAC (Damansara Performing Arts Centre).

Kadang-kadang sewaktu kehidupan berlangsung sekadar untuk hidup, bangun pergi kerja, habis kerja, menghadap trafik, tidur dan ulang selama seminggu pasti akan timbul suatu pertanyaan kepada diri kita – kenapa? Pertanyaan itu adalah titik permulaan kepada setiap manusia yang pernah hidup yang penuh kesedaran. Kesedaran akan kewujudannya dan penekanan takdir yang diletakkan ke atas kehidupannya sebagai individu yang mempunyai kerangka pemikirannya yang tersendiri.

Langsung kita mempersoalkan kesemua yang kita lakukan. Dan dari situ muncullah suatu keadaan yang jelas mengenai realiti dan kedudukan kita di dalamnya. Iaitu perbandingan alam yang ada itu dengan apa yang kita inginkan. Dari situlah muncul suatu saat penentuan; samada kita menghadap kenyataan dengan penuh keberanian dan berintegriti ataupun berselindung disebalik harapan palsu yang memesongkan kita daripada jalan yang harus kita tempuhi.

Begitulah tanggapan saya terhadap persoalan utama yang dipersembahkan melalui teater ini. Paksaan realiti yang diluar batasan individu membawanya jauh terpinggir di dalam dirinya dan secara tidak langsung mencetuskan halusinasi ataupun imaginasi yang jelas dipersembahkan melalui teater “Kedai DVD Paralel”.

image4

Mencari kemanusiaan yang intim dikelilingi cerita blockbuster

Realiti yang wujud di dalam kedai DVD tersebut adalah bertentangan dengan apa yang berlaku di dalam realiti Mat, wartawan hiburan yang gusar mengenai kariernya yang dipaksa melaporkan isu-isu yang remeh seperti selebriti yang mengambil gambar sambil memakai bikini. Realiti yang wujud di dalam kedai DVD itu melambangkan keinginan kita sebagai penduduk tempatan dengan konteks di mana masyarakat kita yang hampir tidak berkembang dari segi budaya ataupun pembangunan ekonomi.

Ketempangan sosial yang semakin jelas membelenggu kita dan disertakan lagi dengan kompleks identiti dan perasaan tidak yakin kepada diri kita sendiri merancakkan lagi imaginasi anak muda terhadap realiti yang ingin kita adakan. Siapa sahaja yang tidak inginkan hasil karya kita dipandang tinggi, diakui oleh para budayawan seluruh dunia dan menimbulkan rasa minat yang tinggi agar setiap karya kita diterokai secara menyeluruh.

Watak Mat yang dibawa oleh Fathi Shafie adalah karakter yang seringkali dilihat sebagai seorang idealis yang senantiasa merasakan bahawa ideal anak muda itu harus senantiasa dipertahankan. Ini bukannya soal salah ataupun betul tetapi keberanian untuk mempersoalkan keadaan yang sedia ada. Keberanian itulah yang menentukan kehidupan setiap individu.  Keberanian itulah yang membuahkan konsistensi Mat untuk merasakan bahawa apa yang dilakukannya bermula daripada rasa keyakinan yang utuh.

image3

Watak Maya yang dibawa oleh Safia Hanifah pula merupakan salah satu elemen yang terhasil di dalam kedai DVD tersebut. Karakter beliau merupakan penggerak utama ruang paralel tersebut. Maya-lah yang membimbing keinginan separa sedar Mat. Dialah yang meyakinkan Mat akan dunia paralel yang ada dan dia jugalah yang membuat Mat sedar akan kerapuhan dunia paralel tersebut. Dengan keinginan Maya yang tersendiri turut menggerakkan pilihan yang bakal dibuat di dalam kehidupan Mat.

Tetapi bagaimana kewujudan Maya bisa diterangkan tanpa rujukan kepada watak Mat? Bagaimanakah kita mampu melihat Maya sebagai karakter yang mampu berdiri dengan sendirinya tanpa dilihat sekadar membimbing Mat untuk merealisasikan ataupun menyelesaikan masalahnya sendiri? Rasanya kedua-duanya jika ingin dibandingkan; punya masalah yang sama. Iaitu ketidakselesaan akan kehidupan mereka yang statik. Kedua-duanya sebagai individu mulai mempersoalkan keberadaan mereka; kemana hala tuju mereka dan haluan mana yang patut ditempuh.

Cuma perbezaan utamanya adalah konteks. Konteks realiti Maya adalah berbeza dengan realiti Mat. Di dalam konteks Maya, budaya perfileman kita dipandang tinggi. Benar-benar berkualiti. Mungkin sahaja industri perfileman kita mampu menandingi industri Bollywood, Korea Selatan dan juga Hollywood.

Tetapi disinilah penekanan yang diberikan oleh mereka, kesimpulan yang dipersembahkan oleh mereka adalah kekuatan individu itu sendiri. Alasan mengenai konteks ataupun keadaan industri yang telah wujud tidak harus dilihat sebagai penghalang dan mampu diatasi atas kemampuan individu itu sendiri. Yang benar-benar penting adalah kewujudan kita sebagai titik tolak tindakan yang mampu dilakukan oleh kita.

Dinamik kompleks perhubungan Mat dan Maya selaku watak utama

Mungkin apa yang dipaparkan oleh mereka adalah kebolehan untuk berhenti menjadikan konteks industri yang mundur ataupun lemah sebagai alasan untuk tidak berbuat apa. Maya sebagai karakter yang kuat pegangannya membimbing Mat untuk menyelesaikan masalahnya. Kerana penekanan tentang ‘dilema’ itu sendiri dihadapi oleh kedua-dua watak, Mat dan Maya.

Mat dengan dilema kariernya sebagai keinginannya untuk menjadi pengulas filem dan Maya dengan dilema kehidupannya yang statik sebagai penjaga kedai DVD dan juga ingin menjadi pembikin filem. Maya menghadirkan dirinya di dalam kehidupan Mat sebagai individu yang turut tergerak untuk menghasilkan filem yang diinspirasikan oleh filem-filem tempatan. Mungkin sahaja watak Maya adalah objektiviti yang terhasil menurut keinginan Mat. Mungkin.

Masalah yang ketara terlihat sewaktu pementasan ini berlangsung adalah latar belakang setiap karakter yang tidak terlalu jelas dan tidak kuat. Ianya mengakibatkan setiap kejadian yang pernah berlaku tidak dapat dihubung kaitkan dengan pilihan ataupun reaksi yang dilakukan oleh watak-watak yang ada.

Sebagai contoh, impak kematian ibu Maya tidak jelas. Ianya hanya sekadar fakta dan hanya terlihat sebentar sebagai reaksi Maya terhadap ejekan Mat. Kematian ibu ataupun bapa merupakan suatu impak besar terhadap hidup seseorang tetapi ianya tidak jelas terlihat bagaimana tragedi itu benar-benar mempengaruhi kehidupan Maya.

Isu-isu sosial yang diterokai

Begitu juga dengan isu nepotisme dan juga masalah wartawan hiburan yang disebut oleh Mat pada babak awal. Isu-isu itu dapat dilihat sebagai faktor besar yang turut mempengaruhi perasaan Mat dan juga sedikit sebanyak membentuk keadaan psikologikalnya. Ianya juga merupakan salah satu sebab kenapa beliau turut merasa gusar sewaktu bekerja disitu.

Pementasan ini tidak bersandarkan skrip yang jelas untuk menghubung kaitkan tindakan ataupun reaksi watak-watak dengan latar belakang mereka. Jadi saya sebagai penonton tidak mampu memahami tindakan watak-watak yang ada. Saya tidak mampu memahami setiap tindakan dari sudut pandang mereka.

Dunia ‘paralel’ terhasil kerana impak realiti yang terlalu ekstrem dan tekanannya itu memaksa Mat untuk lari ke dunia lain, ataupun secara tidak sengaja masuk ke dalam dunia lain. Jadi realiti itu tidak langsung ditekankan dan hanya ditunjukkan melalui reaksi Mat terhadap apa yang dijumpainya sewaktu beliau di kedai tersebut. Jadi kekurangan pementasan teater ini adalah realiti watak yang ada tidak ditekankan ke tahap yang sesuai.

image1

Jadi kedai DVD itu dihadirkan kepada para audien sebagai ruang dimana Mat bergelut dengan realiti yang diciptanya sendiri. Barangkali ruang DVD itulah merupakan ruang alasan yang dikumpul oleh Mat secara tidak sedar. Dan apa yang terhasil secara tidak sedar itu tidak lagi berpihakkan satu sudut sahaja iaitu memihak kepada keresahan Mat, tetapi turut menghasilkan suatu faktor yang menghalang Mat untuk terus bergelumang di dalam ruang paralel itu. Wujudnya suatu sosok ataupun tenaga (disini watak Maya dilihat sebagai tenaga yang bertentangan dengan watak Mat) yang memaksa Mat untuk bertindak maju kehadapan dan terus menjadi watak yang aktif di dalam kehidupannya sendiri.

Sebuah karya introspektif dari sudut pandang seorang wanita

Pementasan “Kedai DVD Paralel” yang diarah dan ditulis oleh Nadia Khan, melalui syarikat produksi Idebewe Productions memberi kita ruang kebarangkalian mengenai kehidupan watak yang dipersembahkan.

Di dalam ruang itu dia bergelut dengan keinginannya untuk menjadikan kualiti kariernya menjadi mulia, bergelut dengan kehadiran seorang wanita yang memaparkan aura realiti dan sudut pandang yang bertentangan dengan realitinya.

Dan ruang itu jugalah yang menentukan titik penting di dalam kehidupannya, samada watak utama itu akan berganjak dan menjadi aktif menukar haluan seperti apa yang diinginkannya, ataupun terbengkalai di dalam ruang itu – lemas di dalam ruang paralel yang jauh tersasar daripada realiti yang ada.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response