Film & TV
Now Reading
Kebuntuan Kaedah Heroik Di Dalam Dunia Seni (Bahagian 1)
138 0

Kebuntuan Kaedah Heroik Di Dalam Dunia Seni (Bahagian 1)

by Anak DagangAugust 8, 2015

Artikel ini dituliskan sebagai ulasan ataupun pemerhatian terhadap Siri Syarahan Kursi P.Ramlee yang diberi pada 31hb Julai 2015 di Aswara. Syarahan yang bertajuk ‘Peranan Bahasa Melayu Dalam Dunia Seni: Cabaran dan Strategi’ yang disampaikan oleh Prof. Dr. Hatta Azad Khan.

Kaedah heroik untuk menyelamatkan dunia seni disini bagi saya benar-benar membuntukan. Bukan maksud saya untuk merasakan bahawa mereka melakukan suatu usaha yang sia-sia, tetapi kadang kala perasaan heroik itu meragukan. Kita bercita-cita terlalu tinggi, mempunyai rasa untuk menyelamatkan sesuatu tanpa mengenal pasti batas kita.

Walaupun pihak yang terlibat untuk mengemukakan strategi adalah pihak yang mempunyai nama-nama besar, ia hanya berlegar di kalangan individu yang terlibat dengan institusi pengajian tinggi sahaja.

Bagi saya, mereka banyak benar mengulangi isu yang sama, menyatakan keresahan dan kekecewaan mereka hanya di kalangan para spesialis, dan pada akhirnya hanya bersetuju sesama sendiri. Ada sahaja diantara mereka yang hanya memikirkan waktu untuk berehat, kerana mungkin jauh di lubuk hati mereka, penyelesaian kaedah heroik itu benar-benar tidak menghasilkan apa-apa.


Apabila persoalan ‘peranan Bahasa Melayu di dalam dunia seni’ itu dinyatakan hanya di bahagian teknikal sahaja, dan tidak membicarakan masalah psikologikal, punca ataupun fungsi bahasa secara ilmiah iaitu secara sistematik berdasarkan suatu rujukan yang bisa didorong ke arah perbahasan yang lebih tepat, maka apa yang terhasil adalah pengajuan masalah yang tidak punya penghujung. Secara jelas pada waktu syarahan berlangsung mereka tidak dapat mempengaruhi anak-anak muda yang belajar di institusi mereka untuk turut hadir memperdengarkan cabaran dan strategi yang bakal dinyatakan oleh para akademik di Aswara.

Persoalan mengenai peranan bahasa

Apakah yang dimaksudkan dengan peranan Bahasa di dalam suatu bidang? Adakah peranan tersebut untuk berkomunikasi ataupun peranan untuk meningkatkan pengunaan bahasa ibunda di kalangan penggiat seni?

Pada waktu syarahan itu berlangsung, pendapat yang dinyatakan oleh pihak akademik mengenai peranan bahasa ibunda yang telah diguna pakai di kalangan pemain industri di dalam dunia seni telah dimundurkan secara sengaja, dan wujudnya suatu prasangka bahawa ianya begitu teruk digunakan kerana wujudnya suatu kesinambungan malas berfikir. Mereka meneruskan lagi, peranan berbahasa di dalam dunia seni telah hancur ataupun telah jarang digunakan dengan benar-benar indah.

Lalu timbul persoalan dari diri saya, bahasa jenis apakah yang benar-benar diidamkan oleh mereka? Adakah bahasa yang indah dari segi teknikalnya sahaja? Bagaimana pula dengan fungsi bahasa itu dan simbolisme yang diutarakan?

Pihak akademia menyatakan kekecewaan mereka melalui penggunaan bahasa yang kasar. Juga pada waktu ini Prof Dr Hatta Azad Khan, selaku rektor di Aswara memberi contoh bahasa ataupun lenggok bahasa yang benar-benar bagus dan anggun, indah jika dibaca secara jelas. Dari contoh seperti itu dapatlah saya simpulkan mengenai kualiti penggunaan bahasa di dalam dunia seni di kala ini, dikukuhkan lagi dengan perbandingan yang dilakukan terhadap kualiti karya seni kontemporari seperti medium filem dan sebagainya.

Tidak dapat saya nafikan bahawa penggunaan seperti itu benar-benar romantis dan tidak lagi diguna pakai. Tidakkah kita semua sedar bahasa sebegitu rupa sudah terasing daripada bangsanya sendiri, dan setelah dihasilkan hanya menjadi suatu produk dan budaya yang diakuinya terasing daripada penggunaan harian para pengguna bahasa itu sendiri? Atau mungkin bahasa berbunga ini memang terlalu eksklusif sejak dari zaman dahulu kala?

Langsung dari situ dapat kita bezakan penggunaan bahasa secara simbol ataupun yang terhasil melalui kerangka imej ataupun fantasi setiap pengguna, seperti slang Manglish yang sering kali kita dengar di kawasan Kuala Lumpur ini sebagai simbol imej anak bangsa yang ‘moden’.

Jadi dari situ timbul persoalan antara konsep dualiti diantara bahasa harian yang digunakan oleh setiap individu sebagai produk imej ataupun naratif yang ingin dinyatakan dan penggunaan bahasa formal sebagai suatu produk kebudayaan yang mampu diangkat sebagai aset untuk diguna pakai sebagai kayu ukur peningkatan tamadun.

Akhirnya yang saya dapat perhatikan, perbincangan ataupun syarahan seperti ini hanya membincangkan peranan bahasa tidak lebih hanya untuk digunakan sebagai produk perbandingan diantara budaya dan tidak lagi sebagai persoalan yang dasar iaitu konsep penggunaannya di dalam realiti kita. Dan ianya berterusan, dan tetap berterusan, berpusing di suatu ruang yang sama dan sentiasa menemui jalan buntu.

Bahasa sebagai produk yang diasingkan

Bahasa telah menjadi produk. Ianya tidak berfungsi sebagai sesuatu yang benar-benar aktif dan berjaya menjadikan kita sebagai manusia untuk terus berfungsi dan berupaya untuk memberi makna kepada kehidupan kita. Ironinya bahasa yang saya gunakan disini juga dibataskan, saya tidak lagi berasa jujur kepada diri saya.

Sedangkan matlamat utama kita menulis adalah untuk merapatkan lagi jurang diantara imej kita yang diingin dinyatakan (samada melalui seni ataupun medium yang lain) dan realiti yang sebenarnya. Realiti yang saya dimaksudkan disini adalah apa yang benar-benar kita rasa.

Sewaktu saya mendengar syarahan, aktiviti ataupun ‘proses pemikiran’ yang terlahir benar-benar terasing daripada dunia yang ada. Secara jujurnya, realiti di luar tidak langsung memikirkan tentang peranan bahasa di dalam dunia seni. Boleh sahaja dikatakan bahawa apa-apa produk yang dihasilkan oleh kita tidak lagi memberi makna kepada kehidupan kita.

Bagi saya apa yang benar-benar terjadi adalah kesinambungan produk yang mempunyai kehidupannya sendiri. Ianya adalah hasil pengumpulan imej ataupun fantasi kita, tidak lebih daripada itu. Seni secara amnya sudah tidak ada fungsinya, kita semua hanya berlegar di ruang yang sama. Dan apa yang dibicarakan tidak dapat keluar daripada kepompong yang diciptanya sendiri. Ianya menemui jalan buntu.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response